PAGI itu Tok Salim muncul di hadapan rumah Soraya bersama satu plastik berisi sarapan pagi. Terkejut juga Soraya menerima tetamu seawal pagi itu. Nak tak nak terpaksalah dia menjemput Tok Salim bersarapan bersama di halaman belakang rumahnya itu.
"Tok dengan kamu bukan orang lain pun. Saudara mara juga. Tapi belah atuk kamu. Kamu mesti tak kenal dia, kan? Dia meninggal masa emak kamu masih kecil. Sejak itu tok tolong nenda kamu urusan kebun dan vila ni." Mata Tok Salim melilau memandang sekitar beranda itu. Terlihat deretan pasu yang sudah kering pokoknya. Terdapat lantai kayu bahagian beranda itu mula mereput.
"Dulu atuk dan nenda kamu mahu anak ramai. Sebab itu rumah ni dibina besar macam ni. Tapi nak buat macam mana, ajal atuk kamu datang awal. Sempat dapat dua anak saja." Sambung Tok Salim, mata merenung jauh ke hadapan.
"Malam tadi baru saya teringat pasal tok. Mungkin sebab masa tu tok ada rambut. Jadi, semalam saya tak perasan."
Tok Salim tertawa kecil. Mengangguk perlahan. "Masa tu muda lagi."
Soraya tersenyum kecil.
"Masa nenda kamu sakit, selalu juga tok datang ke sini. Sejak dia sakit, vila ni memang terbiar. Pekerja mula berhenti kerja. Tok pun tak sempat nak jaga. Cuma sempat tengokkan keadaan dia aje."
Soraya diam. Kalau boleh dia nak suruh Tok Salim diam, jangan bercerita sebab dia tak mahu dengar semua itu.
"Mak cik kamu tu, sejak nenda kamu sakit, dia dah jarang ke sini. Sejak dia tahu dia tak dapat vila ini." Tok Salim mengerling pada Soraya.
Melihat riak wajah wanita itu, dia tahu Soraya tak suka dengan topik perbualan mereka itu. Namun Tok Salim tetap hendak bercerita juga. Tengku Bainun memberi amanat kepada dia untuk menyampaikan sesuatu. Tetapi untuk memberitahu kepada Soraya tentang amanat itu bukan sesuatu yang mudah. Dia sendiri mati akal, tak tahu hendak mulakan dari mana dan bagaimana.
Mak cik? Heh. Soraya tersenyum sinis. Layak ke perempuan itu digelar mak ciknya?
"Kamu balik selamanya, atau sementara saja?"
"Entahlah, tok." Soraya mendengus perlahan. Cawan berisi air kopi dihirup perlahan. Pahit, pekat. Sepahit hatinya.
"Maaf kalau kamu tak suka tok bertanya." Tok Salim mengerling seketika pada Soraya.
"Lebih baik bertanya daripada menduga, salah duga boleh jatuh fitnah," ujar Soraya perlahan. Cawan kopi diletakkan di atas piringnya. Pandangan dilemparkan ke lautan yang tidak berpenghujung.
Sebab itu nendanya dulu suka duduk di beranda itu. Sambil mulut menikmati hidangan, mata pula menikmati keindahan pantai. Kedudukan vila itu di kawasan tebing tinggi membolehkan mereka menikmati pemandangan indah itu tanpa gangguan pengunjung pantai lain. Di sepanjang tebing yang lapang itu adalah tanah peribadi. Jadi tidak ada sesiapa yang berani menceroboh. Kawasan tebing yang dipenuhi hutan pula walaupun tanah milik kerajaan, namun tidak ada sesiapa berani ke situ kerana semak samunnya agak tebal. Jika dilapangkan kawasan itu sudah pasti kawasan itu akan menjadi kawasan tarikan pelancongan.
Tok Salim tersenyum kecil, mengangguk perlahan. Faham maksud Soraya. Dan dia ingin bertanya pun sekadar untuk persediaannya juga. Dia kenal sangat dengan orang kampung itu. Bila dah melepak lama di warung, macam-macam ceritalah yang akan timbul. Nanti kalau timbul cerita Soraya, bolehlah dia perbetulkan jika ada yang salah.
"Saya dan anak-anak aje balik ke sini tok." Tiba-tiba Soraya bersuara perlahan. Seakan boleh tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Tok Salim.
"Ohhh." Tok Salim angguk.
"Kami dah bercerai. Saya baru tau dia kahwin dengan salah seorang rakan kongsi bisnes dia."
"Kahwin sembunyi?"
Soraya angguk.
"Saya minta cerai dan bawa anak-anak ke sini."
"Mulakan hidup baru. Baguslah." Tok Salim mengangguk.
"Selama mana saya di sini, saya pun tak tahu." Keluh Soraya perlahan.
Tok Salim hanya memandang. Tidak mahu bertanya lagi. Risau akan melukakan hati Soraya.
"Ibu tunggal. Tanpa kerjaya. Duit simpanan pun tak banyak. Harta pun tak ada."
"Siapa kata kamu tak ada harta?" Tok Salim mengerling.
Soraya tersenyum pahit.
"Vila ni? Bukan boleh guna pun kalau saya mahu beli beras. Beli makanan. Melainkan kalau..." Soraya menghela nafas perlahan.
"Jangan." Tiba-tiba suara Tok Salim kedengaran sedikit keras.
Soraya menoleh. Merenung lama wajah Tok Salim yang kelihatan serius.
"Jangan jual." Tok Salim merenung lama wajah Soraya.
YOU ARE READING
Novel I'm Yours - By Anna Lee
RomanceKerana takdir akan menemukan jalannya. Soraya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman bersama dua orang anaknya. Ada misi yang ingin dilaksanakan demi memulakan hidup barunya, namun tanpa dia sedar kepulangan itu bakal mengubah sejarah hid...