Part 2 ~Dragon

36 3 3
                                    

SELEPAS aktifkan semula sistem pengawasan istana, aku kembali ke bilik tadi. Sebaik saja tiba di muka pintu, aku dengar suara ayah.

"Rose, angkat besen ni. Kemaskan."

"Baik." Aku akur. Besen keluli yang sedikit berbuih dan berwarna kelabu airnya aku tatang. Kepala aku angkat ke arah si pengemis tadi.

"Kau?"

Terus terlepas besen keluli dari tangan. Berdebar jantung aku. Pertama kali dalam hidup aku rasa marah tak tertahan.

Berdiri depan aku sekarang, bukan si pengemis selekeh tadi. Sebaliknya lelaki itu yang gambarnya bersepah-sepah di setiap pelosok bilik Dahlia suatu ketika dulu. Tapi kesemua gambar-gambar itu aku dah bakar jadi abu. Satu pun tak tinggal.

Dia hidup lagi?

"Rose... tinggalkan dulu semua ni. Pergi hidangkan makanan tengah hari. Ayah dah masak tadi."

Aku akur dengan hati yang berat. Kenapa ayah berlagak tenang? Bersikap seolah-olah lelaki yang dia hormati sebagai tetamu itu tak pernah hancurkan hidup anak gadis dia?

Sewaktu aku tengah bancuh kopi lepas siap hidangkan makanan, ayah dan si pengemis muncul di dapur. Berkerut dahi aku tengok ayah pimpin Keir macamlah dia tak lalu jalan. Dah la berpimpin, ayah tarikkan kerusi untuk dia duduk pula.

Lepas itu ayah sendukkan nasi. Letak lauk dalam pinggan Keir. Aku letak secangkir kopi atas meja dengan gaya tak puas hati. Ayah jeling aku sambil isyaratkan suruh tuangkan kopi. Sambil golekkan mata ke atas, aku capai cawan dan tuang air. Tapi aku biarkan aje cawan kopi dalam dulang. Hanya kopi untuk ayah saja aku letakkan depan dia.

Baru berura-ura nak angkat kaki, ayah bersuara dulu suruh aku makan sekali. Berat tangan tarik kerusi dan duduk mengadap mereka berdua. Keir masih tundukkan kepala sambil suap nasi perlahan-lahan. Tau pula dia makan guna tangan. Tak nak guna garpu dan sudu ke? Ringan aje lidah nak menyinis. Kalau tak kerana hormatkan larangan ayah supaya jangan bergaduh depan rezeki, memang aku dah buat macam-macam pada Keir termasuk sekali curahkan kuah asam pedas ikan tenggiri yang panas itu atas kepala dia.

"Ayah... saya minta maaf." Perlahan tapi jelas tutur katanya menampar telinga aku dan ayah.

Tangan yang baru nak suap nasi, terhenti sekejap. Aku pandang muka Keir yang dah berhenti menyuap. Kepala dia masih tunduk. Ayah tepuk bahunya perlahan seolah-olah memujuk.

"Nanti kita berbual panjang. Keir makan dulu. Tentu dah lama tak makan macam ni." Suara ayah kedengaran sebak.

Makin dalam kerutan di dahi aku pandang ayah dan Keir. Pemandangan depan mata aku ni dah macam ayah dan anak lelakinya. Aku cemburu tiba-tiba. Kenapa ayah lebihkan menantu dia daripada anak sendiri? Padahal menantu ayah itu menantu hantu. Lepas buntingkan Dahlia, dia hilang entah ke mana. Selepas bertahun-tahun baru muncul tiba-tiba.

Kemunculan pula ala-ala kontroversi sebab aku dikerah melindungi dia sebagai saksi. Aku tak fikir semua ini satu kebetulan. Fail kes hanya melaporkan yang Keir merupakan orang penting yang perlu dilindungi. Tiada langsung latar belakang kes. Aku nak keluar pergi balai pun, tak dibenarkan oleh Tuan ACP. Katanya mereka akan hubungi aku kalau ada apa-apa perkembangan. Semua komunikasi dilarang. Kiranya macam aku kena perintah berkurung. Apakah?

"Jangan diganggu dia." Keras pesanan ayah lepas dia bantu aku kemas meja makan. Tetamu kehormat ayah merangkap menantu hantu merangkap saksi dah pun berehat di biliknya.

"Tapi kenapa? Dia kan witness Rose. Kenalah Rose awasi dia walau dalam istana ni." Sarkastik balasan aku.

"Rose hanya perlu awasi kawasan luar istana. Pastikan tiada ancaman. Dalam istana ni, tanggungjawab ayah." Muka ayah memang serius gila. Tak ada riak lawak seperti biasa.

Heks-Kalibur ~ Que Sera Sera [Published]Where stories live. Discover now