"Oh ini yang nama Luth tu? Yang selamatkan Ochi haritu ya? Terima kasih banyak la sebab dah selamatkan Ochi kami haritu. Kalau Luth tak ada, tak tahu la apa jadi dengan Ochi." Puan Rohana tersenyum sambil menuangkan air ke dalam cawan untuk Luth.
Tadi sebaik sahaja Orked dan Luth berjumpa di kaunter pembayaran, Puan Rohana juga turut kembali bersama sebotol sabun pencuci pinggan di tangannya.
Lepas tahu Luth orang yang dah selamatkan anak kucing kesayangannya tempoh hari, terus Puan Rohana mengajak Luth ikut mereka berdua pulang ke rumah untuk makan tengahhari bersama.
Luth pula yang serba salah nak menolak pelawaan Puan Rohana berulang kali itu akhirnya bersetuju mengikuti mereka pulang ke rumah.
"Ni la photographer yang Along cakap haritu, Ma." Affan Calliph, abang kepada Orked bersuara.
"Oh ya? Kecil betul ya dunia ni. Pusing pusing tang tu jugak."
Orked sekadar diam menjadi penonton. Malas nak menyelit berbual sama sebab dia masih awkward dengan Luth.
Yelah. Dah kantoi kot yang dia sengaja mengelak dari Luth lepas je dia jumpa dengan Naira haritu.
Jujur, Orked macam tak nak percaya yang Luth ada niat tak baik dengan dia disebabkan wasiat atuk dia tu.
Tapi Orked kenal Naira. Takkan lah bekas kawan baiknya itu nak menipu pula? Tak ada kepentingan pun untuk Naira tipu Orked tentang Luth.
Sebab bukannya Orked dan Luth ada apa-apa hubungan pun.
"Kalau Luth bukan photographer untuk majlis Affan nanti nak je Auntie minta Luth jadi pengapit masa dia bersanding nanti." Puan Rohana berseloroh.
Affan cuma ketawa mendengar ucapan si ibu.
"Mengamuk si Daim tu nanti Ma kalau Along tiba-tiba tukar dia jadi pengapit." Balas si sulung diselang dengan tawanya. Matanya kemudiannya mengerling ke arah adik bongsunya yang sedari tadi diam membisu di meja makan.
Pelik. Selalunya Orked yang paling riuh ketika mereka sekeluarga sedang berkumpul bersama. Ini adiknya tiba-tiba diam membisu, sangat menghairankan di mata Affan.
"Adik tak sihat ke? Diam je dari tadi. Nasi dalam pinggan tu pun asyik dikuis kuis je. Makannya sikit je." Tegur Affan.
Lantas Puan Rohana menoleh ke arah anak bongsunya.
"Adik kenapa? Mama masak tak sedap ke harini?" Tanya si ibu dengan riak wajah khawatir melihat anak bongsunya tidak berselera.
"Taklah Ma, sedap je Mama masak harini. Adik yang takde selera." Balas Orked laju. Tidak mahu ibunya salah faham dan jadi susah hati.
"Alah Ma, Adik segan kot ada Luth makan sekali dengan kita. Selalunya kan dia makan bertambah-tambah. Ini ada Luth, dia nak jaga imej la tu jadi perempuan melayu terakhir." Affan sengaja mengusik.
"Along!!!" Nyaris sahaja tangan Orked hendak melempar cawan airnya kepada si abang.
Affan yang sedar dengan pandangan maut si adik hanya gelak gelak sebelum segera berlalu membawa pinggan kotornya ke dapur.
Tak lama Puan Rohana juga berlalu dari meja makan, meninggalkan Orked dan Luth berdua.
Belum sempat Orked sama-sama nak angkat kaki ke dapur, suara Luth membuatkan langkahnya terhenti.
"Saya ada buat salah ke dengan awak, Orked?"
Ah sudah. Orked terus tak jadi nak bangun.
"Kenapa awak tak reply chat saya? DM dekat instagram pun awak tak seen. Saya ada buat salah ke?" Tanya Luth lagi.
Orked diam. Tak tahu nak bagi jawapan apa.
Takkan dia nak cakap yang dia mengelak dari Luth sebab apa yang Naira bagitahu dia tempoh hari?
"Abang Luth takde buat salah apa pun, saya yang memang tak ada mood nak reply chat orang." Balas Orked setelah lama berdiam diri memikirkan jawapan.
"Tak ada mood nak reply chat orang? Tapi elok je awak reply chat customer soft cookies awak haritu?" Luth bersuara lagi.
"Eh??" Dahi Orked berkerut mendengar Luth sebut tentang customer soft cookies tadi.
Mana lelaki itu tahu yang Orked ada bisnes jual soft cookies? Seingat Orked dia tak pernah beritahu Luth tentang bisnesnya menjual soft cookies di atas talian.
"User gameboi yang chat awak nak order 50 pieces soft cookies haritu saya, Orked. Time tu elok je awak reply chat saya? Siap panggil dear lagi hahaha." Luth ketawa kecil.
Orked? Rasa macam nak gali kubur di Vietnam.
#########
Tue, 24 Sept 2024 11:11 PM
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.