TENUNG pantulan wajah sendiri di hadapan cermin, aku tak tahu mengapa tiba-tiba sahaja perancangan yang aku mahukan selama ini akhirnya bakal menjadi kenyataan. Ya, memang benar aku mahu berkahwin dengan Isa disebabkan dendam.
Tetapi kenapa tiba-tiba semua ini terjadi semudah begitu sahaja? Sungguh, aku tak pernah terfikir hasrat aku untuk menjadi isteri kepada lelaki si mata jade itu semudah memetik jari sahaja.
Sebelum ini, hampir pecah kepala aku memikirkan satu demi satu perancangan untuk aku pikat hati lelaki Isa. Tapi kini, dia sendiri yang menyerahkan dirinya kepada aku?
Huh! Senyum sinis kini tergarit di bibir. Mungkin, Isa akhirnya terpikat dengan aku disebabkan aku ini agak cantik di matanya. Ialah, aku berketurunan kacukan. Campuran Melayu-Inggeris. Mempunyai bentuk tubuh yang cantik. Berambut blonde. Mempunyai sepasang mata biru sapphire yang menggoda. Dan yang paling penting, aku tahu bagaimana caranya untuk menundukkan seorang lelaki jatuh ke dalam pangkuan aku.
Setelah beberapa minit termenung di hadapan cermin di dalam tandas, akhirnya kakiku diatur keluar dari ruangan ini. Sebaik sahaja pintu tandas dibuka, automatik bunyi dentuman lagu dan warna dari lampu neon yang berwarna-warni kini menjadi bingkai pandangan.
Rasa rindu kini menyelimuti diri apabila mengenangkan sudah lama aku tidak menghiburkan diri di sini. Menari dan minum sesuka hati yang aku mahu. Tanpa siapa yang peduli. Tanpa siapa yang kisahkan aku. Semuanya, aku tanggung sendiri. Hanyut dalam syurga dunia yang aku tidak tahu bila akhirnya.
Inilah dunia aku. Dunia yang jiwa aku mahukan. Bukan seperti di universiti. Aku terpaksa memakai pakaian dan belajar subjek yang paling tidak kena dengan jiwa aku. Aku sudah penat jadi munafik. Sejak emak dan papa sudah membuangku dari keluarga mereka, aku rasa langkah kakiku kini menjadi semakin bebas.
Aku dah tak perlu kusutkan fikiran memikirkan suruhan emak dan papa yang mahukan aku menjaga imej serta berpakaian sopan semata-mata mahu menjadi maruah dan kedudukan mereka. Dan yang paling penting, aku dah tak perlu ikut mereka pergi ke program yang dianjurkan oleh persatuan mereka.
Walaupun aku ini bukan muslim yang sejati, entah mengapa aku sebenarnya tidak selesa apabila perlu menghadiri program tersebut. Katanya program berzikir dan bermunajat, tetapi bila sampai di sana... kami perlu memakai pakaian serba hitam dan berselawat dalam keadaan kepala terangguk-angguk dengan hebat. Yang paling mengerikan, kami juga perlu duduk dalam halaqah yang bercampur lelaki dan perempuan.
Banyak sebenarnya benda pelik yang aku nampak dekat program tu. Tapi itulah, kami tidak dibenarkan untuk buka mulut mahupun sebarkan perkara ini kepada pihak luar.
Sebelum masuk ke dalam program, semua telefon bimbit akan diambil dan tidak diizinkan bawa masuk ke dalam. Tidak dibenarkan mengambil gambar atau merakam video sekalipun.
Sebenarnya aku tak mahu pun menyertai persatuan tu. Tapi dah orang tua berdua tu yang paksa. Nak tak nak, aku turutkan sahaja meskipun hati aku ini langsung tak rela.
"Hai Feera, kau pergi mana tadi? Lambat sangat balik."
Sapaan daripada Lina mematikan monolog yang terbit di ranting hati. Senyum sinis turut terbit di bibir tatkala melihat dua orang lelaki yang berada di kiri dan kanan Lina. Masing-masing sudah berusia.
"Pergi toilet kejap. Kan aku dah cakap jangan tunggu aku." Labuhkan duduk di atas kerusi bar, secawan bir yang berbaki setengah gelas dicapai lalu diteguk laju. Hilang dahaga.
"Kau nak balik pukul berapa malam ni? Sebelum pukul dua belas lagi ke?" jerit Lina dengan kuat apabila lagu yang dimainkan oleh DJ kini sudah memenuhi ambiens.
"Buat apa balik awal? Lepaklah dulu!" balasku seraya tersenyum girang.
"That's my girl! Jomlah menari." Lina yang diapit oleh dua lelaki tua tersebut kini sudah bangkit dari duduk. Langkahnya dibawa ke lantai menari. Sempat juga dia menggamit aku menari sekali bersamanya.
YOU ARE READING
Imperfect Moment (TERBIT)
RomanceISA KHAN | SAFEERA NASREEN Terbitan : Fajar Pakeer "When I'm good,I'm good, but when I'm bad,I'm better." - MAE WEST Dia wanita yang sungguh berani. Sanggup melarikan diri daripada majlis pernikahannya sekaligus mencontengkan arang ke wajah orang tu...