Safeera
FIGURA tubuh tinggi lampai di dalam pantulan cermin itu dipandang tidak lepas. Bergaun pengantin berwarna putih, bertudung labuh, berstoking dan memakai handsock.
Secara tak sedar, penampilan itu melambangkan diriku ini seperti seorang muslimah sejati. Wanita yang menjadi perhiasan yang indah di dunia. Malangnya pada masa kini, ramai wanita tidak layak digelar sebagai penghiasan dunia. Sebaliknya, menjadi punca kejatuhan sesebuah negara dan ummah.
Anak mata mula jatuh pada jari-jemari runcing yang sudah bersalut inai. Merah sungguh warnanya. Sepatutnya, sebentar lagi jari manisku akan dihiasi dengan sebentuk cincin. Siapa lagi yang akan menyarungkan cincin itu jika bukan lelaki yang teringin sungguh menjadi suamiku.
Sanggup menggalas tanggungjawab untuk menjaga dan memberi kasih sayang secukupnya. Namun, aku tidak pasti adakah dia sanggup menanggung dosa-dosaku apabila ikatan antara kami dimeterai.
Ibu dan bapaku yang merupakan darah dagingku sendiri juga sudah tidak betah menghadap karenahku, apa lagi lelaki asing seperti dia.
Wajah cantik sahaja dah cukup, Feera. Perangai kau haram pun, agaknya dia tak kisah kot... Aku menyungging senyum sinis apabila monolog hati datang bertandang tanpa dipinta.
Ya, betullah itu. Zaman sekarang, kebanyakan lelaki menjadikan paras rupa sebagai perkara utama sebagai syarat menjadi calon isteri. Waima lelaki itu ahli agama sekali pun, kalau diri sudah dikaburi dengan nafsu, mereka juga tidak terkecuali.
Entah mengapa hatiku berasa seakan geli mengenangkan hakikat itu. Sepatutnya, lelaki itu menyiasat dahulu siapa aku dan latar belakang diriku.
Dengar sahaja dari mulut emak dan papa yang menaburkan pujian palsu ke atas diriku, terus sahaja dia berminat mahu menjadikan aku sebagai suri hatinya.
"Standby. Sekejap lagi pengantin lelaki sampai."
Suara emak yang menerpa koklea telinga membuatkan monologku pecah. Perlahan-lahan, wajah yang tersembul di muka pintu itu ditenung. Emak kelihatan agak cantik hari ini. Berbaju kurung biru muda dan bertudung putih yang dihiasi manik-manik halus.
Riak teruja jelas terbias pada wajah tuanya. Mungkin emak gembira kerana hari ini rumah kami ini bakal menerima kunjungan keluarga lelaki itu ke mari.
Ustaz Al-Hafiz Danial bin Asya'ri.
Anak didik di madrasah papa yang baru sahaja pulang dari Jordan. Sebenarnya keluarga kami sudah pun berkenalan sejak kami kecil lagi. Sewaktu aku meniti usia remaja, Puan Fatimah terus sahaja mengusulkan cadangan agar aku disatukan dengan anak lelaki tunggalnya.
Emak dan papa pula, terus sahaja setuju tanpa menanyakan pendapatku. Kata emak dan papa, cinta selepas nikah itu lebih manis daripada cinta sebelum nikah.
Manis ya? Huh! Manis pada orang tua berdua tu, tapi bukan aku. Aku tak tahu kenapa orang tua aku masih lagi mengekalkan tradisi kuno tu.
Kononnya, kahwin dengan jodoh pilihan keluarga hidup akan bahagia dan diberkati. Seperti perkahwinan orang tua aku suatu masa dahulu.
Tolonglah! Aku bukan seperti dara pingitan zaman dahulu. Berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.
"Feera, kau kena cantik-cantik depan suami kau nanti. Penat tau aku mekapkan kau hari ni. Pastikan kau menjiwai watak sebagai isteri yang disayangi suami."
Lina yang menjadi mak andam tidak berbayarku pada hari ini sudah pun memberikan tips. Duduk di sisiku, dia berbisik-bisik sambil tersenyum-senyum gedik.
YOU ARE READING
Imperfect Moment (TERBIT)
RomanceISA KHAN | SAFEERA NASREEN Terbitan : Fajar Pakeer "When I'm good,I'm good, but when I'm bad,I'm better." - MAE WEST Dia wanita yang sungguh berani. Sanggup melarikan diri daripada majlis pernikahannya sekaligus mencontengkan arang ke wajah orang tu...