BAB 11

395 45 9
                                    

Jag yang berisi air Yassin, diambil lalu disiram ke pusara yang masih merah itu. Setelah itu, aku menghulurkan jag tersebut kepada Abang Nuh untuk disiram. Isa pula, masih duduk bertinggung di sisi pusara arwah isterinya. Batu nisan yang terukir nama Sarah, dipegang tidak lepas sejak tadi.

Disebabkan perkahwinan Isa dan Sarah tidak direstui oleh keluarga, tiada satu pun ahli keluarga mereka yang menghadiri majlis pengebumian ini kecuali keluarga kami. Segala urusan pengebumian Sarah, dibantu sepenuhnya oleh abang aku sendiri.

Walaupun aku tak berapa sukakan Sarah, aku sebenarnya terkesan dengan cara kematian dia yang secara tiba-tiba. Sudahlah selepas dia meminta Isa untuk berkahwin dengan aku.

Ya, memang benar aku nak kahwin dengan Isa. Tapi macam tak seronoklah pula. Aku nak lakukan semua ini atas hasil titik peluh aku sendiri. Tapi ini, lain pula jadinya.

Satu yang aku musykil. Kenapa ya tiba-tiba Sarah minta aku kahwin dengan suami dia sedangkan selama ini dialah orang yang menentang sekeras-kerasnya perkahwinan ini?

"Nuh, maafkan saya kerana gagal menjadi suami yang baik buat Sarah. Awak boleh hukum saya, Nuh. Hukumlah saya..."

Aku terpempam apabila tiba-tiba sahaja Isa memegang kaki Abang Nuh. Suaranya kedengaran lirih dan sayu sekali.

"Abang Isa..."

"Tolong, Nuh. Saya dah gagal jadi seorang suami untuk Sarah. Kalau awak..."

"Sudah, Abang Isa." Suara Abang Nuh berubah tegas. Air mukanya juga menjadi tegang sedikit. Meletakkan air jag ke tepi, laju sahaja Abang Nuh membantu lelaki itu berdiri di sisinya.

"Jodoh dan ajal, itu semua di bawah kuasa Allah. Siapa kita untuk mengatur perkara yang berada di bawah kekuasaan Dia. Allah dah tetapkan, Abang Isa merupakan suami buat arwah Sarah. Jangan pernah menyesal atas apa yang jadi. Saya dah lama reda dan faham. Syarifah Sarah memang diciptakan untuk Abang Isa. Insha-Allah, berkat abang menjadi suami yang terbaik buat Sarah selama ini, akan ada ganjaran buat abang di syurga kelak. Banyakkan bersabar, ya..." Suara Abang Nuh kedengaran kendur. Tidak tegas seperti tadi. Dalam masa yang sama, belakang tubuh Isa dilurut perlahan.

Tanpa aba-aba, laju sahaja Isa menarik tubuh abangku ke dalam dakapannya.

Tiada tangisan. Tiada lolongan.

Yang ada cuma...

Seulas bibir yang dikoyakkan untuk tersenyum. Dengan keadaan kedua belah matanya terpejam rapat, aku tahu Isa cuba menahan segala emosi yang membedil dadanya sejak tadi. Tapi dia pilih untuk kekal tenang di hadapan kami.

Serapat manakah Kak Sarah dengan abang aku? Kenapa Isa perlu minta maaf sedangkan dia merupakan suami kepada wanita itu?

Entah-entah...

Aku terdiam. Melihat segala apa yang terjadi di hadapan mata seharian ini, firasatku kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka bertiga. Tetapi, aku tidak mampu untuk korek cerita.

Tak mengapa, lambat laun aku akan tahu juga. Buat masa sekarang, semua benda tu tak penting bagi aku. Aku akan pastikan Isa ikut amanat yang diberikan oleh Sarah tadi. Tak kisahlah sesiapa pun yang merancang perkara ini, aku tetap nakkan Isa Khan menjadi hak milik aku dalam masa yang terdekat ni.

Aku takkan mampu untuk bertahan lagi. Jika selepas ini ada sesiapa sahaja yang menghalang aku untuk memiliki lelaki si mata jade itu, aku akan pastikan dia mati.

Itu, janji aku.




Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now