BAB 6

384 35 2
                                    


SAMPAI sahaja di hospital, lelaki itu meminta izin untuk solat seketika di surau. Dia turut mengajakku supaya solat Maghrib terlebih dahulu, sebaliknya aku mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja ajakannya itu berlalu bagaikan angin.

Sebaliknya, aku mengambil keputusan untuk duduk seketika di kafetaria yang terdapat di kawasan hospital ini.

Nampaknya, semua gerai telah pun ditutup dan bersiap untuk berkemas kerana waktu perniagaan mereka sudah pun tamat. Mujurlah ada sebuah kedai runcit yang masih dibuka di hujung sana.

Langkah kaki mula diatur menuju ke sana untuk membeli minuman untuk menghilangkan rasa kering pada tekak.

Setelah selesai membeli minuman, aku kembali mengambil tempat di luar kafetaria. Dalam masa yang sama, anak mataku mula melilau ke arah surau di hadapan sana. Mahu melihat sama ada lelaki itu sudah siap mengerjakan solat atau pun belum.

Sebenarnya, sudah lama aku tidak mengerjakan solat dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika ada pun, ia tidak ikhlas dari hati. Hanya anggota tubuhku sahaja yang bergerak tetapi nawaitu tidak bergerak seiring dengan apa yang dizahirkan.

Jika di rumah, aku terpaksa berpura-pura memakai telekung berlakon solat apabila berada di hadapan emak dan papa. Kalau aku tidak solat, pasti emak dan papa akan menengkingku dan memarahiku dengan kata-kata yang kesat.

"Kau ni memang tak habis-habis nak malukan muka kami ke hah? Aku tahu kau tu perangai macam haram, tapi aku nak kau tutup semua dosa kau tu dengan sembahyang."

"Macam mana kau nak jadi isteri ustaz tu kalau kau malas sembahyang? Jaga sikit air muka kami ni."

"Mak kau, cikgu sekolah agama. Aku ni, mudir madrasah. Tolong jaga sikit imej kami ni."

Kadang, perasaanku jatuh kasihan kepada orang tua berdua itu. Mengapa mereka perlu menjadi penunggang agama dengan menyuruhku solat dan menutup aurat segala. Semuanya bukan kerana berniatkan Allah Taala sebaliknya kerana mahu menjaga air muka mereka.

Mahu kelihatan sempurna, warak dan alim di hadapan semua rakan-rakan mereka.

Seharam-haram perangai aku pun, aku tahulah mana baik dan mana yang benar. Sebab itu, aku tak mahu jadi hipokrit.

Memang diri aku ni jahat. Aku tak mahu melakukan semua itu untuk mengaburi mata orang ramai yang aku ini baik dan solehah.

"Meow."

Bunyi ngiaun yang menerpa hujung telinga membuatkan monologku pecah. Automatik, pandangan mula ditekurkan ke bawah untuk melihat sesuatu yang menggesel di kakiku.

"Meow."

Si Putih itu mengiau lagi. Menggesel lembut di kakiku, wajahnya mula ditalakan pada wajahku. Kelihatan comot sahaja wajahnya.

Terdapat juga kurap halus pada telinganya. Lidahnya terjelir-jelir seakan mahu meminta air.

"Kau lapar ni, kesian kau. Tunggu tau." Berkejar ke kedai runcit semula, aku membeli sebungkus makanan kucing. Kembali semula, aku sudah pun membawa kucing itu ke kaki lima lalu sehelai plastik dibentangkan dan makanan kucing itu ditabur ke atasnya.

"Makanlah, kenapa tak makan? Sedap tau." Aku bersuara apabila Si Putih itu tidak mahu makan makanan yang aku berikan kepadanya.

Seketika, Si Putih itu sudah pun mengiau-ngiau sedikit kuat. Dalam beberapa saat sahaja, berderet anak-anak kucing pelbagai warna mula datang ke arahnya.

Makanan yang aku taburkan tadi kini dimakan oleh si anak-anak kucing tersebut. Mungkin itu adalah anak-anaknya.

"Baiknya kau kucing," pujiku seraya mengusap lembut kepalanya. Seperti dia, aku juga memerhati dengan penuh minat si anak-anak kucing itu mengunyah makanan dengan berselera.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now