Isa Khan
SEBAIK sahaja salam diberi, sepasang kaki galahku mula melangkah masuk ke dalam ruang tamu apartmen. Melonggarkan ikatan tali leher, beg bimbit di tangan mula diletakkan ke atas sofa.
Rasa tenang mula terselit di sukma. Kagum dengan bakat isteriku yang pandai menghias syurga kami dengan indah sekali. Tidak sekali pun aku lihat rumah kami berada dalam keadaan bersepah atau tidak terurus. Semuanya, serba-serbi sempurna.
Leher mula terpanjang-panjang mengintai gerangan suri hati yang sedang sibuk mengacau lauk di dapur. Sesaat, mataku mula terpejam seketika.
Bau tumisan itu, tidak pernah mengecewakan aku. Keenakan masakan Sarah, tidak boleh ditandingi oleh sesiapa setakat ini.
Membawa langkah menikus ke dapur, tubuh yang terikat dengan apron berwarna merah jambu itu, diintai dalam diam. Sebelah tangan sedang kacau lauk. Sebelah lagi, sibuk pegang erat perutnya yang memboyot itu.
Melihat itu, hatiku mula diterpa rasa kurang enak. Sudah berbuih mulut aku nasihatkan Sarah supaya tak payah masuk ke dapur. Bukan apa, aku takut kalau ada apa-apa jadi terhadap Sarah dan anak kami. Tetapi, itulah. Sarah masih lagi berkeras. Arahan aku dibiarkan sahaja disambut angin lalu.
"Habibi buat apa dekat belakang tu? Ingat Sarah tak tahu ke yang habibi dah balik?"
Menyedari bahawa diri aku sudah tertangkap oleh Sarah, senyum kecil mula bergayut pada bibirku.
Menyinsingkan lengan kemeja, kedua belah tanganku menyauk tubuh itu masuk ke dalam pelukan. Sejenak, dagu disangkutkan pada bahu Sarah. Mata dikatup seketika. Mahu menghirup haruman white musk yang terbit dari tubuhnya.
"Hari ni habibi tak tenang bila kepala ni asyik terfikirkan Sarah. Disebabkan Sarah, hari ni habibi tersalah ajar pelajar tau. Sampai hati Sarah buat habibi macam ni..." aduku, lemah. Disebabkan geram, terus sahaja aku mengucup pipi Sarah yang membulat itu. Terjerit kecil Sarah akibat tindakan nakalku. Sengaja aku mahu kenakan Sarah dengan jambangku yang baru sahaja dicukur ini.
"Alahai suami saya ni... kesian dia. Mari sini Sarah layan habibi ya..."
Menutup api dapur, Sarah segera memalingkan tubuhnya menghadap aku. Jari-jemarinya ligat meleraikan ikatan tali leher yang terikat longgar pada kolar kemeja.
Melihat keringat halus pada wajah Sarah, jari-jemariku lantas dibawa ke situ. Menyeka lembut. Sesaat, anak mataku dan Sarah kini bercantum erat. Seperti biasa, aku suka pandang mata Sarah lama-lama. Biar dia malu.
Pipi Sarah mula disimbahi warna merah. Aku tahu, Sarah lemah apabila aku pandang wajahnya dengan pandangan sebegini. Kata Sarah, sepasang mataku yang berwarna hijau ini mempunyai aura yang agak kuat. Sukar ditatap dalam tempoh masa yang lama.
"Kenapa muka merah semacam ni, hurm? Sarah segan lagi dengan habibi ke?" bisikku lembut. Dalam masa yang sama, sengaja aku usik hujung cuping telinganya, Suka tengok pipi dia yang masak ranum macam buah tomato tu.
"Mana ada! Sarah panas ni sebab baru masak tadi," dalih Sarah, laju.
Aku tahu Sarah sengaja cipta alasan. Aku tak buta untuk faham apa yang dia rasa pada ketika ini. Meskipun usia perkahwinan kami sudah setahun, Sarah masih malu dengan aku seperti mana hari pertama kami berdua disahkan sebagai suami dan isteri.
"Bila bercakap..." Ibu jariku mula menolak naik dagu Sarah sehingga sepasang mata hitam itu bertamu dengan mataku. "... pandang habibi, sayang. Jangan pandang tempat lain..." bisikku di hadapan wajah Sarah.
YOU ARE READING
Imperfect Moment (TERBIT)
RomanceISA KHAN | SAFEERA NASREEN Terbitan : Fajar Pakeer "When I'm good,I'm good, but when I'm bad,I'm better." - MAE WEST Dia wanita yang sungguh berani. Sanggup melarikan diri daripada majlis pernikahannya sekaligus mencontengkan arang ke wajah orang tu...