LANGKAH disusun satu per satu. Meski kelihatan gontai dan sedikit pincang, aku paksa sepasang kaki ini berdiri teguh agar tidak menyembah bumi.
Dongak pandangan ke atas, bayangan sebuah rumah pokok kini menyapa pandangan. Senyum halus kini terukir di bibir. Automatik nostalgia lama kini menari di ingatan.
Sewaktu kecil dulu, aku selalu bercerita dengan Abang Nuh tentang angan-anganku yang mahu memiliki sebuah rumah kecil di atas pokok ajaib. Pada waktu itu, aku tidak tahu apa-apa selain hanya bermain dalam dunia ciptaanku sendiri.
Hampir setiap hari, aku paksa Abang Nuh tadah telinga mendengar kisah dongeng ciptaanku sendiri. Abang Nuh pula, tidak jemu mendengar segala celotehku meskipun kesemua apa yang aku pernah cerita itu hanya imaginasi semata.
Suatu hari... hari di mana aku takkan lupa. Akhirnya, hajat aku ingin mempunyai rumah di atas pokok menjadi kenyataan jua. Tapi pada waktu itu, Abang Nuh sendiri yang cakap dia yang mahukan rumah itu kepada emak dan papa.
Biasalah, Abang Nuh kan anak emas emak dan papa. Apa sahaja yang abang mahu, pasti mereka berdua akan turuti. Berbeza sekali dengan aku.
Masih teringat lagi satu memori yang mungkin tidak akan aku lupa sehingga sekarang. Pada waktu tu, aku dan Abang Nuh bakal menduduki peperiksaan. Emak dan papa membawa Abang Nuh ke kedai buku untuk membeli segala buku rujukan dan alat tulis yang dia perlukan. Aku pula, hanya memandang dari jauh sambil berangan segala barangan di dalam kedai buku itu, akan menjadi milikku suatu hari nanti.
Dari rumah, emak sudah melarang aku agar tidak meminta apa-apa sewaktu di kedai buku itu nanti. Kata emak, segala alat tulis milik aku masih elok dan tidak perlu membazir beli yang baharu.
Andailah emak tahu, setiap hari aku terpaksa tebalkan muka meminjam alat tulis rakan-rakan sekelasku. Sehinggakan aku diejek dengan hebat kerana tidak berkemampuan untuk membeli barang sendiri tanpa meminjam orang.
Pada waktu itu, aku tidak mampu melawan kerana aku masih kecil. Jika diejek, aku hanya tersenyum malu dan berpura-pura tidak sedih.
Tandas menjadi saksi, betapa murahnya air mataku gugur pada ketika itu.
Apabila Abang Nuh tanya ke mana semua alat tulis aku, senang sahaja jawapan aku.
"Barang Feera hilang. Hari tu bagi kawan pinjam, entah dia letak mana."
Apabila jawapan itu menjadi halwa telinga Abang Nuh, dia hanya membebel mengenangkan betapa cuainya aku pada ketika itu. Walaupun mulut dia membebel macam mak nenek, dia tidak lokek memberi aku sebahagian alat tulis yang emak dan papa belikan untuk dia.
Di rumah kecil atas pokok inilah, menjadi tempat aku dan Abang Nuh mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Ada sahaja cerita-cerita yang Abang Nuh kongsikan kepadaku. Biasanya, abang aku suka bercerita tentang kisah para sahabat dan perjuangan Rasullullah daripada buku yang dia pinjam di perpustakaan sekolah.
Hubungan Abang Nuh dan buku, akrabnya bagai isi dengan kuku. Walaupun waktu rehat sekalipun, ada sahaja buku yang dia bawa setiap hari.
Dengan berhati-hati, tangga rumah kayu tersebut aku panjat satu per satu. Mujurlah saiz tubuhku kecil. Mudah sahaja untuk aku memanjat naik ke atas.
Sebaik sahaja pintu terbuka luas, senyum kecil terselit pada ulas bibir apabila bayangan buku-buku rujukan dan buku cerita milik kami berdua, masih lagi terletak elok di situ.
Memboloskan tubuh ke dalam rumah tersebut, pintu segera dikatup rapat. Aku terbatuk kecil apabila habuk dan debu hama kini berterbangan di udara. Nampak sangat rumah ini sudah lama tidak dijengah oleh sesiapa.

YOU ARE READING
Imperfect Moment (TERBIT)
RomanceISA KHAN | SAFEERA NASREEN Terbitan : Fajar Pakeer "When I'm good,I'm good, but when I'm bad,I'm better." - MAE WEST Dia wanita yang sungguh berani. Sanggup melarikan diri daripada majlis pernikahannya sekaligus mencontengkan arang ke wajah orang tu...