...
Rantai dan cincin yang tersarung di tubuh itu aku lepas perlahan-lahan. Objek kemilau itu aku tenung lama sebelum memasukkan ia ke dalam beg tangan. Kenangan dulu mengusik kembali.
"Simpan baik-baik tau hadiah abang ni. Jangan jual," kata dia sambil menggoyang-goyangkan telunjuk apabila aku yang acah-acah untuk melakukannya kalau terdesak.
"Habis tu? Kalau Eja dah tak ada harta lain, terpaksalah jugakkan," aku terkeseng-keseng masih sengaja menduga. Dia mengherot bibir geram. Paha dan pipiku terus dicubit manja.
"Abangkan ada? Mintaklah duit dengan abang. Janganlah jual hadiah abang ni. Ini tanda cinta abang tau. Eja buatlah macam tu, abang nak merajuk. Tak nak kawan!" Wajah cerahnya pun turut bertukar warna.
Aku sambung gelak. Giliran pipi dia pula aku cubit. Hidung mancung dia pun sama jadi mangsa. Habis merona merah wajahnya. Dengan rambut perang semulajadi miliknya itu dia nampak comel sangat bila tahan marah begitu.
"Iyalah. Marah sangatlah tu sampai muka dah jadi biji saga. Eja gurau pun tak boleh. Hehe," aku usik lagi. Dia senyum saja. Dah faham aku hanya mengacah saja tadi.
Serentak tangan aku dibawa ke pipinya.
"Eja dengar sini. Susah mana sekali pun kita nanti, biar abang yang bergolok bergadai dulu tau. Jangan jual hadiah abang tu. Selagi abang dipinjamkan kudrat oleh Tuhan, kita takkan miskin Insya Allah. Okey? I love you so much!"
Segenap wajahku kemudiannya dikucup.Tap! Tap! Air mataku jatuh lagi mengenangkan saat bahagia tersebut. Rasa selamat sangat berada di pelukannya. Waktu itu akulah orang yang paling beruntung di dunia ini. Tak keterlaluan untuk aku nobatkan saat itu bahawa akulah Cinderella seperti yang sering dikisahkan dalam kisah dongeng dahulu kala itu. Seorang gadis kampung yang bertemu jodoh dengan lelaki dari bandar yang ada kedudukan dan juga rupa.
Tapi, bahagia itu hanya mampu dikecap sebentar saja. Aku pun bingung. Tapi aku perlu bersangka baik dengan qada' dan qadar Tuhan. Mungkin itu semua adalah kifarah atas sikap aku yang rakus berbelanja dulu atau banyak khilaf yang mungkin aku tak sedar dalam hubungan kami. Tapi sebagai suami, dia sepatutnya mengikut tiga cara yang telah dipesan oleh Tuhan untuk menegur dengan berhikmah sebelum tekad melepaskan talak.
(Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.) Surah Annisa' : 34.
Ayat Tuhan itu membarisi ingatan. Sebetulnya, aku bukanlah wanita yang keras kepala sangat. Namun, dia terlalu cepat menghukum dan tidak memberi ruang untuk aku jelaskan satu-persatu. Malam itu bersaksikan keluarga dia yang tiba-tiba datang ke kampung, aku dilepaskan tanpa rela. Dengan wajah terkejut sambil menggendong dua bayi di tangan, aku terduduk dan terkedu. Mak Som yang kebetulan ada bersama bertungkus-lumus cuba menenangkan keadaan. Sedih sangat bila kenangkan semula! Ah, aku tewas lagi. Takung mata yang sudah sarat sejak tadi kini memburai laju.
Jujur, setelah kejadian itu aku sangat payah untuk lupakan semua. Sampaikan aku kerap kali dilihat bercakap sendiri macam orang sasau. Kalau tak kuat iman, mahu saja aku bunuh diri. Tapi, iman senipis kulit bawang ini masih mampu mencegah kufur yang dihasut oleh syaitan terlaknat. Aku cuba bangkit. Pada Mak Somlah aku mencurah rasa. Bila ingat semula, sebelum kejadian malam itu akaun telegram aku kena godam. Dari sumber yang dipercayai, Ipan kawan lelaki yang pernah ada hubungan rapat dengan aku ketika di bangku sekolah itu yang menjadi mangsa. Katanya aku telah minta sejumlah duit dari dia dan lelaki itu memberikannya tanpa ragu. Hal itu terus jadi besar apabila aku dikatakan diam membatu diri setelah duit berjaya ditransaksi. Orang Belah Sanalah yang bayarkan semula duit Ipan yang telah lesap itu. Tanpa usul periksa, aku dituduh jahat oleh dia dan keluarga. Tapi kalau disiasat dengan betul, siapakah yang jadi mangsa sebenarnya? Jawapannya adalah aku dan dia juga kan!
Ah, tapi aku tak mampu buat apa lagi. Nasi dah jadi bubur. Ikatan suci ini pun dah terlerai. Sekarang, lelucon aku dulu dah memakan diri. Dua tanda cinta darinya ini akan jadi korban demi memenuhi janji.
Tap! Tap!
Kaki kuhayun laju ke muka pintu. Mudah-mudahan ada kenderaan awam yang lalu-lalang di jalan utama nanti. Takkan nak minta tolong Tini. Kecoh pula mulut minah tu nanti laporkan pada kekasih hati. Memang kena pergi sendiri. Dari tinjauan Pak Cik Google, ada sebuah kedai emas yang terletak tak jauh dari HD HOTEL. Bolehlah aku laksanakan akad jual beli di sana nanti.
Tut!
Mesej dari Rizal tiba-tiba masuk.
'Eja boleh datang awal tak ke hotel hari ni?'
Gulp! Dan-dan aje lelaki itu hantar pesanan. Macam tahu-tahu saja aku tekad nak menuang kerja petang nanti. Kenapa pula disuruh awal ke sana? Bukankah taklimat penyediaan bagi menu makan malam hari ini jam 2 petang nanti? Aduh, janganlah dia buat kacau pula! Silap-silap Tini yang sampai dulu sebelum teksi.
'Saya ada hal sikit pagi ni Rizal. Tugasan mula pukul 2 petangkan?'
Tiada balasan. Hmm.. lantaklah. Mungkin dia saja bertanya.
Pin!
Yes! Ada pun teksi. Hari sebelum kenapa susah benar nak dapatkan perkhidmatan ni?
"Berhenti kat depan tu ya encik," telunjukku lurus kemudiannya menunjuk ke arah sebuah kedai emas yang sudah tidak jauh dari situ. Namun, kenderaan itu masih bergerak. Aik, dia tak dengar?
"Encik berhenti!" Aku kuatkan suara. Bukan apa, takut dia terlajak beberapa ratus meter ke depan nanti, penat juga aku nak berjalan.
"Sorry.." Sepatah kata dari si pemandu teksi.
Baiklah, maaf diterima. Nasib baik betul-betul di depan kedai yang nak dituju. Cepat-cepat aku keluar dari perut kereta. Tapi.....
Sarghh!
Belum sempat aku menapak, kelibat lelaki bertopeng muka pula yang datang merenggut. Beg tangan aku dilarikan! Tidaaaakkkk! Sekuat-kuat hati aju jerit. Janganlah macam ni!!!!
"Tolongggg!!!"
Orang ramai yang lalu-lalang di situ turut terkejut. Para pelanggan dari kedai emas yang dimaksudkan tadi ramai juga yang keluar bertanya keadaan dan tak kurang juga yang mengejar. Tapi, kelibat penyamun tadi lari berdesup laju dan lesap dari pandangan. Aku pun tak pasti dia ke mana. Terduduk aku di situ. Bibir terus terkunci. Sekelip mata segala-galanya hilang tanpa sempat aku selamatkan. Tuhan saja yang tahu betapa sedihnya perasaan aku sekarang. Kosong! Betul-betul sehelai sepinggang. Yang mampu aku buat hanya menangis. Apa yang orang sekeliling sedang bercakap tentang aku pun dah tak mampu menembus gegendang telinga. Sekarang dunia aku gelap. Sepekat malam yang menakung dakwat! Yang aku ingat, hanya nama aku diseru berulang-ulang. Tapi, aku dah terlalu lemah untuk menyahut....
BERSAMBUNG....
(Hehe... Kita sambung sinilah... Yg dari NP say hi sikit... )
YOU ARE READING
MEREKAT KASIH
Romance"Kalau dah jodoh takkan ke mana... You lari, I kejar... I hilang, you rindu.. Pen biru, pen merah.. I love you, jangan maraahhh..." -Encik Tukang-