.....
Aku bergerak ke kiri dan ke kanan. Ah, selesanya! Empuk dan sejuk lagi. Aroma di sekitar pun harum. Macam bau minyak wangi orang-orang kayangan. Hmphh, aku sedut lagi udara segar itu. Sehingga....
Prankk!! Bunyi cawan yang jatuh. Mataku terus terbuka luas. Ada selimut tebal yang membalut tubuh. Isy, kat mana ni? Terus aku raba kepala. Tudung dah tiada. Kasut flat yang aku pakai tadi pun dah ditanggalkan. Ah, aku mula cuak. Baju? Kain? Fuh, lega! Nasib baik masih lengkap. Tapi, musykil. Bukankah tadi aku di depan kedai emas, sekarang bagaimana boleh ke sini?
Jari-jemari aku berpusing-pusing membilang kronologi sebelum kejadian sehingga kes samun itu berlaku. Ada suara memanggil kemudiannya, tapi aku tak pasti siapa.
Aku angkat kepala yang masih bingung. Ruang yang ditutupi dinding kaca dan langsir tebal itu aku amati lama. Luas juga! Selain dilengkapi pendingin hawa yang segar, lampu-lampu yang dipasang pun cantik-cantik. Sebuah katil bersaiz raja yang sedang aku duduki ini sengaja diletak berhampiran sebuah almari pakaian. Di sudut kiri pula, tersusun beberapa majalah dan pokok bunga kecil di atas sebuah kabinet televisyen yang agak besar saiznya. Sesekali terdengar desiran haruman bilik yang sengaja dipasang pada dinding. Padanlah wangi semacam. Ruang tertutup begini tak ubah seperti sebuah bilik hotel! Mahal juga kalau mahu ditempah oleh orang sengkek macam aku.
Pelik! Apa dah berlaku sebenarnya? Aku cuba ingat semula kejadian ngeri tadi. Penyamun itu larikan beg tangan aku. Terus aku jadi sehelai sepinggang. Jangan-jangan aku diculik? Tak boleh jadi. Sambil geleng kepala, aku bingkas bangun berlari-lari ke muka pintu untuk selamatkan diri.
"Ejaaaa!!!" Suara perempuan memanggil keras. Tini muncul dari bilik air.
Ah, aku mengurut dada. Lega! Ini bermakna aku tak diculik. Kalau Tini orangnya, takkanlah berniat jahat pula. Walaupun selalu sinis, tak mungkin dia nak culik aku. Tapi....
"Kau nak pergi mana? Jangan macam-macam lagi eh?" Tini mendekat sambil telunjuknya diacukan tepat ke muka aku.
Berlapis dahi aku hairan dengan tingkah minah ni. Apa maksud dia?
"Aku kat mana ni? Macam kat bilik..." Tak sempat aku habiskan kata, Tini sudah memintas.
"Yalah. Takkan kat laut," mukanya sinis dan matanya dijegil. Tubuhku ditarik kembali untuk duduk di katil.
"Nah, minum ni," segelas air hangat dihulurkan. Macam tahu-tahu saja aku dahaga. Sambil minum, sempat juga aku toleh ke arah jam di dinding. Tiga setengah! Terus teringat akan jadual yang telah ditetapkan oleh pihak hotel hari ini.
"Sekarang taklimat untuk penyediaan menu makan malam kan?" Spontan aku bertanya. Gadis ini kan antara orang penting juga untuk mengendalikan acara. Boleh pula dia duduk di sini.
Tini menjeling lagi. Sejurus kemudian dia memicing mata gaya orang sangsikan sesuatu.
"Kau pakai ilmu apa ya Eja? Apasal Encik Tukang tu concern sangat pasal kau? Dan-dan aje acara untuk calon hari ni ditangguhkan ke hari esok,"
Aku tersentak sedikit. Lama juga nak hadam. Apa kaitan dengan Encik Tukang pula? Jangan-jangan suara yang memanggil ketika kes samun tadi itu adalah Encik Tukang? Memang mamat tu ada hantar pesanan sebelum aku sampai ke situ. Kedai emas itu pun memang tak jauh dari HD HOTEL. Tapi, macam satu keajaibanlah kalau dia yang kebetulan di situ.
"Apa kau cakap ni?" Geram juga aku dia main tuduh-tuduh. Tak pernah pula aku mengamalkan ilmu-ilmu hitam begitu. Syirik! Nak mati dalam kufur? Bodoh!
Tini mencebik lagi.
"Iyalah. Dah ramai perempuan cuba nak dekat dengan dia, tapi tak pernah pulak dia layan. Alih-alih kau yang baru sangat kat sini pulak dia bagi perhatian. Hebat jugak skill kau ya. Kalau bukan guna-guna, sondol rupalah kut,"
YOU ARE READING
MEREKAT KASIH
Romance"Kalau dah jodoh takkan ke mana... You lari, I kejar... I hilang, you rindu.. Pen biru, pen merah.. I love you, jangan maraahhh..." -Encik Tukang-