Vicious 48 | Slowly, but surely

1.3K 257 75
                                    

Dan mungkin, satu hari nanti
Mereka tahu ke mana hala hubungan ini

➽───────────────❥

Suasana dalam bilik itu sunyi, hanya ditemani bunyi pendingin hawa yang ditetapkan pada tahap minimum. Cahaya lampu tidur berwarna jingga malap menerangi ruangan dengan samar-samar, mencipta bayang-bayang lembut di dinding.

Malam itu Rain terlelap dalam keletihan, tubuhnya masih dalam proses pemulihan selepas bersalin. Petang tadi, dia baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital setelah doktor mengesahkan dia dan Ruhi sihat tanpa sebarang komplikasi.

Sebaik sahaja pulang petang tadi, langkahnya terhenti di ambang pintu bilik. Dia tidak menjangkakan apa yang menantinya di dalam.

Katil bayi sudah tersedia bersebelahan katilnya, dilengkapi dengan tilam yang lembut, selimut bayi yang berbau sabun bayi, serta satu set mainan tergantung di atasnya. Di sudut bilik, ada rak kecil yang diisi penuh dengan lampin, pakaian bayi yang sudah tersusun rapi, dan botol susu yang masih di dalam plastik pembungkus.

Semua itu buat Rain tertanya-tanya.

Semua ini... dalam masa kurang daripada sehari?

Sepanjang kendungannya, dia tak pernah terfikir untuk menyediakan itu semua malah Vic sendiri tidak pernah menyentuh soal kelengkapan bayi yang diperlukan, jadi Rain hanya mampu mengikuti rentak lelaki itu. Lagipun dua bulan terakhir kandungannya, mereka terlampau sibuk dengan Rhea yang koma, jadi Rain juga memahami sekiranya tiada persiapan yang dilakukan lebih awal.

Rain tahu Vic lebih dari mampu melakukan ini. Dengan duit dan akses yang dia ada, tentu tidak sukar baginya untuk mendapatkan semuanya dalam sekelip mata. Jika dia mahu sesuatu, lelaki itu akan pastikan ia tersedia tanpa perlu menunggu. Mungkin dengan hanya memberikan sebuah arahan, segalanya akan disediakan.

Namun, apa yang lebih membuatkan Rain terdiam bukanlah kesempurnaan persiapan ini, tetapi hakikat bahawa Vic seperti benar-benar memahami keinginannya.

Dia yang meminta ruang.

Dia yang mahu berpisah kamar buat sementara.

Dan Vic tidak mempertikaikannya, sebaliknya, dia hanya memastikan segala keperluannya dan Ruhi disediakan dengan sempurna.

Hati Rain terasa sedikit lega, dan dalam diam, dia bersyukur. Bukan kerana kemewahan yang Vic mampu berikan, tetapi kerana untuk sekali ini, kemahuannya dituruti tanpa dinafikan.

Namun, ketika itu Rain sedang nyenak dihanyut lena, sehingga tidak menyedari tangisan halus yang mula memenuhi ruang itu.

Ruhi merengek kecil, tubuhnya yang masih kecil mengeliat sedikit dalam bedungnya, mencari sesuatu yang hanya bayi sepertinya tahu apa yang perlukan. Tangisannya semakin jelas, namun Rain masih terlena. Keletihan benar-benar menundukkan dirinya malam ini.

Tangisan Ruhi kian galak.

Rain tetap tak terjaga dari lenanya, tetapi sebaliknya ada seseorang yang mendengar.

Di dalam samar-samar bilik itu, Vic masuk dari pintu sambungan. Perlahan-lahan dia mara sambil memerhatikan Rain untuk memastikan wanita itu tidak terjaga. Sampai di sisi katil Ruhi, tubuh Vic tegak terpaku. Jelas dia tidak tahu harus berbuat apa. Dia menelan liur, cuba mengingat apa yang pernah dibacanya tentang cara menenangkan bayi. Dengan perlahan, dia membongkok dan mengangkat Ruhi dalam dakapannya. Penuh berhati-hati.

"Shh... it's okay, baby. Daddy's here," bisiknya perlahan, tetapi suara rendah itu jelas kekok, seperti seseorang yang tidak biasa dengan panggilan itu sendiri.

His Broken Vow [C] | Ikrar Dusta | His Deceit Series #1Where stories live. Discover now