Vicious 49 | Welcome home

1.5K 259 92
                                    

This is where I came from,
and this is where I belong...

 

➽───────────────❥

 

Rain menghela nafas berat buat kesekian kalinya, jari jemarinya menggenggam telefon yang masih tidak bergetar sejak pagi tadi. Matanya merenung skrin kosong, menanti satu panggilan atau sekurang-kurangnya satu mesej daripada lelaki itu.

Namun, masih tiada apa-apa.

Sejak Vic berangkat minggu lalu secara tergesa-gesa ke Macau untuk menguruskan masalah yang menimpa resort kasinonya, dia tidak pernah gagal untuk menghubungi mereka walaupun hanya sekejap. Ada sahaja pesanan ringkas, mahupun pesanan suara yang dikirim, bertanyakan khabar Rhea dan Ruhi, ataupun hanya sekadar bertanya sama ada Rain sudah makan atau belum. Sepenat mana atau selewat mana pun lelaki itu usai habis bekerja, dia pasti akan dihubungi.

Tetapi kini, semuanya sunyi.

Sepi.

Keadaan ini sudah berlangsung selama seminggu. Pada awalnya, Rain cuba meyakinkan dirinya bahawa lelaki itu sibuk setelah sekian lama menumpukan sepenuh perhatian hanya padanya dan anak-anak. Dia cuba menenangkan hatinya, mengatakan bahawa mungkin urusan di Macau lebih rumit daripada yang dijangkakan. Tetapi lama-kelamaan, keresahan mula menguasai dirinya. Sejak hari pertama Vic tidak memberi khabar, dia mula terfikir pelbagai kemungkinan buruk.

Apa yang sedang berlaku di sana?

Kenapa Vic tiba-tiba menghilang?

Adakah sesuatu telah terjadi padanya?

Setiap kali dia terjaga di tengah malam dan menyedari Vic tiada untuk membantunya menguruskan Ruhi seperti selalu, hatinya semakin gusar. Tidak pernah dia membayangkan bahawa kehilangan jejak lelaki itu buat beberapa hari sahaja sudah cukup untuk membuatkan dia rasa hilang separuh nyawa.

Bukan kerana penat menguruskan Ruhi sendiri, tetapi kerana dia penat menanggung gelisah menanti.

Dia cuba menipu diri sendiri, cuba mengatakan bahawa dia baik-baik saja, tetapi hakikatnya tidak. Jiwanya tidak tenteram. Ada sesuatu yang menghimpit dadanya setiap kali dia memikirkan kemungkinan terburuk.

Bukan dia tak mencuba untuk menghubungi Vic, tetapi panggilannya kerap disambungkan ke peti simpanan suara yang mana akhirnya tiap-tiap pesanannya dibiarkan begitu sahaja.

Hatinya menolak untuk mempercayai bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku, tetapi logiknya berbisik sebaliknya.

Jika Vic baik-baik saja, dia pasti akan menghubunginya.

Tetapi kenapa langsung tiada apa-apa?

Hilang khabar.

Hilang berita.

Hilang jejak.

Dan itu yang paling ditakuti Rain. Lelaki itu muncul dan pergi darinya sesuka hati...

Hatinya semakin tidak keruan. Dia berjalan mundar-mandir di dalam bilik, cuba mengalihkan fikirannya daripada perkara yang membebani benaknya. Tetapi, semakin dia cuba melupakan, semakin fikirannya berputar ke arah lelaki itu.

Dan akhirnya, ketakutannya menjadi nyata apabila pintu rumah diketuk pada lewat malam.

Rain hampir tidak peduli, tetapi suara Ema dari luar mengejutkannya.

"Rain, ada orang nak jumpa!" Bicara Ema kedengaran kalut.

Jantungnya berdegup kencang, berlumba dalam dada.

His Broken Vow [C] | Ikrar Dusta | His Deceit Series #1Where stories live. Discover now