UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM
"Akhir sekali saya mahu ucapkan kepada kamu semua, selamat hari raya dan selamat bercuti!" Sekaligus tepukan gemuruh diberikan daripada seluruh pelajar Universiti Shah Alam. Usai sahaja ucapan daripada pensyarah, pelajar terus beredar ke dorm masing-masing untuk mengemas pakaian. Luna dan Nahrishah jalan beriringan menuju ke bilik mereka.
"Kau balik sorang je Luna? nak aku teman tak?" Tanya Nazihah yang tiba-tiba sahaja muncul di tepi mereka bersama kembarnya di sisi, Najihah. Nazihah, Najihah dan Nahrishah akan pulang ke kampung bersama memandangkan kampung mereka berdekatan antara satu sama lain. Kebiasaanya Nahrishah yang akan memandu kereta saat mereka keluar bersama untuk mencari barang keperluan. Memandangkan Luna sudah mendapatkan lesen kereta sejak dua bulan lalu, dia dan Nahrishah bersilih ganti membawa kereta.
"Takpelah, lagipun kampung aku jauh dari korang" Jawab Luna Arina, tidak ingin membebankan mereka.
"Betul ni?" Tanya Nahrishah buat kedua kalinya untuk memastikan. Luna mengangguk laju untuk meyakinkan kawannya. Bahu Nahrishah dipeluk lembut sambil tersenyum ikhlas.
Sampai sahaja mereka di bilik, baju terus dikemas. Tidak sabar untuk pulang ke kampung. Jam menunjukkan pukul 5:00 petang. Usai sahaja pakaian dikemas, bagasi ditarik ke tempat parking kereta. Najihah menuju ke arah Luna lalu memeluk lembut Luna untuk menghantar pemergian kawan baiknya itu. Diikuti pula oleh Nazihah dan Nahrishah. Luna hanya tersenyum nipis kepada kawan-kawannya.
"Kirim salam mak kau ye" Ujar Nahrishah. Luna mengangguk perlahan lalu meloloskan diri ke dalam kereta. Tingkap pemandu dibuka separuh untuk melambai ketiga-tiga kawan baiknya itu. Najihah, Nazihah dan Nahrishah menghantar pemergian Luna sehinggalah kelibat kereta Honda Brv merah itu hilang dari pandangan mereka.
Setelah hampir 2 jam perjalanan, Luna singgah di hentian rehat berdekatan. Dia terus menunaikan solat maghrib setelah sahaja azan berkumandang.
"Niaiwo woaini nisyentian sana mimi..." Deringan lagu iklan ais krim Mixue memecahkan kesunyian ruangan parking. Luna menyeluk poket kirinya untuk mengambil telefon bimbit. Nama ibunya tertera di skrin telefon, laju dia mengangkat panggilan tersebut.
"Assalamualaikum" Salam diberi daripada ibu. Lalu dijawab oleh Luna.
"Anak ibu dah dekat mana?" Tanya ibu Luna tentang keberadaan anaknya. Risau tentang anaknya yang memandu seorang diri memandangkan ini merupakan kali pertama Luna memandu seorang diri dengan jarak yang sangat jauh.
"Luna dekat hentian rehat dan rawat Tapah ni bu, nanti Luna nak sampai Luna bagitahu ibu ye" Ujar Luna. Dia kini meneruskan perjalanannya ke kampung bertemankan ibunya melalui panggilan telefon.
Setelah beberapa jam perjalanan, telefon bimbit Luna terpadam secara tiba-tiba, gelap. Beberapa saat kemudian, enjin kereta pula mati. Perasaan cemas mulai muncul dalam diri. Lampu jalan pula sangat jauh daripada kawasan di mana Luna berada yang membuatkan jalan kelihatan samar-samar di mata. Telefonnya dicapai lalu dibelek. Batteri habis?. Dia menggenggam telefon erat. Jantungnya berdebar-debar kuat apabila mendengar pelbagai bunyi yang datangnya daripada hutan tebal di kedua-dua belah tepi jalan.
Nasib Luna baik apabila masih mempunyai kenderaan yang lalu di kawasan itu. Kereta Ativa putih milik sebuah keluarga berhenti tepat di sebelah kenderaan milik Luna. Cermin penumpang dibuka separuh, seorang perempuan yang berkemungkinan berumur 26 tahun bersama anak kecilnya yang didukung dan seorang lelaki di seat pemandu kira-kira berumur 28 tahun mula bertanya tentang keadaan Luna. Lalu lelaki yang berada di sebelahnya tadi cuba membaiki enjin kereta milik Luna. Sempat dia tegur untuk tidak memandu berseorangan pada lewat malam, Luna menggangguk faham.
Mereka meminta diri selepas sahaja kereta Luna dapat dihidupkan. Luna menghantar pemergian mereka dengan lambaian. Alangkah terkejutnya Luna apabila melihat seorang kanak-kanak lelaki berada di tempat duduk penumpang kereta tersebut penuh dengan darah yang mengalir di seluruh muka. Wajah kedua pasangan tadi pula bertukar pucat dan berdarah. Sempat kanak-kanak lelaki tersebut melambai Luna. Bermacam-macam soalan bermain di fikiran Luna, membuatkan dia semakin resah.
Sebelum dia menyambungkan perjalanannya semula dia membaca surah agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Tali pinggang keledar dipakai lalu laju dia memecut keluar dari kawasan gelap itu. Perasaan takut itu memang ada tetapi dia bersyukur apabila manusia atau kelibat tadi telah membantu dirinya. Dia hanya berharap agar tiada lagi perkara yang mengerikan muncul di hadapannya.
SUNGAI PETANI, KEDAH
Beberapa jam kemudian, akhirnya Luna selamat tiba di hadapan perkarangan rumah ibunya. Pintu diketuk, tidak dibuka. Dia ketuk sekali lagi dan memberi salam kuat. Akhirnya muncul wajah yang dirinduinya selama ini. Luna menarik ibunya ke dalam pelukkan erat. Beg kertas yang dipegangnya sejak tadi dipandang lalu dihulurkan kepada ibunya.
"Apa ni?"Luna hanya membalas dengan senyuman. Lalu beg kertas itu dibuka dan baju kurung Kedah dikeluarkan, tersenyum bahagia ibunya melihat baju kurung yang berada di hadapannya kini. Itu yang dia inginkan selama ini. Baju kurung Kedah yang selalu dipakai oleh arwah nenek Luna dulu. Luna tahu apa yang diinginkan oleh ibunya, oleh itu dia menempah baju yang seakan-akan serupa dengan baju kurung milik arwah neneknya.
Bingkai gambar yang terletak di meja television ditatap, rindu kepada neneknya.
"Luna, mari makan" Ajak ibunya. Masakan kegemaran Luna iaitu ayam masak merah kini terhidang di atas meja. Air liur ditelan, ada pula sirap limau kegemarannya disajikan oleh ibunya. Setelah membaca doa makan air sirap limau yang telah tersedia di dalam gelas itu terus diteguk. Kejadian di hutan tebal tadi terus dilupakan apabila melihat makanan yang kini berada di hadapannya.
Ayam masak merah dicedokkan oleh ayah ke atas pinggan Luna. Air mata mulai menitis sedikit demi sedikit. Lama dia merenung wajah gembira ayahnya. Namun lamunan Luna terhenti apabila ditegur oleh ibu. Air mata di pipi diseka. 'Ayah, Luna rindu ayah'
YOU ARE READING
KAMI datang nak raya!
HorrorBeritaSandra (rabu hingga ahad) 22 May 2022- Hantu di Malam Raya? Ramai yang percaya bahawa syaitan dan jin akan diikat menjelang ramadhan. Jadi ketika syawal menjelma adakah hantu akan terus dilepaskan? Seorang pengguna aplikasi Twitter telah mence...