WARDAH melirik ke arah jam antik di dinding, jarum pendek mengarah ke arah nombor sepuluh. Dah lewat dan Wardah tak nampak batang hidung encik suami turun. Hari ini hari Rabu dan hari Rabu bukanlah hari di mana lelaki itu dapat bersenang-lenang di rumah.
"Dia terbabas tidur eh?" Monolog Wardah sendiri. Komputer riba di atas paha dialihkan ke tepi. Rasa tak sedap hati pula kalau dia tak pergi tengok Hilal. Manalah tahu suaminya perlu pergi menghadiri mesyuarat penting hari ni. Karang tak pasal-pasal dia dipersalahkan.
Sebelum Wardah pergi ke bilik Hilal yang terletak di tingkat dua, Wardah terlebih dahulu turun ke bawah untuk memastikan kereta Mercedes AMG Hilal masih berada di garaj. Kalau betul masih tersadai, itu bermakna Hilal tak pergi ke tempat kerjanya lagi. Kalau keretanya dah tak ada, Wardah akan merasa lega. Legalah Hilal tak lewat pergi kerja.
"Mak aii, sah terbabas ni..." Kelihatan kereta Hilal masih ada di garaj. Tak menunggu lama, Wardah terus buka langkah seribu naik ke tingkat 2 banglo itu. Nama Hilal dipanggil nyaring.
"Hilal bangun!"
"Abang dah lewat!" Tak sampai tiga minit, Wardah sampai di tingkat dua dengan nafas yang termengah-mengah. Dah lama tak bersenam, tiba-tiba kena turun naik tangga. Terasa longlai semacam aje lutut ni.
"Aban-" Bersandar ke daun pintu dengan niat nak berehat tapi malang tak berbau apabila pintu tersebut ditarik dari dalam. Untung pun tak diduga apabila tubuhnya disambut oleh Hilal. Rezeki disambut dan rezeki dapat tengok Hilal yang seksi tak berbaju. Hanya berseluar pendek.
Perut berketul-ketul woo!
"Kau nak apa? Dari tadi terpekik terlolong. Tengah jual sotong?!" Marah Hilal. Tubuh si isteri segera dilepaskan tatkala keadaan sudah stabil.
"Dah pukul 10. Abang dah lewat pergi kerja."
"Aku tak pergi kerja hari ni. Dah jelas dah kan? Okey, pergi berambus dari kawasan aku." Pintu ditutup lalu dikunci. Wardah diluar terpinga-pinga. Amboi, eloknya perangai. Wardah dah baik hati nak kejutkan orang tu...
Tapi kenapa tak kerja? Tahulah dia tu CEO. Tapi mana boleh ambil cuti sesuka hati. Ni kalau abah tahu, memang kena piat-piatlah telinga Hilal.
"Tak nak cakap terima kasih dekat saya ke?" Pintu bilik Hilal diketuk.
"Berambus!" Hilal menyahut dari dalam.
Wardah mencebir. Sombong! Pintu itu diketuknya lagi. Sengaja cari pasal.
"Abang nak makan tak? Kalau nak makan, saya masak lebih."
"Tak payah. Aku nak keluar kejap lagi. Dah, pergi. Jangan menyemak." Hilal mengusir.
"Tak boleh suruh saya pergi elok-elok ke?"
"Aku kata pergi!" Tempik Hilal. Kali ini lebih nyaring. Hampir bergegar aje banglo itu. Wardah sekadar tergelak saja. Sebelum turun, sempat pintu itu ditendangnya. Balasan sebab bersikap korang sopan dengan dia dan balasan buat isteri dia macam orang asing dalam rumah ni.
"Wardah!"