BAB 12

59 6 5
                                    

QAID dan Martin berada di dalam pejabat Qaid sewaktu aku berjalan melepasi pejabatnya. Sudah lama aku tidak melihat Martin di mana-mana. Kadang-kala terfikir juga aku, apakah hubungan Qaid dengan Martin dan apa jawatannya di dalam syarikat ini? Mereka juga kelihatan rapat namun tidak pernah pula aku melihat mereka melekat seperti belangkas.

Sebelum ini, Martin kelihatan bagaikan seorang pemandu saja tetapi melihat dia hari ini, auranya terasa lain macam. Dengan baju kot yang dia pakai, sama segak seperti Qaid suamiku.

"Cinta Irdina!"

Bagaikan terkena renjatan elektrik, aku yang sedang mengerling ke arah Qaid di dalam pejabatnya melihat kepala Qaid terus menoleh ke arah luar tingkap lutsinar yang memisahkan ruangan pejabatnya dengan dunia luar.

Zahrin yang tiba-tiba muncul di tempat kerja aku membuatkan aku mula tidak senang duduk. Hampir terhenti jantungku ini daripada berfungsi tatkala suara garau Zahrin yang melengking ke segenap ruang pejabat mencari aku yang ternyata berdiri tegak beberapa meter saja di hadapannya.

Aku kembali mengerling ke arah pejabat Qaid yang ternyata sudah memandang ke arahku. Mata kami bersambung buat beberapa saat sebelum aku lintang-pukang mendekati Zahrin sementara di dalam hati sudah menyumpah-seranah lelaki itu. Apalah yang dibuatnya ke sini?!

"Mana laki kau?! Aku nak jumpa dia!" Zahrin terus menarik lengan aku untuk keluar dari ruangan pejabat utama. Aku ingin meronta namun genggaman Zahrin begitu kuat membuatkan akhirnya aku terheret sekali. Aku pasti Zahrin tidak pernah tahu-menahu bahawa Qaid bekerja di bawah satu bumbung denganku dan Qaid juga ialah bos aku sendiri!

"Apa abang ni! Dina tengah kerjalah!" Jerkah aku yang menahan suara daripada naik seoktaf.

"Baru dua minggu lebih aku tak ada, kau dah kahwin dengan orang lain?! Bagi aku jumpa laki kau, Dina. Kalau tak, aku tunjuk gila aku dekat sini!"

"Untuk apa abang nak jumpa dia? He has nothing to do with you!"

Ting.

Pintu lif sudah pun terbuka namun kaki aku masih terpaku di lantai marmar ketika aku tersedar lengan kiriku kini digenggam kemas oleh seseorang daripada belakang. Aku menoleh dan serta-merta aku dapat merasakan ada gunung berapi yang akan meletus tidak lama lagi.

"Apa hak kau untuk pegang isteri aku?"

Suara dingin milik Qaid bergema di segenap ruangan berhadapan lif yang sudah tertutup semula. Aku mengambil kesempatan ini untuk merentap tanganku sehingga terlepas dan terus berlari ke belakang tubuh suamiku sebagai pelindung. Jujur, sikap Zahrin yang bagaikan orang gila sekarang ini amat menggerunkan aku.

Kesanggupan Zahrin mencari Qaid sehingga ke pejabat membuatkan keselamatan diriku berasa terancam walaupun dia ialah sepupu aku sendiri. Dadaku ini mulai terasa sesak, nafasku turut tercungap-cungap jadinya.

"Kau yang tak ada hak nak rampas Irdina daripada aku!"

Dengan kudrat yang masih tersisa, aku cuba untuk mencengkam hujung lengan baju kemeja si suami demi menarik perhatian lelaki itu. Pandanganku yang mulai samar sempat menangkap bayangan penumbuk milik Zahrin yang hampir hinggap ke muka suamiku. Dengan itu, aku berlari ke hadapan Qaid dengan harapan dapat melindunginya. Malah, aku yang menjadi sasaran penumbuk sulung Zahrin ke muka sendiri.

"Cinta!"

Itu saja yang dapat aku dengari sebelum kegelapan menyelubungi pandangan.

CENGKAMAN pada dadaku masih terasa diiringi dengan suara yang sayup kedengaran dari jauh.

"You have no right to tell me what to do, abi. She's my wife and I will never hurt my wife!"

"Destructive hands of yours... Aku tak tahu nak buat apa lagi dengan kau ni, Syaqir Qaid. Kau tak pernah belajar dari kesilapan lama kan?"

Cinta Untuk DisewaWhere stories live. Discover now