BAB 02

106 8 0
                                    

FAIL terakhir yang perlu disemak akhirnya dapat aku tutup dengan helaan nafas lega yang panjang. Bekerja sebagai intern di salah sebuah anak syarikat persendirian agak payah juga kerana tidak semua orang mempunyai kemahiran yang sama. Walaupun aku bekerja di sini sebagai intern di Bahagian Sumber Manusia, kerja-kerja yang aku perlu lakukan sudah bercampur-aduk.

Tengok sajalah laporan harianku ini, sekejap buat kerja kerani, sekejap buat kerja akauntan. Kadang-kala aku sendiri pening dengan pengurusan syarikat ini tapi apa yang aku boleh buat? Ini saja syarikat yang terpaling dekat dengan rumah. Nak mohon intern di syarikat di tengah bandar, aku sendiri tidak mampu memikirkan nasib diri untuk menghadap kesesakan manusia setiap kali menaiki pengangkutan awam. Mahu memandu kereta sendiri, belum ada lesen pula.

"Hai, cik adik. Lambat balik hari ni?"

Aku mendongak ke arah satu-satunya suara yang sering memanggil dengan panggilan 'cik adik' itu. Aku hanya tersengih kambing ke arah Abang Fauzan, salah seorang staf di bahagian ini. Dialah orang pertama yang menegur aku pada hari pertama aku melaporkan diri ke sini dan Abang Fauzan jugalah manusia yang sering pulang lewat atas alasan ingin menunggu jalan sesak reda dahulu. Padahal kerjanya sememangnya sentiasa menimbun.

"Haah, bang. Kena check report ni sebelum balik, Encik Azman nak tengok esok pagi," jawab aku sambil tangan lincah mengemas meja kerja.

Abang Fauzan bersandar pada penghadang sementara yang memisahkan meja aku dengan meja staf di sebelah. Bergoyang jugalah penghadang itu apabila tubuh separa sasa milik Abang Fauzan bertemu dengannya.

"Awak ni punlah, Cik Irdina. Awak tak check dulu ke jadual Encik Azman untuk esok? Entah-entah dia tak masuk office pun nanti." Tergeleng-geleng kepala lelaki itu berkata.

Terhenti sejenak perbuatan aku memikirkan kata-katanya. Ada betulnya juga. Kenapalah aku tak terfikir sejak tadi?

"Jomlah, abang teman awak turun ke lobi sekali. Dah nak senja dah ni," pelawa Abang Fauzan sebelum dia menarik kerusi di hadapannya untuk kembali berdiri tegak. Gayanya persis seperti orang tua yang sakit lutut perlukan sokongan untuk berdiri. Hahaha!

Bertambah laju tanganku mengemas fail-fail yang berselerak di atas meja dengan harapan aku tidak akan membuat Abang Fauzan menungguku lama. Segan juga dengan lelaki itu. Sudahlah hari semakin mendung di luar, kini Abang Fauzan terpaksa menunggu aku bersiap untuk pulang pula.

Aduh, kalau hujan nanti mesti susah nak dapat order Grab!

Kami beriringan ke lobi sebelum kaki masing-masing terhenti di muka pintu masuk utama bangunan pejabat sebaik sahaja melangkah keluar dari lif. Gerimis hujan menghiasi ruangan mata dan Abang Fauzan kelihatan sudah mula mengeluarkan baju hujan dari beg sandangnya.

"Itu Grab awak order ke?" Abang Fauzan memuncungkan bibirnya ke luar dan aku mengalihkan kepala ke arah muncungan lelaki itu. Kelihatan sebuah kereta Honda hitam terparkir elok di hadapan lobi. Macam kenal tetapi tidak pula nombor plat kereta itu dapat dilihat daripada sini.

"Eh, taklah," nafiku walaupun dalam otak sudah terfikir, takkanlah kot?

"Abang balik dululah ye. Takut hujan lebat pula nanti," pamit Abang Fauzan lekas-lekas.

Aku sekadar tersenyum lalu mengangguk. Aku melihat pemergian lelaki itu ke satu pintu kecil yang menghubungkan parkir motosikal dengan lobi bangunan sebelum tumpuanku kembali pada kereta Honda tadi.

Cinta Untuk DisewaWhere stories live. Discover now