01 | Adhmeera

521 11 0
                                    

TAMAN SWEET BYTAN, 2002

"Kinaa, main elok-elok. Jangan lasak sangat, awak tu anak perempuan,"

Pesan Puan Sufi, risau melihat gelagat anak perempuannya yang lagak mengalahkan budak lelaki.

Ameera Syakinaa, anak kecil berumur 6 tahun. Zahirnya seorang perempuan namun kelasakan mengalahkan anak lelaki. Semua jenis pokok hendak dipanjat. Anak kecil yang periang dan suka tersenyum, kadangkala kalau otak nakalnya mula berfikir ada kecoh satu kejiranan.

"Yee mamaa, adikk tahuu,"

Laju Ameera membalas sebelum sambung memanjat naik ke atas salah satu dahan pokok.

"Ya Allah, budak ini. Turun sekarang, bahayaa tuu," risau ibunya melihat Ameera yang seronok memanjat pokok.

"Kejaplah mamaa, adik nak naik tinggi sikittt je,"

Puan Sufi terus membulatkan mata. Isyarat umum ibu-ibu sedunia agaknya.

Kecur air liur Ameera melihat ibunya membulat begitu. Disebabkan takut, dia terus turun dari dahan pokok dan pergi ke arah ibunya.

"Haihh kamu ni, mama tak tahulah anak mama ni ada krisis identiti ke apa. Lelaki ke perempuan lah ni," bebel Puan Sufi sambil membersihkan kotoran yang melekat di baju Ameera.

"Kfc? Adik suka kfc!" Teruja Ameera kerana menganggap perkataan krisis identiti yang didengarinya ialah satu nama restoran.

Terus panjang keluhan keluar dari belahan bibir ibunya.

"Dah, jangan pergi dekat dengan pokok lagi, main dekat kawasan lapang je," pesan ibunya lagi.

Ameera muncung panjang, jelas kelihatan riak wajah enggan di situ.

"Nak main apaa je kat situu? Main kahwin-kahwin?"

Puan Sufi mengangguk.

"Asal jangan kamu panjat pokok tu lagi sudah,"

Bibir Ameera dimuncung panjang, serupa Donald Duck.

"Dengan siapaa? Tak nakk laa mama," enggan Ameera sekeras-kerasnya.

"Itu dengan Adhib tu boleh," cadang Puan Sufi.

Melopong mulut Ameera. Dia berpaling sedikit untuk melihat Adhib yang sedang bermain lari-lari sendirian. Nampak dari jauh macam main lari-lari dengan hantu. Sunyi sangat kot.

"Dahh pergi sana," ujar ibunya menolak Ameera mendekati Adhib.

Ameera pasrah sajalah kalau ibunya sudah memaksa begitu. Ini yang jadi bila ibunya sudah mengenali Adhib. Yelah mana taknya, Adhib itu je la orang yang nak berkawan dengan Ameera.

"Adhib." Panggil Ameera menepuk perlahan bahu Adhib.

Kepala Adhib berpaling laju memandang Ameera. Dia mengangkat kepalanya, berkerut hairan.

"Jom main," ajak Ameera.

"Main apa?" Tanya Adhib pelik. Jarang-jarang sekali Ameera mahu mengajak Adhib bermain sama-sama.

"Main kahwin-kahwin," jawab Ameera.

"Kalau tak nak?" Balas Adhib enggan bersetuju.

"Kena nak jugak, cepatlah. Kau mak, aku jadi bapak," ajak Ameera, kembang dua lubang hidung.

"Kau ni kfc kee, aku ayah kau ibu," bantah Adhib. Namun agak lucu bila dia hendak menyebut krisis identiti, tapi terjadi kfc.

"Okay, jom main," balas Ameera mengenakan Adhib balik, berjaya bermain minda dengan kawan baiknya itu.

Ameera seorang yang lasak dan tomboy berbanding budak perempuan yang lain. Oleh sebab itu, ramai budak perempuan tidak mahu rapat dengannya. Terpaksalah Adhib jadi pak sanggup, berkawan dengan Ameera sejak umur 4 tahun lagi. Dari prasekolah sampai tadika, tak menyangka si Adhib mampu bertahan dengan perangai Ameera.

••••••••••••••••••••••••

"Eeeee Adhib, salahh tu," tegur Ameera memukul bahu Adhib kuat. Dia mengambil mainan makanan di tangan Adhib sebelum bermain dengan mainan itu.

"Mana ada orang potong macam tu, macam nii," tambahnya sambil menunjukkan cara memotong.

"Sakitlah Kinaa, suka pukul Adhib," aduh Adhib mengusap bahunya.

"Apalah Adhib ni, potong sayur tak pandai. Lembik pulak tu," ejek Ameera.

Adhib menjeling Ameera sekilas.

"Biarlah," dia membalas setepek.

"Apalah, kalau Kinaa tak ada siapa je boleh jaga Adhib ni. Apa jadi kat Adhib kalau Kinaa tak ada," bebel Ameera lagi. Suara dah bunyi macam orang tua membebel, dia punya bangga tinggi melangit.

"Bisinglah budak pendek ni, bebel jeee," ujar Adhib mengejek Ameera.

"Tak boleh jadi ni," ujar Ameera menggeleng-geleng kepalanya.

"Kita kena kahwin."

"Kan dah kahwin ni," balas Adhib.

"Kahwin betul-betul laa."

Berkerut seribu muka Adhib mendengar ayat Ameera. Geli yang jelas tak dapat disorokkan lagi.

"Eeeeee buat apa," enggannya sambil terbelit bahu dipusingnya. Geli semacam.

"Sebab tak ada siapa lagi boleh jaga Adhib," jelas Ameera.

"Eeeeee Kinaa, kita ni ada juta tahun lagi," geli Adhib mendengar ayat-ayat Ameera.

"Biarlah, kena janji sekarang. Mak Kinaa kata orang mungkiri janji ni orang jahat,"

Nak termuntah Adhib dibuatnya. Tapi tengok muka Ameera jadi kasihan pula dengan budak pendek tu. Nasib sayang.

"Yelah yelah, ikut Kinaa lah," pasrah Adhib.

Terus teruja wajah Ameera mendengar respon Adhib. Senyum terus dari telinga ke telinga nampak.

"Janji?"

Ameera mengeluarkan jari kelingkingnya.

Adhib berkerut hairan, geli pun ada.

"Kena eh?"

Ameera berkerut, marah.

"Kena!"

Adhib mengeluh, dia turut mengeluarkan jari kelingkingnya dan berjanji dengan Ameera.

"Adhib jangan kahwin dengan orang lain. Kalau Adhib kahwin dengan orang lain, Adhib jadi orang jahat," bebel Ameera.

"Ye Kinaa, aku kahwin dengan kau."

"Janji."

UNBROKEN PROMISE Where stories live. Discover now