Bab 2

143 10 0
                                    

  
2019


   “Hawa!” Satu suara menyedarkan Hawa dari mimpinya.
   Tanpa berdalih mahupun berlengah, Hawa langsung bangun dari tilamnya yang tidaklah begitu empuk. Hanya menjadi alas untuk tidur malam hari sahaja. Senaman regangan dilakukan.
   “Hari baru, cerita baru.” Hawa bangun lalu menggapai tuala mandi lalu terus menapak ke bilik mandi. Walaupun berat langkahnya pagi ini. Tambahan suasana dingin di pagi hari yang menggigit tubuh Hawa.
   Hari ini adalah hari penting buatnya. Bukanlah hari lahirnya mahupun hari untuk berjumpa jodohnya yang belum kunjung tiba. Sebaliknya adalah hari di mana dia bakal di'interview' kerja di pekan.
   Selesai mandi dan solat Subuh, Hawa turun ke dapur menemui ibunya, Puan Zakiah. Rutin pagi Hawa akan membantu ibunya menyiapkan kuih-muih yang bakal dihantar di kedai runcit berhampiran.
   “Jom makan dulu,”ajak Puan Zakiah sambil menyediakan sarapan pagi. Hawa hanya tersenyum dan mengambil tempat di meja makan. Bungkusan nasi lemak di buka.
   Sudah sekian lama Hawa mencari kerja. Ini mungkin salah satu peluangnya selepas beberapa kali permohonan kerjanya di‘reject'. Mungkin disebabkan latar belakangnya yang tidak begitu memberangsangkan.
   Jam 7 pagi. Hawa memulakan harinya dengan menghantar bungkusan nasi lemak dan kuih-muih ke kedai-kedai berhampiran.
   “Pak Yan, ni ya kuih hari ni. Cucur badak dengan popia goreng. Petang nanti ibu datang ambik,”sapa Hawa ke lelaki berusia lingkungan 50an yang merupakan tuan empunya kedai runcit berdepan sekolah rendah.
   “Okey.boleh.Duit semalam Pak Yan bagi petang nanti ya,”balas lelaki pertengahan abad itu.
   Hawa meletakkan basikal di kedai runcit Pak Yan sebelum meneruskan perjalanan menuju perhentian bas berhampiran. Dia perlu bergegas kalau tidak mahu terlepas bas menuju ke Pekan Sengkayan.
   Di seberang jalan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pergam tersergam indah. Sekolah yang menjadi tempatnya dia menimba ilmu ketika bersekolah. Seketika mengimbau kenangan selama 5 tahun di sekolah itu.
   Amat dia ingati kenangannya ketika menjawab peperiksaan tingkatan 3 ataupun digelar PT3. Nyaris-nyaris dia ditangkap akibat cubaan meniru kawan sebelahnya ketika itu. Mujurlah Hawa berjaga-jaga. Walau bagaimanapun, mungkin kurang bertuah ketika itu, Hawa hanya cukup makan dan tidak dapat menghadiahkan A yang banyak. Hanya 1 A sahaja, iaitu mata pelajaran Pendidikan Islam.
  Tidak lupa juga ketika Tingkatan 5,Hawa tidak dapat mencapai keputusan yang begitu cemerlang. Namun Hawa sudah pasrah. Kerana tujuan utamanya hanyalah mencari kerja dan mengumpul wang serta membahagiakan ibunya yang tercinta.
   “Lantaklah.Tinggal cari kerja je lepas ni.”
   Namun sangkaan Hawa sangatlah salah. Tidak mudah untuknya mencari kerja lebih-lebih lagi dengan keputusan peperiksaannya yang tidak begitu cerah. Peluang untuk mendapatkan kerja sangat terbatas.
   “Kalaulah aku dulu belajar elok-elok, mesti sekarang hidup aku tak lah susah macam sekarang,”gumam Hawa mengenangkan kenangan dan kesilapannya ketika sekolah dahulu.
   “Nak ke mana tu?”tegur seorang lelaki. Lelaki yang sangat Hawa kenali. Orangnya bernama Hj Abbas tapi Hawa memanggilnya Tok Abbas. Dia merupakan guru silatnya.
“Nak ke pekan ada ‘interview’kerja,”balas Hawa sambil mengukirkan senyuman.
   Hawa mungkin lemah dalam pelajaran. Namun, ada satu perkara yang membuatkan Hawa agak istimewa lebih-lebih lagi di mata Tok Abbas. Dia sangat hebat dalam ilmu persilatan dan lincah serta tangkas di dalam gelanggang. Hanya dia sahaja murid perempuannya yang hebat.
   Pernah sekali, ada kejadian penculikan kanak-kanak berlaku di kampung ini. Mujurlah Hawa sebagai saksi utama dan menjadi perwira. Dia berjaya mengalahkan kesemua penculik seorang diri dan kanak-kanak tersebut langsung tidak cedera. Berkat kekuatan dan kehebatan Hawa.
   Pada Hawa, mungkin ini adalah salah satu kelebihan yang perlu dia syukuri. Sangat jarang untuk berjumpa dengan gadis yang mampu berlenggok dalam pencak silat. Padanya, ia sebagai satu bentuk pertahanan diri.
   Bas tiba, Hawa melangkah masuk lalu duduk di kerusi paling hadapan sekali. Mudah baginya jika sudah sampai ke destinasi. Perjalanan akan mengambil masa kurang dari 10 minit untuk tiba ke pekan.
   Sepanjang perjalanan, Hawa hanya memerhatikan pemandangan sawah padi yang kian menghijau. Pernah satu ketika, terdetik di hati Hawa untuk berhijrah ke bandar demi kelangsungan hidup. Namun isi hatinya juga mengatakan tidak perlu. Tanggungjawabnya sebagai seorang anak di sini haruslah dijalankan. Kerana hanya dialah harapan ibunya. Dia tidak mempunyai adik-beradik yang lain.
   Ayahnya pula hilang sejak kecil. Mungkin ada cerita tentang ayah dan ibunya yang belum diketahui. Namun pada Hawa, mengapa perlu difikirkan orang yang sudah tidak inginkan dirinya lagi. Hanya membebankan fikiran sahaja.
   Hawa tiba di pekan. Dia terus menuju ke restoran makanan segera yang tidak jauh dari perhentian Bas Pekan Sengkayan. Langkahnya laju walaupun dalam hatinya tersirat perasaan gementar.
   “Assalamualaikum.Saya Saidatul Hawa binti Hasnan. Semalam saya ada tanya kerja kosong. Tapi ada seorang tu kata suruh datang hari ni. Untuk ‘interview’ katanya.”Hawa bersuara menyapa salah seorang pekerja yang sedang mengemaskan luaran kedai. Pekerja itu memandangnya atas bawah sebelum mengajaknya masuk ke premis perniagaan itu.
   “Ok, Atul. Jap nak panggil apa ni? Hawa or Saidatul or Atul?”soal Encik Izham selaku ‘manager’ di premis perniagaan ini.
   “Panggil je Hawa,”balas Hawa ringkas.
   “Ok baiklah, awak boleh start kerja hari ini. Awak minggu ni shift pagi ya.8 pagi sampai 8 malam”Hawa hanya mengangguk faham.


   ***


   Selesai sahaja shift nya, Hawa terus pulang ke rumah. Pada asalnya dia hanya berniat untuk menaiki bas sahaja. Namun rezeki berjumpa dengan Pak Yan. Lelaki separuh abad itu menumpangkan Hawa pulang ke rumah. Jimat lah tambang bas untuk malam ini.
   “Terima kasih, Pak Yan.Ni untuk duit minyak.”Hawa menghulurkan sekeping not RM10. Namun Pak Yan menolaknya dengan dasar ikhlas menolong.
   “Kan kamu baru dapat kerja. Simpan duit tu,”pesan Pak Yan lagi. Hawa mengangguk faham.
   Hawa berlari-lari menuju ke rumah. Salam diberi. Tidak sabar menceritakan pengalaman hari pertamanya bekerja. Salam diulang beberapa kali. Hairan. Tiada sahutan kembali kedengaran.
   Hawa curiga. Perlahan-lahan dia menolak pintu rumahnya. Pintu tidak berkunci. Sangat aneh. Kebiasaannya waktu sebegini pintu sudah berkunci.
   “Ibu?”Hawa melaungkan beberapa kali memanggil ibunya. Namun tiada sahutan. Hanya kedengaran bunyian cengkerik berlagu di luar rumah.
   Hawa melangkah menuju ke dapur. Sangkaannya mungkin ibunya sedang sibuk di dapur dan lupa mengunci pintu.Dia mengagak apabila ibunya melihat sahaja kepulangan anak daranya ini,pasti dia akan disambut oleh ibunya.
   Namun, ia bukanlah satu perkara yang indah apabila Hawa melangkah masuk ke dapur. Apa yang menyambutnya adalah hanyalah sekujur tubuh ibunya yang terbaring di bucu dapur.
   “Ya Allah, Ibu!!”Hawa lantas segera mendapatkan tubuh ibunya. Sejuk. Air mata mengalir. Seakan tidak percaya apa yang sudah berlaku.
   “IBU! BANGUN, BU!”

  
  

Hawa (By Nuhazzz)Where stories live. Discover now