28: RUMAH PAK LONG – MALAM (SELEPAS SOLAT ISYAK)
Pak Long mengumpulkan semua saudara maranya. Mahu menyampaikan berita tergempar. Ada yang sudah tahu dan ada yang masih belum tahu.
"Saya di sini nak maklumkan, yang majlis pernikahan Syafiq esok hari dibatalkan." Ujar Pak Long berjeda.
"Hal yang kita tak nak tapi tetap jadi. Kita siapa nak nafikan. Saya sudah pun telefon dan berbincang dengan pihak perempuan. Semuanya selesai dengan baik. Tapi permintaan keluarga perempuan, minta kita tak ceritakan apa-apa kepada orang luar. Harap semua dapat simpan apa kita tahu ni dari orang luar."
"Majlis kenduri nanti macam mana?" Ujar adik ipar Pak Long.
"Tak apalah. Kita buat kenduri doa selamat saja."
"Mek Aya ada tuh, sambung ja hok putuh." Ujar yang lain. Suraya tidak senang dengan cadangan itu. Suraya memegang tangan Tok Zahra. Tok Zahra menepuk perlahan tangan Suraya.
"Tak boleh macam tu, Aya bukan barang nak ganti-ganti. Majlis jalan seperti biasa, cuma bukan majlis kahwin." ujar Pak Long, yang turut tidak senang dengan cadangan itu.
"Aloh... buleh doh tu. Allah bui jale jah tu. Buleh sambung hok lamo."
"Tak pa noh semua, Aya ni cucu tok, apa dia lalui semua tok nampak. Bukan senang ya dia nak mai sini, urus semua ni. Aya pun malu nak mai, tengok bekas tunang dia kahwin tapi cerita lama. Cerita yang orang kata satu cabang dalam hidup dia. Biaq lah depa dua jadi sepupu saja. Tok mintak maaf naa, tok masuk bilik dulu. Meh Aya tolong bawak tok masuk bilik." Suraya bingkas bangun dan memimpin Tok Zahra ke bilik. Yang lain terdiam sahaja dengan kata-kata Tok Zahra. Syafiq yang berada di situ hanya mampu menunduk dan membisu.
"Betul Aya dah move on?" Suara itu mengejutkan Suraya yang sedang membancuh susu untuk Tok Zahra.
"Move on? Pasai apa?" Suraya kembali menyoal Imran yang sudah pun melabuh duduk di kerusi.
"Move on pasal Syafiq." Suraya ketawa kecil.
"Cerita dua tahun lepaih tu abang Im. Lama sangat dah, insyaAllah dah move on lama dah." Balas Suraya. Imran mengangguk.
"Tadi masa ada cadangan untuk Aya ganti tempat Rose, abang perasan muka Aya berubah. Kenapa?"
"Oh, tadi tu. Aya tak suka orang kaitkan Aya dengan Syafiq. Benda hat lama buat apa nak ungkit. Buat malu Aya ja."
"Kalau tadi pak long mak long minta Aya ganti tempat Rose, macam mana?" Imran masih menyoal. Suraya merapat bibir, berfikir.
"Aya habaq kata nak kahwin dengan abang Im tak mau Syafiq. Boleh lagutu?" Suraya membalas usikan. Imran ketawa kerana dia tahu Suraya mengenakan dia. Suraya turut ketawa.
"Amboi bahagianya." Syafiq yang entah dari mana tiba-tiba mencelah. Wajahnya tampak tidak senang melihat Imran dan Suraya berduaan di dapur.
"Eh, Syafiq... ingat dah tidur tadi." Imran berbahasa.
"Abang Im dengan Syafiq nak kopi ka? Aya boleh bancuhkan dulu. Tok Zahra mesti lama tunggu susu dia ni."
"Elok juga tu, kopi Aya memang terbaik." Ujar Imran, Suraya sekadar menggeleng. Syafiq mula melabuh duduk. Pandangannya tidak lepas memandang Suraya dan Imran.
"Pandai ja nak ambik hati noh. Kopi ni resepi tok, tok kata ni resepi hat wan suka. Dia turun bagi kat Aya."
"Kira Aya bancuh ni, memang niat bagi orang teringat-ingat la eh?" Imran mengangkat-angkat keningnya.
"Haa bagi abang Im tidoq tak lena ingat kat Aya." Suraya ketawa, Imran juga. Syafiq sahaja yang mencuka. Entah kenapa hatinya rasa sakit melihat Suraya ketawa gembira dengan Imran.
"Haa Syafiq menung apa, minum la kopi tu." Ujar Imran.
"Nak minum jugak kot boleh teringat-ingat Aya malam sat ni." Syafiq cuba membidas.
"Boleh haih, hang kan dah dekat dua tahun lupa dekat aku. Minum banyak sikit kut boleh ingat aku balik noh." Suraya membalas, tajam dan dalam. Imran tersembur juga ketawa yang ditahan-tahan.
"Abang Im, Aya masuk bilik dulu, sat ni tok bising susu dia nak sejuk dah ni. Good night guys." Syafiq tersentap sendiri. Suraya yang dulu bukanlah yang sekarang, yang dulu boleh tenang sekarang macam kena siat pedang!
"Jangan minum banyak sangat, risau terkenang-kenang, sampai angau sorang-sorang. Abang masuk bilik dulu ya." Giliran Imran memberi buah pedas. Silap cari pasal Syafiq!
YOU ARE READING
DALAM SU ADA SYA
RomanceSuraya, gadis yang melupakan impian masa depannya demi kasih buat nenda tercinta. Syafiq sepupunya yang glamour tiba-tiba meluah rasa dan membuatkan Suraya juga menyimpan harapan. harapan tinggal harapan, agak parah untuk Suraya melupakan. di uji T...