D.S.A.S 32

135 6 0
                                    

32. RUMAH TOK ZAHRA – SENJA

Suraya terketar-ketar mendail nombor Imam Musa. Air mata yang berlinang dibiarkan sahaja membasahi pipi dan telekung yang dipakai.

"Assalamualaikum, Imam..."

"Waalaikummussalam. Ya Suraya, ada apa telefon ni?"

"Tok tak mau bangun ni imam, puas Aya kejut dari tadi." Ujar Suraya dengan ketaran yang tidak dapat ditahan lagi.

"Allahuakbar, saya datang sekarang. Suraya tunggu sat." Talian dimatikan. Suraya memeluk telefon dan memandang sepi ke arah Tok Zahra yang kaku dikatil.

Usai solat asar, Suraya cuba mengejutkan Tok Zahra yang sudah lama tidur. Selepas solat zuhur, Tok Zahra mahu kembali tidur. Sampai sekarang tidak bangun-bangun. Suraya pegang tangan Tok Zahra, ternyata sudah terlalu sejuk. Tiada desah nafas terasa dari hidungnya. Dirapatkan kepala ke dada, juga tidak kedengaran degup jantungnya. Suraya bingkas berdiri dan mencapai telefon bimbitnya. Tiada siapa yang muncul dibenaknya, hanya Imam Musa.

"Suraya dah telefon ka Pak Long Pak Ngah semua?" Soal Imam Musa usai menguruskan semua hal pengebumian Tok Zahra. Selepas isyak ini, jenazah Tok Zahra akan dikebumikan.

"Dah dekat sampai Imam. InsyaAllah sat lagi sampai depa semua." Suraya masih basah dengan linangan air mata. Hatinya cuba menerima, Tok Zahra sudah kembali kepada sang pencipta. Namun, terasa kehilangan yang amat besar. Tiba-tiba, satu ruang kosong terasa dalam diri.

"InsyaAllah. Suraya sabar banyak-banyak. Doakan untuk tok naa..." Imam Musa memberi kata semangat. Sedari tadi, Suraya hanya diam membisu. Risau juga jika Suraya kembali kepada Suraya setahun lalu.

Beberapa minit kemudian, penuh rumah Tok Zahra dengan kehadiran anak cucu dan jiran tetangga. Jenazah Tok Zahra sedang dimandikan. Suraya turut bersama-sama memandikan Tok Zahra buat kali terakhir. Sambil menggosok lembut tubuh Tok Zahra, Suraya membisikkan zikrullah, selawat dan bacaan surah-surah lazim yang digemari Tok Zahra.

Semua urusan terasa mudah. Orang yang muliakan Allah, Allah muliakan dia di dunia insyaAllah di akhirat juga. Kini, jenazah Tok Zahra di bawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Suraya masih basah dengan air mata. Namun, diam. Hanya air mata yang menunjukkan dia bersedih dan menangis akan tetapi tiada suara yang kedengaran. Suraya mencuba, cuba menjadi kuat. Kuat seperti yang dimahukan Tok Zahra.

"Hang okay?" Syafiq menegur Suraya yang hanya diam dengan linangan air mata, mendengar talkin dibacakan. Suraya mengangguk perlahan. Selesai semua urusan, Suraya terasa berat untuk melangkah pergi. Tujuh langkahnya, dan terpisah sudah mereka berdua buat selama-lamanya.

"Kita balik dulu ya Aya... esok mak long bawak Aya mai sini. Kuat ya Aya." Mak Long memegang erat Suraya yang kelihatan lemah. Suraya hanya mengangguk dan melangkah pergi. Sesaat kemudian dia berpaling memandang pusara Tok Zahra.

"Selamat tinggal tok, Aya pasti akan sentiasa rindukan tok." Bisik Suraya sebelum melangkah pulang.

"Aya okay? Takziah dari abang dan tok ummi." Imran menyapa Suraya sebaik sahaja Suraya turun dari kereta. Entah bila Imran sampai Suraya sendiri tidak sedar. Suraya memandang Imran tidak lepas. Linangan air matanya laju membasahi wajahnya. Sesaat kemudian, dunia Suraya kelam. Suraya rebah di hadapan Imran.

"Aya!"

DALAM SU ADA SYAWhere stories live. Discover now