Bab 8

19 0 0
                                    

Masa beredar terlalu pantas tapi bagi Noura, dia masih berada di malam yang malang, lima bulan yang lalu. Malam di mana seluruh hidupnya musnah sekelip mata. Kerjayanya dan pelajarannya terhenti begitu saja kerana Noura sudah hilang kemahuan. Dia hanya mahu mati!

Seperti hari-hari yang lalu juga, dia duduk diam di kerusi roda, mengadap ke arah jalan di hadapan rumah itu. Seperti selalu, setiap kali selepas menunaikan solat subuh, dia setia menunggu matahari muncul memancarkan cahayanya di balkoni di luar biliknya. Noura teruja menunggu siang tiba kerana dia sangat bencikan malam.

Dia hanya diam dan bungkam di situ, memerhati simpang-siur kereta yang mula sibuk sebaik saja waktu subuh berlalu.

Sebuah kereta rona biru gelap datang dari arah kiri. Noura terus memerhati tanpa rasa. Pandangannya kosong. Entah kenapa, kereta itu tiba-tiba bergerak perlahan. Sangat perlahan. Dan kemudian terhenti begitu saja di seberang jalan dengan lampu signal kirinya menyala sebaik saja melepasi pagar rumah itu.

Noura terus memandang ke arah kereta itu. Pemandunya tidak juga turun. Dia mahu ke mana sebenarnya? Minda Noura tiba-tiba berkocak. Jantungnya bertukar rentak. Aneh.

Bertentangan dengan rumah itu hanya padang yang luas. Jiran sebelah-menyebelah pula agak jauh kerana rumah-rumah di situ dibina atas tanah lot yang luas. Dan kereta itu berhenti betul-betul di antara dua buah rumah. Jadi, dia mahu ke sini atau ke rumah jiran sebelah?

Dalam Noura terfikir-fikir sendirian, kereta itu tiba-tiba bergerak pergi. Hilang. Lenyap dari pandangan.

Noura menghela nafas. Entah lega, entahkan bosan. Dia sendiri tak pasti apa yang dia rasa.

"Assalamualaikum, Noura."

Suara abi mengejutkan dia yang ada di situ tapi bagaikan tiada. Noura tidak berpaling. Dia tak sukakan momen ini. Setiap pagi, abi akan datang ke biliknya bersama umi. Abi tetap mahu bersalam dengannya sebelum ke tempat kerja.

Dia tak suka! Tak suka disentuh abi. Tak suka disentuh sesiapa kecuali umi. Kenapa abi tak mahu faham? Kalau dulu, Noura akan mengelakkan diri. Lari berselimut dan duduk di sebalik langsir. Tak mahu tengok muka abi!

Tapi Noura kasihankan umi. Berhari-hari umi pujuk Noura. Abi itulah lelaki yang menjaga Noura selama ini, kata umi. Sejak Noura lahir dari perut umi. Pastinya dia lelaki yang mahu menyelamatkan Noura dari apapun keadaan selagi dia terdaya. Pastinya dia takkan mengapa-apakan anaknya sendiri yang dia sayang selama ini.

Umi pujuk Noura sampai menangis-nangis. Kenapalah umi jadi sedih sangat sedangkan abi itu kan seorang lelaki? Noura asyik mengeluh dalam hatinya. Abi lelaki. Sama saja!

Tapi demi tak mahu melihat umi sedih, Noura tak bersembunyi lagi. Seperti pagi ini, dia diam saja di kerusi rodanya. Dia biarkan saja abi datang mengusap kepalanya dan mencapai tangannya untuk bersalam.

Dikerahkan seluruh tenaga untuk menahan rasa takut dan cemas, Noura tunduk juga mencium tangan abi. Umi yang berdiri di sebelah Noura dengan sedulang sarapan, tersenyum bangga dengan perubahan anaknya.

Setelah berpesan dengan pesanan yang hampir sama setiap hari, abi meninggalkan mereka di balkoni untuk ke tempat kerja. Sampailah malam nanti, dia takkan berjumpa abi lagi. Abi selalu pulang lewat. Walaupun abi tetap datang ke biliknya setiap malam bersama umi, dia akan pura-pura tidur lena. Supaya abi lekas pergi.

Setiap hari, umi akan bersarapan dengannya di balkoni. Seperti biasa, umi berkicau seperti burung-burung yang riang berterbangan. Walaupun Noura tak senyum atau ketawa tapi hatinya sangat terhibur. Dia bahagia melihat umi ceria. Umi bertuah kerana umi tak lalui apa yang dia lalui. Dan dia sangat bersyukur untuk itu.

"Noura, nanti lepas mandi, Noura pakai baju yang umi dengan abi belikan semalam ya. Umi beli online! Cantik-cantik sangat, Noura. Tapi kan... umi minta maaf. Umi dengan abi dah pilih warna yang paling sesuai untuk Noura. Warna kuning mustard. Tapi yang sampai semalam, warna oren!"

Madihah buat muka berkerut dan sedih. Warna oren itu tak secantik warna pilihannya. Namun segarit senyum yang muncul di bibir anaknya membuatkan sepasang matanya jadi bersinar girang. Noura senyum!

Noura tahu itu memang selalu berlaku bila membeli atas talian. Kasihan umi. Sentiasa bersusah-payah untuknya. Sedangkan dia sudah tak mahu ke mana lagi. Hendak ke mana dengan diri yang sekotor ini? Kalau Abang Adam sendiri sudah menganggap dia semurah itu... apalagi orang lain!

"Nanti Noura pakai ya. Umi teringin nak tengok. Janganlah asyik pakai baju hitam gelap-gelap macam ni. Tak cantik! Noura pakai lepas mandi ya?" Madihah memujuk penuh harap.

Senyuman di bibir Noura sudah hilang. Diam. Menung lagi. Madihah tarik nafas panjang. Sudah boleh diagak kenapa senyuman itu hilang. Apapun dia tak boleh mengalah.

"Noura makanlah sikit. Kesian umi makan sorang-sorang. Penat tau umi masak soto ni! Sejak pukul empat pagi..."

Noura capai juga mangkuk di hadapannya yang masih berwap sebelum umi terus-terusan dengan cerita sedihnya. Lebih baik Noura jamah apa yang dihidang umi. Umi tahu benar yang Noura sayangkannya dan takkan mahu mengecewakannya. Itu yang dijadikan modal untuk memaksa Noura supaya mengikut apa yang disuruh umi. Terutama bila hendak disuruh makan.

Soto kegemarannya. Tapi itu dulu. Kini, juadah itu tak lagi menyelerakan. Untuk apa dia makan sedangkan tubuhnya tak lagi berharga. Arghh... kenapa dia tak dibunuh saja? Kenapa lelaki tu tak cekik saja lehernya setelah dapat apa yang dia mahu? Kenapa siksa dia begini?

Mangkuk diletakkan semula. Dadanya ketat. Airmatanya mula merembes. Noura berpaling ke arah matahari yang semakin bersinar. Kenapa dirasakan sinar itu bagaikan tak sampai kepadanya?

"Noura..."

Nada umi berubah sedih. Noura telan liur tanpa berkalih. Payah sungguh! Noura tak ada selera, umi.... Namun dia tak mampu menyuarakan kata-kata itu. Tak sanggup buat umi terus kecewa dengannya.

Madihah kemam bibir sendiri. Air hangat yang sudah penuh dalam tubir mata ditahan dari jatuh. Sebak setiap kali melihat anaknya mengambil makanan tetapi tak jadi disuapkan ke mulut. Selera anaknya mudah saja mati di tengah jalan. Dan tubuh itu makin kurus dan cengkung. Sungguh, dia tak sanggup menyaksikan Noura seperti membunuh diri begini.

Sebak ditelan dalam-dalam. Nafas ditarik sekuat hati. Dia perlu kuat demi anaknya.

"Noura, dah cukup Noura siksa diri atas apa yang berlaku. Hidup kita bukan hanya tentang lelaki, sayang! Noura jangan fikirkan yang tubuh Noura tu jijik atau kotor. Lelaki tu yang sebenarnya jijik! Kotor! Noura tak salah. Kenapa Noura hukum diri sendiri? Umi nak Noura ubah cara berfikir. Noura perlu makan untuk sihat. Noura jaga tubuh badan Noura untuk kebaikan diri Noura. Tak usah fikir fasal kawin. Fasal nak hidup dengan lelaki. Ramai perempuan bahagia dan berjaya tanpa lelaki. Jadi kenapa Noura nak terus siksa diri?"

Noura diam. Bukan selalu umi bertegas begini. Walaupun masih dengan kata-kata yang sama namun Noura tahu, tahap kesabaran umi sedang diuji. Umi pasti rasa tertekan dengan keadaannya.

Umi tahu apa yang dia rasa. Ya, umi juga seorang perempuan. Tapi yang umi tak tahu, kalau Noura berjaya sekalipun, Noura tetap perempuan murah dan hina di mata Abang Adam dan seluruh keluarga mereka. Jadi untuk apa, umi?

"Tolonglah makan, sayang. Jangan siksa diri macam ni. Jangan siksa umi... umi dah tak sanggup...."

Mangkuk soto diambil semula. Terketar-ketar Noura memegang sudu, mencedok kuahnya lalu disuap ke mulut sendiri. Dia tak pernah nak menyiksa hidup umi. Maka dia akan makan. Makan untuk umi tersayang.

Tubuh Noura menggigil menahan esak tangis yangmula menggila dalam dada. Dan kuah soto itu mengalir di kerongkongnya yangkering-kontang bersama airmata yang jatuh berlinang di pipi.

Nota: Tambahan  bab 8 ni istimewa untuk memenuhi permintaan . Jika berminat nak tahu apa yang jadi kepada Noura seterusnya dan apakah dia dapat mencari lelaki pemusnah hidupnya itu, boleh dapatkan ebook Like A Guardian Angel ya. Whatsapp Kak Juea 011-20503481.

Terima kasih sebab sudi ikuti kisah Noura! Salam sayang..

GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now