Bab 7

371 11 2
                                    

Rashdan membawa Noura keluar dengan kerusi roda sebaik sahaja selesai berbincang dengan doktor tentang keadaan anaknya. Kes Noura akan dirujuk ke bahagian psikiatri hospital itu. Tarikh temujanji sudah diberikan. Namun Rashdan masih buntu. Entah bagaimana dia dapat membawa Noura untuk mendapatkan rawatan jika anaknya terus berada dalam keadaan begini.

Syukur malam ini, Noura diam saja bila dia menolak kerusi roda itu untuknya. Mungkin kerana sudah dipujuk Madihah. Lagipun, Madihah tak dapat menolak kerusi roda itu dengan keadaan lengannya masih dipeluk erat oleh Noura. Madihah berjalan dengan agak payah kerana dia terlalu dekat dengan kerusi roda itu. Dia bersabar kerana yang penting, anaknya dapat duduk dengan tenang tanpa rasa takut lagi.

Di bahagian farmasi, mereka menunggu giliran untuk mendapatkan ubat seperti yang diarahkan oleh doktor muda tadi. Tangan kanan Rashdan mengusap kepala Noura yang dibaluti tudung. Rindu benar dia pada anak gadisnya itu dan rasa mahu mendamaikan Noura membuak dalam dada. Namun tak lama, tangannya ditepis Noura berkali-kali. Rashdan akhirnya mengalah sambil menahan perasaan hiba. Begitu sekali Noura takut dengan lelaki? Hinggakan dia tak kenal ayahnya sendiri. Rasa marah dan kecewa juga berbaur. Dia buntu untuk mencari punca masalah ini. Noura fobia dengan lelaki tapi anehnya, Noura boleh bercakap dengan Adam. Hanya Adam!

Madihah memandang wajah suaminya penuh simpati. Mereka berbalas pandang, saling memahami. Keadaan ini pastinya perlu masa untuk kembali pulih.

Noura semakin gelisah di kerusi rodanya. Jelas yang dia tidak selesa di kelilingi orang ramai begitu. Akhirnya, Rashdan dan Madihah bertindak membawa anak mereka keluar dari bangunan bangunan hospital. Rashdan memberi isyarat yang dia mahu mengambil kenderaan terlebih dahulu. Lebih baik jika Noura duduk di dalam kereta bersama uminya sementara menunggu Rashdan mengambil ubat dari farmasi.

Mujurlah kawasan dimensi laluan hadapan bangunan hospital itu agak lengang. Madihah mengambil alih menolak kerusi roda, meminggir ke sebelah kiri bangunan itu agar mereka tidak menarik perhatian sesiapa. Noura mula gelisah duduknya bila dia terpaksa melepaskan tangan umi yang mahu menolak kerusi roda. Sepasang matanya sekejap-sekejap mengelingas memandang sekeliling dalam ketakutan. Kemudian dia tunduk meramas-ramas tudung dengan rasa gelisah.

Sebaik saja tangan umi mendarat ke bahunya, Noura segera memeluk lengan umi sekuat hati. Silau lampu kereta yang lalu lalang dan ada yang berhenti menurunkan atau mengambil penumpang menambah gelisah di hati Noura. Dia amat takut kalau-kalau lelaki itu datang lagi membawa bunga untuknya. Mampukah umi menyelamatkan dia dari lelaki itu?

Senyuman manisnya mengacah dalam pandangan Noura. Langsung Noura menutup mata serapat yang boleh. Jangan! Tolong jangan muncul di sini! Hati Noura merayu entah kepada siapa. Airmata ketakutan mula merembes dalam kelopak mata.

"Noura... tenang, sayang! Umi ada ni. Sekejap lagi, abi datang bawa kereta ya. Noura tak apa-apa. Umi jaga Noura ni...." Madihah cepat memujuk selembut yang boleh. Sedangkan hatinya sudah semakin cemas. Bimbang kalau Noura berubah laku dan dia tak dapat menanganinya.

Sebuah kereta berhenti tidak jauh dari mereka. Tetapi tidak ada penumpang atau pemandu yang turun. Kereta itu diam tak bergerak di tepi laluan yang lengang dengan lampu terpasang. Setelah agak lama, pemandunya turun sambil memandang ke arah mereka. Pasti dia merasa aneh melihat keadaan Noura begitu. Madihah cepat-cepat memandang ke arah lain. Hatinya tak sudah-sudah memanjat doa agar suaminya segera datang.

"Assalamualaikum, makcik..."

Sapaan itu hampir membuatkan Madihah terlompat kerana terkejut. Tak sangka pemandu tadi bertindak datang menghampiri mereka. Serentak itu, lengannya dicengkam kuat oleh Noura. Madihah telan liur yang tiada. Noura sudah tunduk rapat melindungi wajahnya. Tubuhnya mula menggigil sehingga Madihah terasa getarannya melalui lengan yang dipeluk anaknya.

Dalam serba-salah, Madihah menjawab juga salam yang dihulurkan. Hendak dihalau anak muda itu, dia tak sampai hati kerana suara dan wajahnya penuh prihatin.

"Kenapa, makcik? Anak makcik ke?" Kaki lelaki itu semakin merapat. Noura sudah berpusing membelakangkan lelaki itu. Madihah turut tersentak ke hadapan kerana lengannya ditarik sama.

"Err... ya! Anak makcik..."

"Dia sakit sangat ke, makcik? Nak saya panggilkan doktor? Atau saya bawa dia ke dalam..."

"Umiiii!" Noura sudah menjerit dan menangis serentak. Tubuhnya dihumban dari kerusi roda seolah-olah dia mahu melarikan diri.

"Ya Allah!" Lelaki itu menerpa. Tak tahu mahu dibantu yang mana satu kerana wanita itu turut jatuh ditarik anaknya. Cepat dia menangkap kerusi roda sebelum ia menimpa tubuh anak perempuan makcik itu yang sudah rebah di atas koridor.

"Noura! Ya Allah!" Rashdan yang baru saja memberhentikan keretanya segera berlari mendapatkan isteri dan anaknya.

"Pakcik! Err... saya... saya panggilkan doktor, ya pakcik?"

"Eh, tak apa! Tak apa! Saya... saya dah jumpa doktor. Kami dah nak balik. Encik... tak apa... saya boleh handle anak saya. Terima kasih ya!" Rashdan bingung dengan kehadiran anak muda yang tak dikenalinya. Entah dari mana tiba-tiba muncul di sini.

Kelam-kabut Rashdan menerangkan keadaan mereka dan dia amat berharap agar lelaki yang kelihatan sebaya dengan Adam itu segera beredar. Pasti dia yang menyebabkan Noura diserang trauma.

Dengan mengerahkan seluruh tenaga, Noura terus dicempung lalu dibawa ke kereta. Dalam susah-payah, Rashdan berjaya meletakkan anaknya di tempat duduk belakang. Madihah juga bingkas bangun sambil dibantu oleh lelaki muda tadi dan dalam teragak-agak, dia sempat mengucapkan terima kasih lalu bergegas ke kereta sambil menolak kerusi roda. Suaminya segera mengangkat kerusi roda itu ke dalam tempat menyimpan barang di belakang kereta. Madihah pula masuk ke tempat duduk belakang dan merangkul tubuh anaknya yang mengigil seperti orang kesejukan ke dalam pelukannya.

Rashdan sempat mengangkat tangan ke arah pemuda tadi sebelum masuk ke perut kereta. Dia memandu keretanya pergi meninggalkan lelaki itu yang masih tercegat berdiri memandang ke arah mereka sehingga hilang dari pandangan. Mungkin dia terlalu terkejut menyaksikan seorang anak gadis yang diserang trauma di depan mata. Rashdan sendiri masih belum hilang terkejut dengan apa yang menimpa Noura.

****

Terima kasih sudi singgah. Jika berminat, whatsapp 011-20503481 untuk membuat pesanan.

Moga terhibur!

GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now