Like A Guardian Angel Teaser #03

16 1 0
                                    

Saat Sufyan duduk berdepan dengan abi yang akan menikahi mereka, dada Noura bergetar hebat. Segak berbaju melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok, dia duduk tersenyum manis. Gembirakah dia beristerikan dirinya yang tidak sempurna? Noura jadi sebak. Lelaki itu terlalu baik. Terlalu lurus hatinya. Mengapa tidak dijodohkan dengan gadis yang sebaik dirinya? Mengapa aku?


Air jernih mula bertakung di tubir mata. Noura tunduk melindungi wajah. Tak sanggup rasanya hendak meneruskan pernikahan ini. Terasa dirinya akan menganiaya bakal suami. Apa ertinya sebuah pernikahan kalau isteri tidak disentuh. Kenapa Sufyan sanggup? Ya Allah...

Saat dirinya ditanya, persetujuannya dipinta, dia tidak dapat lari dari memandang wajah Sufyan yang menatapnya dari jauh. Pandangan mata mereka bersabung. Sufyan mengangguk kecil, berkelip sepasang matanya lalu tersenyum manis. Teramat manis. Lalu Noura ikut mengangguk. Bersetuju saja dengan kehendak lelaki yang memiliki hati yang istimewa itu. Namun airmatanya gugur. Maaf kalau aku bakal menghampakan, bisik Noura di dalam hati. Di sana, Sufyan menggeleng kecil. Menunjuk isyarat pada mata. Dia tak mahu Noura menangis. Langsung Noura tunduk dan teresak. Jangan terlalu baik, Sufyan!

Bila tangan lelaki itu digenggam abi, Noura rasakan hatinya turut digenggam sama. Tergenggam dalam lafaz akad yang menyatukan mereka. Bersaksikan Allah dan berpaksikan Allah. Langsung dia panjatkan munajat. Memohon keberkatan dan limpahan kebaikan dalam rumahtangga yang bakal dibina. Dan yang paling penting, Noura mohon agar Allah memegang hatinya dalam setiap ujian yang mendatang.

Saat Sufyan menyambut lafaz, Noura juga menyahut di dalam hati. Aku terima dirimu sebagai imam demi Tuhanku. Ya Allah... terima kasih atas kasih sayang-Mu!

Mereka mengerjakan solat sunat dua rakaat dan sujud syukur di balik tabir. Usai solat, Noura mengaminkan doa imamnya yang panjang. Sepenuh hati mereka memanjatkan kesyukuran. Kemudian Sufyan berpusing dan bersila di hadapan Noura. Gugup gadis itu mengadap lelaki yang bernama suami buat kali pertama seumur hidupnya.

"Assalamualaikum, Noura." Noura yang tunduk mengangkat kepala sambil menjawab salam. Dan saat itu pandangan mata mereka terkunci. Lama. Saling berbicara, meluah rasa. Namun bibir kelu tanpa suara. Hanya jantung yang berpalu, bertukar rentak. Bagaikan menuju korus yang tak kunjung tiba.

"Terima kasih," akhirnya Sufyan bersuara.

"Terima kasih kerana sudi terima abang," dada lelakinya sebak. Doanya sekian lama dimakbulkan Tuhan!

Noura menatap wajah suaminya dengan rasa terharu. Suara hilang entah ke mana. Kenapa begitu sekali dia merendah diri?

Perlahan dia menghulurkan telapak tangannya. Dan sabar menanti di situ.

Noura memandang telapak tangan yang terngadah itu. Terhela nafasnya. Bibirnya digigit hingga terasa sakit. Airmata sudah berlinangan. Lelaki itu ingin menyentuh dia sebagai seorang isteri. Tetapi saat itu, tangannya kaku di sisi. Rasa takut dan cemas datang silih berganti. Semakin tangan itu dipandang, semakin seram sejuk seluruh badan. Memori hitam itu berbayang datang. Namun ditepis sungguh-sungguh dengan istighfar. Bergetar jari jemarinya melawan segala rasa-rasa itu. Tuhan!

Terpejam sepasang matanya. Cuba membuang segala buruk sangka. Dia suami. Dia bukan lelaki itu. Dia takkan mengkhianati.... Dihirup nafas untuk mendapatkan kekuatan. Dihimpun segala kekuatan dalam diri. Demi Tuhan, tangannya perlahan-lahan diangkat dan diletakkan di atas telapak tangan yang menanti. Redha. Tawakkal. Pasrah.

Dan Sufyan meraup tangan mulus itu penuh syukur. Digenggam erat mematri janji. Bahawa jiwanya diserahkan ke dalam genggaman gadis itu yang kini bergelar suri hidupnya. Diraih tangan itu ke bibir dan dikucup lama. Noura semakin sebak memandang dengan debaran yang berbeza. Sentuhan itu ada magisnya. Getaran di hati menuju kemuncak korus yang sempurna.

GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now