Bab 4

324 10 0
                                    


Barang-barang hantaran yang cantik berhias terbiar di atas par-par berkaki di sudut rumah besar itu. Rumah yang semalam riuh-rendah dengan sanak-saudara kini sunyi tak berorang. Majlis perkahwinan yang dijangka akan berlangsung hujung minggu hadapan dibatalkan saja. Pengantin lelakinya nanar kerana ditinggalkan pada malam pernikahannya.

Ya! Mar'ain... gadis buruan Adam selama ini tega memutuskan ikatan mereka yang hampir terpatri selepas peristiwa semalam. Lebih dahsyat lagi, sebentar tadi... Ain selamat diijabkabulkan dengan lelaki lain dengan alasan mahu menyelamatkan maruah keluarganya yang akan menanggung malu andainya majlis perkahwinan itu dibatalkan begitu saja.

Sedikitpun Ain tak memikirkan tentang diri dan keluarganya. Adam tahu, dia bukanlah lelaki yang terbaik untuk gadis itu yang hidup serba sempurna. Kehidupan yang diidamkan Adam selama ini. Memiliki Ain seperti bulan jatuh ke riba. Dia bakal memiliki semua yang diimpikan. Isteri yang cantik dan berkarisma, jaringan perniagaan yang luas melalui bapa mentuanya dan tentulah syarikat permotoran milik keluarga Ain yang menjadi igauan. Namun semuanya hancur selepas bala yang menimpa adiknya malam tadi. Bala yang ditempah oleh dirinya sendiri!

Adam melangkah masuk ke rumahnya selepas menghilang semalaman. Dia tak mampu berdepan dengan semua ini. Seperti saat ini... sebaik saja matanya tertancap ke deretan dulang hantaran yang ditolak mentah-mentah oleh Ain, hatinya bagai ditores lumat. Tergamak Ain, tetap tak sudi walaupun mahu diberikan sebagai hadiah saja. Sehina itukah dia dan keluarganya di mata Ain?

Adam berpusing lalu melangkah laju ke anak tangga. Dia tak mahu lagi melihat ini semua. Runsing! Sementelahan dirinya sendiri kusut masai dek semalaman berembun di luar bersama kawan-kawan yang memahami nasib dirinya.

"Adam..."

Suara umi menghentikan langkahnya. Keras di situ. Apa lagi yang umi mahu?

"Duduk kejap. Umi nak bincang..."

Lembut nada suara umi tak mampu melunakkan hatinya yang remuk-redam. Nafas dihela kuat. "Adam penat, umi. Nanti-nantilah!"

"Adam... umi dengan abi... kami... nak mintak Adam teruskan saja majlis ni. Adam... Adam kan ada kawan perempuan yang selalu bersama Adam tu... yang Adam kata adik angkat tu..."

Fina! Terasa macam dipanah halilintar saja saat itu. Jemari Adam menggenggam kuat pemegang tangga kayu sehingga timbul urat lengannya.

Adam dah campak dia, umi. Adam dah buang dia! Batin Adam menjerit antara sesal dan marah. Inikah kifarah untuknya? Argghhh...

Kakinya tak betah berdiri di situ lagi. Adam membiarkan permintaan gila umi itu tergantung tanpa jawapan. Dia melangkau tiga-empat anak tangga sekali gus. Mahu cepat hilang dari pandangan umi atau pertanyaan umi yang mungkin takkan berhenti nanti.

"Adam!" Madihah terjerit melihat telatah anaknya yang langsung tak mahu membuka ruang di antara mereka.

Sejak semalam, bila suaminya mendapat perkhabaran duka dari adik lelakinya, Rashidi, Adam mula menjauhkan diri. Berita menular terlalu cepat tanpa sempat dibendung dan akhirnya sampai ke pendengaran pihak sebelah sana. Dia dan suaminya yang masih buntu dan keliru dengan apa yang menimpa tak mampu memberi penjelasan apapun dalam masa sesingkat itu. Dan tanpa rasa simpati, segala yang sudah dirancang rapi dinoktahkan begitu saja. Hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati yang baru saja dipeluk duka. Terduduk dibuatnya!

Yang paling pedih, satu-satunya anak lelaki mereka tak mahu menerima kenyataan itu. Adam mengamuk, membanting apa saja di biliknya. Belum reda tangisan Noura di bilik bawah, Adam pula meracau di tingkat atas. Sanak saudara yang tadi riuh bergembira, senyap tak berkutik. Perlahan-lahan mereka mengundur diri demi mahu memberi ruang kepada keluarga malang itu. Tak ada apa yang dapat dibantu sementelahan mereka juga langsung tak memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Tinggallah Madihan dan Rashdan berdepan dengan musibah yang tak pernah mereka pinta.

*****

Diskaun 30% untuk pembeli e-book GUARDIAN ANGEL ya! Whatsapp 011-20503481. Novel ini dijual untuk PROJEK INFAQ RAMADHAN 2018.

GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now