Like A Guardian Angel Teaser #02

196 3 5
                                    

Satu daripada kaki yang dibaluti seluar panjang dan siap berstokin serba hitam itu turun lagi ke bawah dan terkial-kial mencari tempat berpijak. Apabila kaki itu menyentuh sesuatu, mungkin akar pokok yang membelit tiang itu agak kuat untuk menahan tubuhnya, dia mula menurunkan satu kaki lagi. Kali ini tubuh yang berbaju labuh dan kepala yang bertudung semuanya serba hitam itu muncul memeluk tiang yang tinggi. Sebuah beg yang tergantung di bahu terhayun ke belakangnya.

Sufyan terlonjak di tempat duduk. Cemas melihat tubuh itu mendakap tiang. Lama mana dia boleh bertahan? Kepalanya tertoleh ke kiri dan kanan. Mencari tempat untuk berpaut mungkin. Sufyan tak menunggu lagi, bingkas Sufyan keluar dari kereta, berlari dalam senyap ke pintu pagar. Mujur tidak berkunci! Dia melangkah terhendap-hendap bagaikan seekor kucing, bimbang kalau gadis di tiang tinggi itu terlepas pegangan kalau dia terkejut dengan kehadirannya.

Sepasang matanya menerawang ke dalam rumah. Pintu depan tertutup rapat. Tetapi ada tingkap yang terbuka. Dia kini berdiri betul-betul di kaki tiang di mana gadis serba hitam itu berada di atas sana.

Sebelah kakinya menerawang lagi mencari tempat untuk berpijak. Yang ada cuma belitan pokok yang menjalar itu. Setakat mana ia dapat menahan bebanan berat tubuh seorang gadis? Namun gadis itu lebih berani dari yang disangkakan. Atau sebenarnya berfikiran dangkal! Dia cuba melurut turun seperti tarzan yang berpaut pada tali pokok tetapi sayang, pokok yang menjalar itu tidak sekuat mana, terputus dan...

Tubuh itu melayang jatuh ke dalam pangkuan Sufyan yang cemas menanti. Dan hentakan yang bukan sedikit itu membuatkan kedua-duanya terjatuh ke tanah.

Kelam-kabut Fatimah El Noura bangun dari terus menghenyak perut orang yang menyambutnya. Siapa? Sepantas kilat dia berpusing. Buntang matanya melihat seorang lelaki asing menahan senak di atas rumput.

"Awak siapa? Macam mana awak ada kat sini?" Noura berbisik keras. Gila tak terperanjat, tiba-tiba ada lelaki bersongkok menyambutnya dari jatuh ketika sedang melarikan diri! Ustaz ni muncul dari mana? Darul Sakinah? Umi yang panggil dia ke sini? Matanya menerawang memerhati ke dalam rumah. Jangan umi yang sedang sibuk di dapur sedar apa yang berlaku. Abi pula ke masjid untuk solat jumaat dan dia akan pulang dari masjid tak lama lagi. Kebetulan hari ini cuti umum. Noura semakin panik dan dia tidak mahu rancangannya gagal.

"Saya lalu kat depan sana. Saya tengok..."

"Syyhhhh!" Telunjuk Noura mengetuk bibir sendiri bertalu-talu, mendiamkan lelaki itu. Kening dan anak mata Sufyan sama terangkat. Mengapa?

"Nanti umi saya dengar. Cepat keluar dari sini sebelum umi datang!" Dia lega kalau ustaz itu bukan dari Darul Sakinah. Apa pun, dia tidak boleh berlengah lagi. Noura berpusing lalu mengangkat kaki dan mencicit berlari keluar. Kasut yang dijinjingnya dari tingkat atas entah ke mana berjatuhan. Dia tak peduli. Yang penting, dia lari! Lagi pun dia bimbang kalau ustaz yang muncul tiba-tiba itu membuka tazkirah pula nanti.

Sufyan bertambah terkejut dengan tindakan gadis itu. Dia menoleh ke dalam rumah dan apa lagi, lebih baik angkat kaki sebelum dia dituduh melarikan anak dara orang. Gadis itu sudah memecut berlari melewati keretanya hingga agak jauh, barulah dia berhenti mengambil nafas. Kelihatan dia tercungap-cungap memegang dada. Kemudian menyambung langkah laju-laju.

Sufyan cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan memandu ke arah gadis serba hitam itu. Dia menurunkan tingkap kereta. Kereta dan sepasang kaki yang hanya berbalut stokin nipis itu bergerak seiring.

"Awak nak ke mana dengan tak berkasut ni?" Dia memang kehairanan sungguh. Kesian pun ada. Hendak ketawa pun ada. Tetapi wajah bengis gadis itu mematikan fikirnya.

"Awak jangan sibuk, boleh? Pergi cepat dari sini! Nanti orang nampak. Saya tahulah apa yang saya buat! Pergi cepat!" Marah punya fasal, Noura sudah tidak ber'ustaz' lagi.

Sufyan terperanjat dimarahi begitu. Bukan nak ucap terima kasih, dihalau lagi kan ada.

"Kaki awak tu! Berdarah nanti..."

"Hei! Kaki saya, kan? Bukan kaki awak! Baik awak pergi sekarang. Nanti rosak rancangan saya. Cepatlah!" Marahnya kian meledak walaupun dalam keadaan tercungap-cungap kerana berjalan laju. Sesekali dia berdecit bila kakinya terpijak benda keras namun berhenti tidak sekali. Kenapalah ustaz ni degil sangat, menyibuk fasal orang lain.

Sufyan kulum senyum sambil terus memandu perlahan mengikut arah langkah kaki gadis itu. "Saya tolong awak! Saya hantar awak ke mana awak nak pergi. Cepat masuk dalam kereta!"

Sufyan menukar rancangan. Daripada dihalang, lebih baik dibantu. Nanti dia akan tahu juga ke mana arah tujuan gadis itu.

"Awak ingat saya bodoh? Awak tahu rumah saya di mana. Nanti awak akan beritahu keluarga saya. Eh, pergilah cepat. Jangan ganggu saya!" Tangannya menepis tanda rimas. Tali beg yang digalas yang melurut ke bawah berkali-kali ditarik semula ke bahu. Jalannya tetap laju walau pincang kerana tidak berkasut. Matanya meliar mencari teksi.

"Okeylah! Saya nak patah balik beritahu umi awak sekarang!" Jerit Sufyan bila gadis itu membelok ke jalan di antara dua blok rumah teres. Mungkin jalan pintas ke jalan besar agaknya.

Langkah gadis bertudung litup itu terhenti. Seperti yang dijangka. Cepat-cepat Sufyan membelok ke arah jalan sempit itu dan berhenti betul-betul di hadapannya yang kini sudah bercekak pinggang.

"Kenapa awak sibuk dengan urusan saya? Awak tak faham bahasa ke?" Dia semakin menjerit marah. Peluh di dahi diseka kasar dengan belakang tangan.

"Syhh! Nanti jiran-jiran dengar, habis awak! Saya cuma nak tolong awak sebab awak tu tak berkasut. Kalau awak tak nak saya hantar awak ke mana awak nak pergi, setidak-tidaknya awak ikut saya beli kasut dulu. Lepas tu, awak pergilah ke mana pun. Itu saja." Sufyan cuba membeli masa. Bukan mudah untuk memujuk orang yang sedang marah. Naluri hatinya bagaikan tahu apa yang sedang berlaku.

Pandangan Noura menirus. Ligat kepalanya berfikir. Betul juga. Tapak kakinya dah terasa sakit. Lagi pun jalan bertar itu semakin panas sebab matahari sudah semakin tinggi. Teksi pun bukan senang nak dapat waktu begini. Hendak ke jalan besar itu mengambil masa juga. Lebih baik dia cepat sebelum umi sedar akan kehilangannya.

Akhirnya dia melangkah mendekati kereta itu. Pintu belakang dibuka dan dia memboloskan diri ke dalam kereta. Sufyan tersenyum menang.


**psst: terima kasih sudi singgah. Boleh dapatkan Like A Guardian Angel versi ebook sahaja (RM15). Jika berminat dengan versi cetak, maaf sebab stok dah habis. ☺

Jemput baca karya-karya Juea yang lain juga ya. Enjoy!

GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now