Rumah dua tingkat itu cerah, terang benderang. Riuh suara senda gurau penghuninya mengisi segenap ruang. Begitu ramai saudara-mara yang berkumpul. Maklum, esok adalah hari pernikahan anak lelaki sulung dalam keluarga itu. Berbagai persiapan terutama menyiapkan dulang-dulang hantaran sedang dibuat sambil disulam senyum tawa keriangan.
Sebuah kereta putih menjalar perlahan di hadapan rumah yang penuh dengan kereta yang diparkir di sepanjang bibir jalan. Melihat tiada kelibat manusia di perkarangan rumah, pemandu itu memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar. Dia keluar dari kereta dan tercegat berdiri memandang keliling mencari kelibat atau bayang sesiapa. Setelah berpuas hati, dia membuka pintu kereta di belakang. Sekujur tubuh berbalut selimut sepenuhnya dirangkul keluar dengan susah payah. Pintu pagar yang tidak bertutup rapat itu ditolak dengan kakinya sahaja.
Dalam cahaya samar lampu neon di tepi jalan, halaman rumah itu tidak terlalu terang. Pandangannya mengitari halaman itu sekali imbas. Dia melangkah yakin ke sisi halaman yang dikelilingi deretan pasu-pasu bunga dan pokok hiasan yang berbalam kehijauan di malam hari. Dan perlahan-lahan, tubuh yang berbalut itu diletakkan di atas baldu rerumput. Dia membetulkan balutan selimut yang turut membalut kepala agar hanya muka saja yang terbuka. Wajah yang masih terlena itu dipandang buat kali terakhir sebelum dia melangkah pergi. Wajah yang mungkin bakal menghantui tidur dan jaganya selepas ini.
Dia melangkah laju ke arah kereta tadi tanpa menoleh sedikit pun. Dan beberapa detik kemudian, enjin kereta itu mengaum mengejutkan hening malam yang sedang menuju dinihari lalu kenderaan itu menderu laju meninggalkan tempat yang kini menjadi sumpahannya.
Tangannya mencapai telefon bimbit yang bersarung merah jambu yang tadi dicampak di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Nama pemanggil dalam senarai panggilan dipilih dan butang hijau disentuh.
"Noura!" Nama itu diseru.
"Noura dah aku hantar balik. Sebagaimana engkau hantar Fina balik."
Butang merah disentuh. Panggilan itu dihentikan. Butang di pintu sisi ditekan dan cermin tingkap diturunkan. Telefon bimbit itu dicampak keluar sejauh mungkin. Sebagaimana dia mencampak keluar nama yang mengundang dendam itu dari lubuk hatinya. Dan kereta itu terus menderu membelah malam yang pekat.
Bakal pengantin lelaki itu hilang suara sebaik sahaja panggilan itu diputuskan. Dia yang tadi sedang gelak ketawa diusik sanak saudara kini bungkam tidak bergerak. Hanya jantungnya yang berpalu kuat di dalam. Nama yang disebut pemanggil benar-benar menyentak dirinya.
Soalan berdatangan bertanyakan Noura dari saudara mara di sekelilingnya. Memang kelibat Noura dinanti sejak beberapa jam yang lalu. Jadi panggilan itu pastinya membawa berita tentang Noura. Itu yang mereka harapkan.
Deruman enjin yang kedengaran tadi mengingatkan Adam tentang sesuatu. Bingkas dia berlari ke pintu tanpa mempedulikan sesiapa pun yang sedang bertanya. Tanpa sempat menyarung kasut, Adam melompat ke tengah halaman dan... sekujur tubuh yang berbalut selimut di atas rumput menangkap pandangannya.
"Nouraaaaa!" Suara pekikan Adam tiba-tiba menyentak hening malam. Wajah Noura dan Fina mengacah silih berganti di mindanya. Sepasang kakinya terus jadi lemah, hilang upaya tiba-tiba namun diheret juga untuk melangkah menuju ke arah tubuh yang terbaring kaku itu. Dia terduduk melutut di situ. Wajah manja adik kesayangannya, Fatimah El Noura yang kelihatan lena itu diraup dengan kedua tangannya.
"Noura!"
Diam. Kaku. Noura yang langsung tak bergerak bila diseru membuatkan jantungnya hampir berhenti berdegup. Wajah Fina tertawa mengejek tiba-tiba muncul di ruang mata membuatkan dia jadi panik. Peluh jantannya merenik.
"Noura! Nouraaaa!" Adam terpekik kuat dek kerana cemas dan bimbang. Tubuh itu digoncang berkali-kali. Dia tak mampu menahan diri lagi. Rasa takut benar-benar menguasai hati dan mindanya.
Jangan! Jangan Noura diapa-apakan. Tuhan, tolonglah! Selamatkan adik aku. Aku tak sanggup kehilangan lagi! Hatinya meracau hebat. Pantas nadi di leher adiknya disentuh. Hah! Gadis itu masih bernafas!
Syukur, ya Tuhan. Nafasnya terhela lega. Pantas matanya mengelingas keliling tapi tiada kelibat yang kelihatan.
"Noura! Bangun Noura!" Pipi adiknya berkali-kali ditampar perlahan. Adam semakin panik. Noura pengsan?
Dia mendongak menarik nafas. Air! Bingkas dia bangun menuju ke paip di bucu halaman. Ada gayung di situ. Air ditadah dan dibawa ke tempat Noura terbujur kaku. Muka yang kelihatan pucat itu disapu dengan air berkali-kali.
Pada masa itu juga, abi dan umi serta yang lain sudah mengelilingi Noura. Masing-masing cemas dan tertanya-tanya. Kepala Noura dirangkul umi ke ribanya.
"Hmmm...." Noura tiba-tiba bersuara lemah. Anak matanya kelihatan bergerak-gerak di bawah kelopak mata yang masih tertutup rapat.
"Noura! Buka mata, sayang. Ni umi... buka mata nak..." Sebak dan hiba suara Umi singgah ke pendengarannya. Umi!
"Umi..." rengek Noura perlahan. Serentak itu, kelopak matanya terbuka. Payah.
"Umi..."
"Noura!" Madihah merangkul anaknya dan memeluk erat, menangis hiba. Apa yang berlaku, ya Allah?
'Umi?" Noura benar-benar sedar kini. Sepasang matanya perlahan-lahan membesar apabila melihat begitu ramai yang mengerumuninya. Dan langit kelam yang menyapanya membuatkan matanya buntang.
"Umi... kenapa Noura kat sini?" Dia terkejut dan kehairanan. Umi hanya menangis sementara yang lain diam dengan wajah-wajah keliru.
"Umi!" Dalam susah payah, Noura cuba bangun sambil dibantu Adam. Namun selimut yang melurut turun dari kepala dan bahunya menghentikan pergerakannya. Dan sebahagian tubuhnya yang mula terdedah membuatkan dia menyedari sesuatu. Dia hanya ada selimut itu!
"Umi... ke... kenapa dengan Noura? Kenapa...?" Namun wajah umi yang turut terkejut dengan keadaannya membuatkan Noura terus jadi panik. Dia mendongak memandang abangnya yang turut tercengang melihat dirinya. Tiba-tiba umi merangkul Noura, kembali memeluknya erat sambil menutup semula tubuh yang hampir terdedah itu.
"Abang Adam?" Noura yang masih terlopong, menjerit memanggil abangnya. Dia sungguh tak percaya dengan keadaan dirinya saat itu! Di mana pakaiannya? Kenapa dia di sini di tengah malam begini?
Wajah seorang lelaki lelaki tiba-tiba menjelma dalam ingatannya membuatkan riak wajah Noura berubah cemas dan keliru.
*****
Terima kasih sudi singgah. Novel ini bakal terbit 25 April nanti. PM atau Whatsapp 011-20503481 untuk tempahan!
YOU ARE READING
GUARDIAN ANGEL
General FictionDia hadir tanpa nama. Di tangannya sejambak bunga dan di bibirnya terukir senyuman memikat. Namun dia hilang tanpa kelibat. Fatimah el Noura terperangkap dengan seorang lelaki misteri yang meregut maruah dirinya sekali gus menghancurkan kebahagian s...