Malam datang lagi. Tak ada waktu yang lebih mengerikan daripada malam hari. Gelap. Sejuk dan sunyi. Hembusan angin. Dan lelaki itu bersama haruman bunga mawar.
Gelisah... hanya Tuhan yang tahu. Noura berselubung dalam selimut. Tetapi bukan di katil. Di merata dinding. Puas uminya membawa dia ke katil semula. Tetapi sekejap saja. Bila ditinggalkan, dia akan turun semula. Tak betah untuk dia tidur di katil itu. Bimbang... bila-bila saja lelaki itu akan datang. Datang untuk melurut pakaiannya! Entah berapa kali semalaman dia akan meraba tubuh sendiri. Memastikan apakah masih ada pakaian yang melekat di situ.
Madihah yang baru masuk untuk melihat keadaan Noura menggelengkan kepala. Malam ini, dalam keadaan yang sebegitu lemah, Noura tetap bangun meninggalkan katil. Dalam keadaan berbungkus, dia berbaring di sudut dinding biliknya. Lesu tak bermaya.
Madihah keluar semula mendapatkan suaminya. "Dihah tak tahan lagi, abang. Kita kena bawa Noura ke hospital. Dia bukannya semakin baik, abang!"
Rashdan meraup muka yang sudah terlalu sugul sejak beberapa hari ini. Dia buntu sebenarnya. Entah bagaimana dia hendak membawa Noura ke hospital dalam keadaan anaknya tak mahu disentuh ayah sendiri.
"Macam mana kita nak bawa dia, Dihah?"
"Dia dah lemah sangat tu, bang. Abang angkat sajalah ke kereta... kita tak boleh tunggu lagi. Noura takkan pulih sendiri. Saya dah habis daya nak memujuk dia, bang..." Madihah terhenyak di sofa. Letih, lesu dan kecewa. Sebak usah ditanya lagi. Sentiasa ketat dalam dada.
Akhirnya malam itu, Rashdan bertindak menutup muka Noura dengan selimutnya dan cepat-cepat mendukung anaknya ke kereta. Noura memang sudah terlalu lemah. Hanya desah nafasnya saja kedengaran. Erangan kecil sayup mencecah pendengaran Rashdan. Tanda protes dia tak mahu diganggu. Pilu hati Rashdan mendengarnya.
Bukan dia tak cuba membawa anaknya ke hospital sebelum ini. Tapi Noura jadi kuat luar biasa. Dia meronta dan menjerit sampai tangan ayahnya sendiri digigit kuat tanpa belas kasihan. Rashdan bimbang kalau Noura tak dapat mengawal diri di tempat awam sehingga mencederakan diri sendiri. Jadi mereka cuba cara pujuk dan bincang. Namun semuanya menemui jalan buntu. Adam satu-satunya lelaki yang boleh bercakap dan mendekati Noura tetapi lelaki itu pula menjauhi adiknya. Dendam amarahnya belum reda kerana dia menyalahkan Noura yang menyebabkan dia gagal ke jinjang pelamin.
Noura berjaya dibawa ke Hospital Pakar Ampang Puteri. Dia dimasukkan air untuk memberi sedikit tenaga terlebih dahulu. Sementara menunggu doktor membuat pemeriksaan lanjut, Noura dibiarkan tidur sahaja.
Rashdan dan Madihah resah menanti. Apa yang patut diberitahu kepada doktor nanti? Anak mereka tak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya. Apatah lagi mereka!
Hampir setengah jam berlalu, akhirnya seorang doktor lelaki yang masih muda menghampiri katil itu diiringi dua orang jururawat. Madihah memandang wajah suaminya yang juga kelihatan semakin resah seperti dirinya. Mahukah Noura dirawat doktor lelaki?
Noura terdengar ada suara yang bercakap-cakap seolah-olah ada orang yang begitu hampir dengan dirinya. Siapa? Tubuhnya terasa agak selesa, tidak lemah seperti sebelumnya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Terasa lega ruang dadanya bila diisi penuh dengan oksigen yang dihirup.
Suara-suara itu semakin jelas di telinga. Lelaki! Serentak itu, kedua matanya terbuka luas. Putih. Semuanya putih. Dia tersedar ada ramai orang mengelilinginya. Nafasnya kembali sesak. Kenapa? Apa yang mereka mahu?
Seorang lelaki berkaca mata tersenyum kepadanya. Noura kengerian. Terasa jari-jemarinya sejuk serta merta. Tubuhnya mula menggigil. Hatinya sudah menjerit-jerit.
Jangan! Jangan sentuh aku! Ya Allah... tolong!
Kepalanya berpusing-pusing tak tentu arah. Dia harus buat sesuatu sebelum dirinya disentuh lagi! Wajah umi tiba-tiba ada di depan mata.
"Umi! Umi tolong Noura. Tolong Noura, umi!" Serak suaranya merayu sepenuh hati. Dia menangis ketakutan. Melihat umi terkaku memandang dengan wajah serba-salah, Noura jadi semakin panik. Tanpa bertangguh lagi, dia menongkah diri sekuat hati lalu bangun dan turun dari katil tanpa sempat ditahan sesiapa. Dia mesti cepat. Sebelum dia jadi mangsa sekali lagi.
"Noura! Jangan..."
"Umi... cepat! Tolong Noura! Tolonglah, umi!"
Madihah tergamam melihat anaknya tiba-tiba bangun dan menggelongsor turun dari katil tanpa mempedulikan tangannya yang sedang dicucuk dengan jarum yang bersambung dengan tiub ke botol drip. Habis semua jatuh bergelimpang dan darah mengalir dari belakang tangan Noura kerana jarum tercabut dek pergerakannya yang mendadak. Tubuhnya jatuh terjelepuk ke lantai. Dia merangkak sedikit lalu memaut sepasang kaki uminya. Semua berlaku terlalu cepat dan sekelip mata. Madihah segera tunduk memaut bahu Noura. Laju saja gadis itu meruntun tubuh ibunya, mendesak agar dia dibawa jauh dari mereka.
Rashdan dan jururawat segera mendapatkan Noura sementara doktor sudah siap menyediakan jarum untuk suntikan sedatif. Keadaan jadi kelam-kabut. Noura tak semudah yang disangka kerana habis semua orang ditepis dan diterajang. Dia jadi semakin panik dan takut bila dia mahu dipisahkan dari uminya.
Mereka hampir bergumpal di situ dan Noura meraung memanggil 'umi' sementara lengan Madihah tetap tak dilepaskannya. Wanita itu tak dapat menahan perasaan hiba bila orang terpaksa bergelut untuk memisahkan Noura darinya. Akhirnya, dia bertindak memeluk kepala Noura sekuat hati dan meminta mereka berhenti.
"Cukuplah! Cukuplah! Biar saya tenangkan anak saya. Tolonglah...!" Madihah merayu. Dia terpaksa bertegas sambil memandang suaminya memohon belas kasihan. Sementara Noura yang mengigil ketakutan terus mmeluk tubuh uminya sekuat hati sebaik saja tangannya yang dipegang kuat terasa dilonggarkan bila mereka mendengar rayuan umi.
"Noura nak balik, umi! Noura nak balik! Bawa Noura balik, umi..." suara Noura tenggelam-timbul dalam esak tangis dek kerana mukanya terbenam di dada Madihah.
"Ya, sayang! Kita balik. Umi bawa Noura balik... syyhhh... umi ada sayang... ." Dengan linangan airmata, Madihah membetulkan tudung dan pakaian Noura yang memeluk dirinya seakan-akan tak mahu dilepaskan lagi.
Rashdan menghela nafas berat. Dia memberi isyarat kepada dua orang jururawat dan juga doktor yang dia mahu berbincang. Perlahan-lahan mereka bergerak meninggalkan Noura bersama uminya di bilik itu.
Sebaik saja terdengar bunyi pintu ditutup, Noura mengangkat muka dan kalut memandang keliling dengan muka yang merah dan basah.
"Noura takut umi... Noura nak balik..." Kedengaran menggigil suaranya sambil anak matanya berlari tak tentu arah. Tangannya tetap kuat memeluk umi seperti takut ditinggalkan.
"Noura selamat dengan umi. Kita nak balik dah. Tunggu abi ya. Abi nak pandu kereta. Umi tak pandai bawa kereta..." Bijak Madihah memberi alasan kerana dia bimbang kalau Noura tak mahu naik kereta bersama abinya. Bertambah haru nanti!
Noura terdiam mendengarkan itu lalu kembali membenamkan mukanya ke dalam pelukan umi. Tangisannya mula reda. Buat seketika, dia terasa damai di situ.
***************************************
Novel LIKE A GUARDIAN ANGEL bakal terbit untuk PABKL 2018. Cetakan terhad untuk preorder dan jualan amal. Whatsapp 011-20503481 untuk membuat pesanan.
Terima kasih kerana sudi singgah. Moga terhibur.
YOU ARE READING
GUARDIAN ANGEL
General FictionDia hadir tanpa nama. Di tangannya sejambak bunga dan di bibirnya terukir senyuman memikat. Namun dia hilang tanpa kelibat. Fatimah el Noura terperangkap dengan seorang lelaki misteri yang meregut maruah dirinya sekali gus menghancurkan kebahagian s...