HADI mengelap cermin kereta sehingga berkilat. Sesekali mulutnya berzikir. Memang itulah rutin harian dia bekerja sebelum memulakan tugasnya sebagai pemandu kereta. Hampir dua bulan dia bekerja bersama Dato' Rosli, ternyata tanggapannya salah sama sekali.
Dato Rosli seorang yang sangat bertimbang rasa. Malah tidak pernah memberikan dia tekanan semasa bekerja. Tak sangka masih ada lagi orang kaya yang bersikap merendah diri seperti Dato' Rosli. Malah gaji yang diterima sangat lumayan.
Nampak sahaja kelibat majikannya keluar dari pintu utama, bergegas Hadi mendapatkan orang tua itu. Beg kerja Dato' Rosli diambil.
"Awal awak datang hari ni?"
"Eh, macam biasa aje Dato'." Dia pandang jam di tangan. Tetap sama seperti biasa.
"Biasanya awak datang pukul 7.45 pagi. Ni pukul 7.30 awak dah sampai. Saya perasan kelibat awak tadi."
Hadi tersenyum kecil.
"Ooo... saya keluar awal sebab nak masukkan duit ke akaun adik saya, Dato'. Selesai kerja saya, terus ke sini."
Ternaik kening orang tua itu. Langkahnya terhenti seketika.
"Adik awak belajar?"
"Belajar lagi. Dia baru masuk maktab. Saya ni anak sulung. Mak saya pula setakat buat kerja kampung. Itu pun dia tak berapa sihat. Jadi sayalah yang perlu cari rezeki."
Dato' Rosli bangga dengan anak muda ini. Bahu Hadi ditepuk lembut.
"Alhamdulillah. Baguslah. Anak saya tak sama macam perangai awak. Kerja nak menyakitkan hati saya aje. Tiap-tiap bulan asyik minta duit. Nak kata dia tak kerja, kerja aje," bebel orang tua itu.
Hadi membuka pintu kereta. Dato' Rosli masuk ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Bergegas Hadi masuk ke dalam kereta.
"Saya sendiri tak tahulah bila anak saya tu nak berubah." Lemah nada suara orang tua itu.
Hadi melirik sekilas ke arah cermin pandang belakang. Pertama kali dia mendengar lelaki itu merungut tentang anaknya.
"Anak Dato' ada di mana sekarang?"
Tegak terus tubuh orang tua itu. Dahinya ditepuk kuat. Terkejut Hadi dengan reaksi majikannya.
"Ya Allah! Nasib baiklah kita bercakap pasal dia. Macam manalah saya boleh lupa ni?"
"Kenapa Dato'?"
"Lepas awak hantar saya, awak terus ke KLIA. Ambil anak saya."
Tercengang Hadi.
"Budak bertuah tu tiba-tiba balik mengejut. Ikut suka dia aje nak balik, dia balik. Harap kali ni dia tak akan pergi ke sana lagi." Dato' Rosli mengeluh perlahan.
Sudah berbelas tahun perkara itu berlaku. Sehingga kini, Elly masih enggan memaafkan dirinya yang dianggap sebagai pembunuh arwah isterinya.
Hadi memulakan pemaduannya.
"Adik awak tu lelaki atau perempuan?"
"Perempuan."
"Mesti perangai dia baik. Macam abang dia."
Hadi tersenyum malu.
"Tak adalah. Kalau datang angin merajuk dia, pening juga saya nak memujuk. Adik saya tu manja juga orangnya. Lepas arwah ayah saya meninggal, dengan sayalah dia bermanja."
YOU ARE READING
Hilangkan Rasa Itu (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)
RomanceEllyana Nadhirah... Gadis yang suka memberontak setelah ibu bapanya bercerai. Ketika belajar di luar negara, dia terlalu obsess dengan seseorang. Saat cintanya ditolak, ada dendam beraja di hati. Muhammad Hadi... Seorang lelaki naif dan rajin berus...