ELLY terjaga dari tidur. Wajahnya sudah berpeluh. Tercungap-cungap nafasnya. Mimpi yang berlaku sebentar tadi seperti benar-benar berlaku. Perlahan-lahan dia turun dari katil.
Air mineral dicapai dan diteguk sehingga habis. Dadanya masih berdegup laju. Mimpi yang muncul tadi benar-benar membuatkan Elly tidak dapat melelapkan mata kembali.
"Abang relakan sayang pergi. Pergilah dengan tenang."
Spontan dia menyentuh kedua pipinya. Basah. Kenapa dia yang menangis hanya disebabkan minpi tadi?
Pantas dia masuk ke bilik air. Wajahnya dibasahkan. Dia melihat pantulan wajahnya di hadapan cermin.
"Siapa lelaki tu? Kenapa aku rasa sedih sangat bila dia cakap macam tu?"
Walaupun wajah lelaki itu samar-samar, namun kata-kata terakhir lelaki itu sangat terkesan di hati. Tangannya ditatap dengan perasaan aneh. Masih terasa hangat genggaman tangan lelaki itu di jari jemarinya.
"Tak mungkin dia orang yang sama?"
Terbayang peristiwa beberapa tahun yang lalu. Jujur dia sudah hampir lupakan peristiwa itu. Tiba-tiba saja hari ini dia termimpikan lelaki itu.
Elly cuba sedapkan hati. Boleh jadi, mimpi itu hanya mainan tidur. Laju kakinya melangkah keluar dari bilik air. Punggung dihempas kasar di atas tilam. Laci meja ditarik perlahan. Album gambar yang sentiasa bersamanya dikeluarkan dari laci tersebut.
Sebaik sahaja album itu dibuka, tubir matanya bergenang. Terlalu rindu dia untuk mendakap tubuh wanita itu. Sampai bila-bila pun, dia tak ada peluang lagi untuk bertemu mama.
"Mama, Elly rindukan mama."
Dadanya sebak. Walaupun sudah beberapa tahun tahun berlalu, kenangan pahit itu tidak akan dia lupakan. Terpaksa berpisah dengan ibu kandung sendiri, bukan satu perkara yang mudah.
Saat dia terpandang gambar papa, wajah Elly berubah tegang. Benci dia melihat wajah itu. Lelaki yang pernah dianggap pelindung itu bukan lagi orang yang sama.
Tubuhnya direbahkan di atas katil. Erat dia memeluk album itu di dada seolah-olah dia sedang memeluk jasad mama. Tiba-tiba telefonnya berdering. Dahinya sedikit berkerut. Siapa pula yang hubungi dia sekarang?
Sebaik saja dia melihat nama yang muncul di skrin itu, Elly rasa nak baling telefon itu. Dia kenal sangat dengan pemilik nombor telefon itu. Sah lelaki itu sudah tahu kedudukannya di sini.
Ikutkan hati, dia enggan menjawab. Tapi tiada pilihan. Orang tua itu terlalu licik dan mampu membuatkan dia terpaksa balik ke Malaysia.
"Helo."
"Bila nak balik Malaysia?"
Elly putarkan biji mata. Soalan yang sama dia dengar setiap kali lelaki itu menghubunginya.
"Elly tak rasa nak balik."
Terdengar orang tua itu mengeluh kasar.
"Jangan sampai papa siasat apa yang Elly buat di sana. Papa dengar, lepas Elly tamat latihan di sini, Elly terus ke sana. Kenapa perlu terima tawaran bekerja di luar negara?! Sepatutnya Elly berbincang dengan papa."
Elly dah agak. Pasti lelaki itu tahu semua urusannya di sini. Siapa yang tak kenal dengan Dato' Rosli? Beberapa tahun yang lepas, dia selesai menjalani latihan di Malaysia. Dan selepas tamat latihan, dia terus kembali ke UK. Tujuannya untuk menjauhkan diri dari Dato' Rosli.
![](https://img.wattpad.com/cover/356417749-288-k244184.jpg)
YOU ARE READING
Hilangkan Rasa Itu (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)
RomansaEllyana Nadhirah... Gadis yang suka memberontak setelah ibu bapanya bercerai. Ketika belajar di luar negara, dia terlalu obsess dengan seseorang. Saat cintanya ditolak, ada dendam beraja di hati. Muhammad Hadi... Seorang lelaki naif dan rajin berus...