TERSEDAK Lucy. Wajah Elly ditatap dalam. Setelah beberapa tahun balik ke Malaysia, baru hari ini dia ke sini untuk bercuti bersama suami. Alang-alang bercuti, dapatlah dia berjumpa Elly.
"Seriuslah?" Mustahil Elly mengalami mimpi yang hampir sama sejak setahun yang lepas.
"Betul. Kerap pula aku mimpi. Naik seram pula."
"Kau ingat ni cerita filem ke?" Lucy ketawa terbahak-bahak.
Elly julingkan biji mata. Sudah diagak, pasti rakan baiknya itu tidak percaya.
"Menyesal pula aku cerita."
"Bukan aku tak percaya, tapi macam pelik aje. Kenapa kau dapat mimpi yang sama?"
Elly angkat kedua bahunya. Perkara itulah yang buat dia bertambah bingung. Kepalanya hampir pecah memikirkan kelibat lelaki itu. Seolah-olah mimpi itu mahu mengingatkan dia tentang dosa lama.
"Kau kenal lelaki dalam mimpi tu?"
"Mungkin aku pernah jumpa dia dulu."
Lama Elly terdiam. Bibirnya digigit perlahan. Sudah lama kisah itu kekal menjadi rahsia. Tak mungkin dia menceritakan hal ini kepada orang lain.
"Siapa?"
Elly tersenyum kelat. Air dihabiskan terlebih dahulu sebelum dia memberi perhatian kepada Lucy.
"Kau bercuti dekat sini berapa lama?"
Lucy merengus perlahan. Pandai betul Elly nak mengelak.
"Seminggu. Aku tak boleh lama cuti. Suami aku pun kerja dalam bidang perubatan."
Elly mengangguk faham. Lucy kini berkhidmat di hospital kerajaan. Rezeki kawan baiknya bertemu jodoh dengan lelaki di tempat bekerja yang sama.
Kelakar juga Lucy ni. Dulu gadis ini yang memberi cadangan supaya dia mencari pengganti Johan semasa menjalani latihan sebagai pegawai perubatan. Alih-alih, Lucy yang bertemu jodoh terlebih dahulu.
"Kau memang tak nak balik Malaysia ke?"
"Nak tak nak, aku kena balik juga. Dah lama aku dekat sini."
"Baguslah. Sampai bila kau nak kerja di sini sebagai model? Family kau tahu pasal ni?" soal Lucy.
Elly menggeleng. Selama ini papa menganggap dia menyambung pelajaran ke sini. Hakikatnya dia sudah lama berhenti dalam bidang perubatan. Itu salah satu cara dia untuk membalas dendam terhadap kecurangan papa.
"Kenapa kau tak nak jadi doktor?"
"Aku tak nak."
Lucy hela nafas berat. Tangan sahabat baiknya diraih.
"Sayangnya kau berhenti. Kau tak rasa rugi ke? Belajar lama-lama dekat sini. Lepas tu balik Malaysia buat HO, kemudian datang ke sini bekerja sebagai model."
"Cukup kau tahu aku buat semua ni untuk jauh dari orang yang aku benci."
Tak perlu Elly ceritakan semuanya kepada Lucy. Selama ini, dia terpaksa menurut kemahuan ayah kandungnya. Sekarang dia dah cukup dewasa membuat keputusan sendiri. Bekerja sebagai doktor, bukan kemahuannya.
"Bila kau plan nak balik sana?"
"Lagi beberapa bulan. Lepas kerja aku selesai." Itulah perancangan Elly.
YOU ARE READING
Hilangkan Rasa Itu (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)
RomanceEllyana Nadhirah... Gadis yang suka memberontak setelah ibu bapanya bercerai. Ketika belajar di luar negara, dia terlalu obsess dengan seseorang. Saat cintanya ditolak, ada dendam beraja di hati. Muhammad Hadi... Seorang lelaki naif dan rajin berus...