GEMENTAR Hadi saat dia berada di pejabat yang agak besar ini. Sudah hampir sebulan dia di Kuala Lumpur. Namun sehingga ke hari ini dia masih gagal mendapat kerja.
Segan juga dia terpaksa tinggal di rumah sewa Meon tanpa bayaran. Walaupun lelaki itu tidak pernah kisah, Hadi masih tidak selesa.
Hari ini dia nekad datang ke sini setelah terbaca iklan di dalam suratkhabar berkenaan jawapan pemandu kereta. Rasanya tidak salah kalau dia mencuba. Asalkan rezeki yang halal, dia tidak kisah mengambil peluang yang ada di depan mata.
Setelah memberitahu tujuannya ke sini kepada pekerja di bahagian kaunter, dia dibawa ke tingkat lima untuk berjumpa dengan setiausaha pemilik bangunan ini. Jantung Hadi berdegup laju. Beberapa potong doa dibaca untuk menenangkan hati.
"Encik duduk sini sekejap. Nanti saya beritahu Dato'."
Hadi sekadar mengangguk. Pakaian di tubuhnya, diperbetulkan sedikit. Dadanya diurut perlahan. Cuba menghilangkan rasa debar di dada.
Tak sampai lima minit, wanita tadi keluar sambil tersenyum ke arahnya. Hadi diarahkan masuk untuk berjumpa dengan pemilik bangunan itu. Dengan perasaan gemuruh, Hadi masuk ke dalam bilik itu dengan lafaz Bismillah.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Masuk."
Hadi tersenyum kekok. Wajah lelaki yang berusia di hadapannya itu, tidaklah terlalu sombong. Malah, lelaki itu turut menghadiahkan dia dengan senyuman yang mesra.
"Duduk." Lelaki itu membetulkan kot di tubuhnya sebelum duduk di sofa.
Hadi duduk di kerusi berhadapan dengan lelaki itu.
"Nama awak... Muhammad Hadi?"
"Ya, Dato'. Boleh panggil saya Hadi."
Lelaki itu membaca maklumat Hadi. Sesekali dia melirik ke arah Hadi.
"Ehmm... umur awak sebaya dengan anak saya. Sebelum ni, pernah bekerja di mana?"
"Saya... asal dari kampung. Habis belajar setakat SPM. Tak sambung ke mana, Dato'. Saya banyak buat kerja di kampung. Pernah tebar roti canai, jadi tukang masak dan jual cendol. Jujur saya memang tak ada pengalaman kerja sebagai pemandu."
Ternaik kening Dato' Rosli. Dari mata orang tua itu, Hadi nampak lurus orangnya. Fail lelaki itu diletak ke tepi.
"Awak memang nak sangat ke bekerja sebagai pemandu?"
"Nak, Dato'. Memang niat saya nak cari pekerjaan yang lebih baik dari sebelum ni."
Dato Rosli mengangguk sedikit. Kedua tangannya diletak di atas meja.
"Kerja sebagai pemandu saya, awak anggap pekerjaan yang lebih baik dari sebelum ni ke?"
Hadi tersengih sedikit.
"Semua pekerjaan tu baik, Dato'. Cuma saya anggap, pekerjaan sekarang dapat ubah masa depan keluarga saya di kampung."
Dato' Rosli suka mendengar bicara anak muda itu. Malah dia nampak kejujuran dari mata lelaki itu.
"Betul awak tak kisah bekerja dengan saya? Saya ni, sangat cerewet. Mungkin akan ambil masa yang lama untuk awak sesuaikan diri dengan saya."
"Insya-Allah, saya boleh." Yakin Hadi memberikan kata putus.
Tersenyum Dato Rosli. Suka betul dia melihat semangat anak muda ini.
YOU ARE READING
Hilangkan Rasa Itu (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)
RomansaEllyana Nadhirah... Gadis yang suka memberontak setelah ibu bapanya bercerai. Ketika belajar di luar negara, dia terlalu obsess dengan seseorang. Saat cintanya ditolak, ada dendam beraja di hati. Muhammad Hadi... Seorang lelaki naif dan rajin berus...