Beberapa tahun kemudian...
LAMA Elly menunggu kelibat seseorang. Dia tahu lelaki itu akan lalu di kawasan ini selepas bekerja di kafe. Selama mereka belajar di sini, dalam diam Elly sukakan Johan.
Dia sendiri tidak sangka akan jatuh hati terhadap lelaki itu. Mungkin sifat Johan sama seperti papa sebelum orang tua itu menduakan mama. Nafas dihembus kasar. Teringatkan papa, dia jadi mudah naik angin.
Dari jauh dia sudah ternampak kelibat Johan. Laju dia berjalan ke arah lelaki itu. Ketika itu, Johan sedang bercakap dengan seseorang. Langsung tidak sedar Elly sedang berdiri di belakangnya.
Belum sempat dia ingin menyentuh bahu Johan, dia terdengar sedikit perbualan lelaki itu. Bunyi seperti ada perkara yang serius. Hati Elly meradang saat terdengar nama gadis lain di bibir Johan.
Selepas Johan tamat berbual, lelaki itu masih berdiri kaku di situ. Elly memerhati gerak geri lelaki itu.
"An rindu sangat dengan Ara. An nak jumpa Ara."
"Siapa Ara?" Disebabkan rasa marah, tak sedar soalan itu muncul di bibirnya.
Johan tersentak. Laju dia berpaling ke belakang. Pipinya diseka dengan belakang tapak tangan.
"You menangis ke?"
Johan berdeham untuk betulkan suara.
"Awak buat apa dekat sini?"
"I cari you. You dah habis kerja?"
Johan sekadar mengangguk. Tanpa mengendahkan gadis itu, dia berlalu pergi dari kawasan itu.
"Sabarlah dulu. You ni sombong sangatlah dengan I." Lengan Johan disauk.
Terkejut Johan dengan aksi berani gadis itu. Pantas dia menarik tangannya.
"Jangan macam ni. Tak manis orang nampak."
Mencebik bibir Elly. Suka sangat jual mahal.
"I dengar you nak balik Malaysia. I ikut you balik kampung boleh?"
Langkah Johan terhenti seketika. Wajah gadis itu dipandang tak berkelip.
"Awak nak ikut saya balik kampung?"
Laju Elly mengangguk. "I nak balik Malaysia juga."
"Kenapa tak balik rumah sendiri?"
"I nak balik Malaysia juga. Tapi papa I masih di luar negara. Boleh I ikut you?." Bohong Elly.
Dia lebih selesa hidup seorang diri dari tinggal bersama papa. Peluang belajar ke luar negara diambil dengan tujuan menjauhkan diri dari orang tua itu.
Johan tarik nafas dalam-dalam. Dia bukannya bodoh untuk menangkap tingkah laku gadis itu sepanjang mereka belajar bersama. Sudah kerap Elly cuba menarik perhatiannya.
"Saya tak rasa itu rancangan yang bijak. Saya minta maaf. Saya tak nak timbul salah faham kalau awak ikut saya ke kampung."
Elly tenang mendengar jawapan Johan. Bagi Elly, dia takkan mengalah selagi ada peluang mendekati Johan.
"You tahu kan lelaki dan perempuan ni, tak boleh jadi kawan baik."
Bertaut kening Johan.
"I tak pernah anggap you kawan biasa tapi lebih kepada teman istimewa I."
Johan tergamam.
"I sukakan you." Kali ini Elly beranikan diri untuk berterus terang.
Johan pejamkan mata. Perkara inilah yang dia cuba elak dari berlaku.
YOU ARE READING
Hilangkan Rasa Itu (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)
RomanceEllyana Nadhirah... Gadis yang suka memberontak setelah ibu bapanya bercerai. Ketika belajar di luar negara, dia terlalu obsess dengan seseorang. Saat cintanya ditolak, ada dendam beraja di hati. Muhammad Hadi... Seorang lelaki naif dan rajin berus...