Part 1

338 35 8
                                    

Memasuki usia penghujung 20an bukanlah sesuatu yang sulit. Hidup diteruskan dengan masa yang terus berjalan. Tetapi yang menyulitkan itu adalah orang-orang di sekeliling. Yang sentiasa ingin mengikut campur urusan hidup orang lain.

Kepala mendongak memandang langit yang cerah. Cuaca yang elok untuk Maya memulakan perniagaannya pada hari ini. Kek yang telah dipotong kecil serta pavlova mini disusun cantik di atas meja yang telah dihampar alasnya.

Walaupun hanya berniaga di bawah khemah di tepi jalan, tetapi dekorasi tempat jualan Maya tidak ubah seperti sebuah kafe. Cuma tidak disediakan meja serta kerusi untuk pelanggan sahaja.

Baru sahaja jualannya bermula, sudah ada beberapa orang pelanggan yang datang membeli kek hasil air tangannya itu. Kerana ini Maya semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan di bandar ini.

"Hai Maya, dah nak habis kek kamu?"

Maya yang baru sahaja melabuhkan duduk, bangun semula setelah dia ditegur oleh orang kampungnya yang dipanggil Kak Dilla.

"Ya kak, alhamdulillah. Kak Dilla dari mana? Nak ke mana?" Soal Maya dengan mesra.

"Dari TNB sana, bayar bil elektrik. Dah nak balik dah, nampak kamu singgah la sekejap." Kerusi yang diduduki oleh Maya seketika tadi ditarik dan tanpa sebarang kata Kak Dilla terus duduk di situ.

"Sampai bila kamu nak meniaga dekat sini Maya?"

"Saya baru saja berniaga dekat sini, akak dah tanya macam tu." Balas Maya dengan senyuman yang tidak lekang di wajah.

"Taklah, bukan akak tak bagi kamu berniaga dekat sini. Tapikan, kamu dah tak ada apa-apa tanggungjawab lagi dekat sini. Bolehlah kalau nak kembali ke kota sana, cari kerja dekat tempat lama."

Seketika Maya tunduk memandang jari yang saling bertaut. Terusik hatinya bila Kak Dilla menyebut tentang tanggungjawab. Benar tanggungjawabnya telah selesai bila akhirnya ayahnya juga ikut pulang ke rahmatullah setelah setahun bertarung dengan kanser. Mengikut arwah ibunya yang terlebih dahulu meninggalkan mereka beberapa tahun yang lalu.

"Saya dah selesa berniaga dekat sini kak."

Kak Dilla angguk faham. "Tapi dekat sini jauh mana sangatlah kamu mampu pergi Maya. Setakat berniaga dekat bandar macam ini sajalah. Kalau di kota sana, kamu dapat cari kerja yang setara dengan kelayakan kamu. Dapat hidup senang."

"Takpelah kak, rezeki Allah itu luas. Saya lebih memilih untuk bekerja dengan bebas mengikut masa saya. Lagi pula tiada apa yang saya nak kejarkan kak. Ketenangan hidup itu lebih penting dan saya tenang begini. Kaya pun nak bagi dekat siapa. Ibu dengan ayah dua-dua dah takde." Terbias senyuman tawar di bibir Maya.

Memang itulah yang dia fikirkan. Hidup untuk diri sendiri, tidak perlulah dia bermewah. Cukup apa yang ada saja. Yang penting dia tidak meminta dan jika ada lebih dia akan memberi.

Kak Dilla menarik nafas dalam. "Susah nak jumpa orang macam kamu ni. Kalau orang lain agaknya dah lama keluar bina hidup dekat kota sana."

"Kalau saya sama macam orang lain, tak adalah yang nak jual kek sedap dekat bandar ni lagi kak." Maya cuba bercanda dengan suara yang diceriakan.

"Boleh tahan perasan kamu ni ya." Serentak itu Maya dan Kak Dilla ketawa.

Sedang mereka ceria bersembang, datang seorang lelaki memberi salam.

"Assalamualaikum."

Serentak Maya dan Kak Dilla berpaling dan mata Maya terus membulat saat terpandangkan lelaki yang sedang tersenyum di hadapannya ketika itu.

***

"Luqman!"

Lelaki yang bernama Luqman itu tergelak. "Aku tahu kau teruja jumpa aku. Tapi jawab la salam tu dulu."

Spontan tangan Maya naik menggaru kening. "Waalaikumussalam. Kau buat apa dekat sini Luq?"

"Aku baru balik sekolah la. Singgah bandar jap nak beli barang. Lepas tu aku nampak kau."

Kening Maya sedikit berkerut. "Balik sekolah? Kau mengajar dekat sini ke?"

Luqman sambung gelak. "Dah sebulan aku pindah balik ke sini, kau je yang tak tahu."

Belum sempat Maya membalas, kedengaran Kak Dilla berdehem.

"Erm, akak balik dululah ya." Beg disangkutkan ke bahu sambil Kak Dilla bangun dari duduk.

"Eh sekejap kak. Ini kek untuk anak Kak Dilla." Sepotong kek diletakkan di dalam bekas lutsinar sebelum dihulurkan kepada Kak Dilla.

"Eh tak payah la Maya, buat rugi kamu saja. Kamu kan berniaga."

"Takpe akak, tak rugi apapun."

"Ish budak ni, ini yang aku malas nak singgah. Ada saja yang dia nak bagi. Terima kasih Maya, nanti akak suruh budak-budak tu promo kek kamu dekat sekolah. Mana tahu dapat tempahan nanti."

Tersengih Maya mendengar kata-kata Kak Dilla. "Terima kasih kak."

"Dia pula yang terima kasihkan kita." Sempat Kak Dilla menggeleng. "Terima kasih Maya, semoga murah rezeki kamu." Usai berkata Kak Dilla terus meminta diri untuk pulang. Sempat dia melirik ke arah Maya dan Luqman yang saling tersenyum.

Sebaik sahaja Kak Dilla berlalu, Maya kembali fokus kepada Luqman yang masih tercegat di hadapannya dengan kedua belah tangan berada di dalam poket. Lengan kemeja lelaki itu juga telah dilipat sehingga ke paras siku.

"Apa cerita ni, tiba-tiba pindah dekat sini."

"Tak ada tiba-tiba pun, aku memang dah lama mohon untuk pindah ke sini. Alhamdulillah tahun ini dapat aku pulang berbakti kepada anak-anak kampung aku." Jawab Luqman dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

"Uish ayat cikgu, tak mahu kalah."

Luqman sambung gelak dengan matanya memandang kek serta pavlova yang masih berbaki di atas meja jualan Maya.

"Kau buat semua ni?"

Maya angguk.

"Tak tahu pula yang kau pandai buat kek."

"Come on la Luq, dah berapa tahun kita tak jumpa jadi tak perlu nak terkejut sangat dengan kebolehan aku yang tiba-tiba ni."

Luqman terus ketawa. Maya memang tak pernah berubah. Sejak dulu sentiasa kelakar bila berkata-kata.

"Dah bertahun tak jumpa tapi kau masih ingat aku ya?"

"Kau pun masih ingat aku, jadi tak ada yang peliknya Luqman. Nah, kek pandan gula melaka untuk kau." Sepotong kek yang telah dibungkus cantik dihulurkan kepada Luqman.

Pantas Luqman menarik keluar dompet dari poket seluar.

"Eh tak payah. Aku bagi je sebagai tanda pertemuan semula dengan kau."

Huluran Maya disambut dengan senyuman yang melebar di bibir. "Terima kasih Maya."

"Sama-sama Luqman."

Sejenak mereka saling berpandangan dengan senyuman yang terus melebar di bibir. Tanda gembira dengan pertemuan semula ini.


p/s: Jangan lupa vote! Cukup 20 vote kita up next part. Thank you in advance! 

PUNGGUK RINDUKAN BULANWhere stories live. Discover now