Part 6

97 11 0
                                    

Uzair berdiri di beranda rumah keluarga Luqman. Memandang langit malam yang dihiasi sinaran bulan. Kenapa bulan di kampung kelihatan lebih indah berbanding di bandar sedangkan walau di mana saja mereka berada, mereka tetap melihat bulan yang sama?

Nafas ditarik dalam. Menikmati kesegaran udara kampung yang pernah menjadi persinggahan mereka sekeluarga suatu ketika dahulu. Kerana arwah ayahnya ditugaskan di daerah inilah dia dapat bersekolah di sekolah yang sama dengan Maya dan Luqman. Dari tingkatan 1 sehingga tamat SPM. Selepas itu arwah ayahnya ditukarkan ke ibu kota dan mereka terus membina kehidupan di sana sehingga ke hari ini. Kampung ini tidak lagi dijejaki sejak dari hari itu.

"Nescafe panas untuk kau."

Sedang Uzair ralit melayan perasaan, muncul Luqman bersama dua biji muk di tangan. Satu untuk dia dan satu lagi dihulurkan kepada Uzair.

"Dah banyak ya yang berubah tentang kampung ni." Nescafe di dalam muk dicicip perlahan.

Tersenyum Luqman mendengar komen Uzair. "Kau tinggalkan kampung ni dah berbelas tahun Uzair. Haruslah semua pun berubah."

Uzair angguk setuju sebelum kembali melemparkan pandangan ke dada langit. "Agaknya kalau aku tak pindah, mungkin aku dah kahwin dengan Maya."

Luqman diam memandang permukaan muk yang kelihatan tenang tidak seperti hatinya tika ini. Hati bagai dikocak dengan rasa kecewa yang tidak berpenghujung.

"Aku ingatkan kisah kau dengan Maya dulu tu hanya sekadar cinta monyet. Lagipun kau dengan dia tak pernah mengaku cinta. Kan?"

Uzair berpaling dengan sebelah tangan memeluk pinggang dan sebelah lagi memegang kemas muk yang masih banyak isinya.

"Cinta itu unik Luq. Kita tetap dapat merasa kehadiran cinta walaupun tanpa perlu diucap. Itulah yang aku dan Maya rasakan. The vibe... Hanya Dia yang tahu apa yang ada di dalam hati aku, Maya, kau dan semua umat manusia di atas muka bumi ini."

Dada Luqman sedikit berdebar bila namanya turut dipetik oleh Uzair. Ya, hanya Tuhan yang tahu apa yang ada di dalam hatinya tika ini.

"Tapi kenapa baru sekarang kau cari Maya, Uzair? Kenapa setelah berbelas tahun. Kenapa bukan dari dulu jika benar kau cintakan dia."

Walaupun Luqman bertanya di dalam nada yang tenang, namun tetap terbias rasa tidak kepuasan hatinya dengan kemunculan Uzair yang secara tiba-tiba ini.

Uzair menarik nafas dalam. "Aku fokus untuk stabilkan hidup aku Luq. Aku sambung belajar sampai ke tahap yang aku mampu dan kemudian cari kerja yang bagus-bagus. Itu janji aku kepada umi dan arwah ayah aku. Sekarang kehidupan aku sudah stabil dan kerana itu aku kembali untuk mencari cinta aku yang dulu."

Jeda.

"Balik dari Jepun, aku buka FB dan nampak posting kau tentang gerai kek Maya dan juga Hari Keusahawanan di sekolah lama kita. Dari situ aku tahu yang Maya ada di sini."

"Aku ingatkan kau dah tak ada dekat FB tu."

"Aku memang tak aktif pun. Buka bila ada masa terluang sahaja untuk melihat perkembangan rakan-rakan lama. Hari itu, Tuhan gerakkan hati aku untuk buka FB agaknya. Terus keluar posting kau."

Takdir setiap daripada kita adalah ketentuan Ilahi. Kenapa begitu dan kenapa begini, hanya Tuhan yang ada jawapannya. Siapalah dia untuk menafikan segala yang berlaku di antara Uzair dan Maya.

"Aku tak nak buang masa lagi Luq. Sudah banyak masa yang terbuang di antara kami dan kali ini aku tidak akan lepaskan Maya pergi lagi."

Pengakuan Uzair memusnahkan segala harapan Luqman. Meruntuhkan segala angan-angan. Jika ini ditakdirkan untuknya, dia reda.

PUNGGUK RINDUKAN BULANWhere stories live. Discover now