Maya duduk termenung memandang kereta yang lalu lalang di hadapan gerainya. Jam telah menghampiri pukul empat petang, tetapi masih ada kek yang berbaki. Jualan hari ini agak perlahan berbanding hari sebelumnya.
Tetapi bukan itu yang merisaukan Maya. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya sejak beberapa hari yang lalu. Ternyata hati dan fikirannya masih belum mampu untuk melupakan kenangan yang dulu. Yang membuatkan dia memilih untuk hidup sendiri sehingga ke hari ini.
"Ish! Tak payah la ingat dia. Entah-entah dia dah kahwin dah ada anak dah pun." Kepala diketuk perlahan seperti ingin mengembalikan kewarasan akal fikiran.
Sedang Maya sibuk berperang dengan perasaan sendiri, hadir seseorang yang langsung tidak dia sangka. Berdiri tegak di hadapan gerainya dengan wajah yang tenang memandang ke arahnya.
"Maya."
Hampir Maya tidak kenal jika lelaki itu tidak bersuara. Spontan Maya bangun dan terus merenung lelaki di hadapannya itu. Wajah yang dulunya bersih kini dihiasi dengan jambang nipis dan kemas. Rambut yang dulunya selalu tidak terurus juga kemas disikat tepi. Badan yang dulunya kurus kering kelihatan tegap seperti orang pergi gim. Pakaian yang dulunya serabai, kemas terletak pada badannya yang tegap.
"Uzair."
"Finally Maya."
Bibir Maya bergerak ingin menuturkan kata tetapi tiada satupun yang terluah. Masih terkejut dengan kemunculan Uzair di situ.
"Dah lama aku cari kau. Akhirnya jumpa juga kau dekat sini." Mata Uzair terus terpaku pada wajah gadis di hadapannya itu. Gadis yang tidak pernah luput dari ingatannya sejak dulu.
"Ke... Kenapa kau cari aku?"
"Kau tahu kenapa."
Maya tunduk memandang meja. Adakah Uzair menyimpan rasa yang sama?
***
Selesai mengemas barang di dalam beg sandang, Luqman terburu-buru keluar dari bilik guru kerana mengejar waktu. Ada urusan dengan pihak bank yang perlu dia selesaikan di bandar. Ketika Luqman menuruni anak tangga, dia dikejar dari belakang oleh Hayati.
"Luq, sekejap!"
Lantas Luqman berpaling ke belakang ketika kakinya mencecah anak tangga paling bawah.
"Hayati?"
Hayati tersenyum sambil menarik nafas dalam. Mencari nafas yang hilang sewaktu mengejar Luqman seketika tadi.
"Luq dah nak balik ke?"
"Saya nak ke bandar sekejap, ada urusan dekat bank. Kenapa?" Beg sandang yang hampir melurut di bahu diperkemaskan.
Hayati bergerak mendekat. "Rumah kita kan sehala. Boleh tak kalau saya nak tumpang awak? Kereta saya rosak."
"Oh." Luqman diam sejenak. "Boleh. Tapi lambat sikitlah sampainya, sebab nak ke bank dulu."
"Takpe Luq. Dah alang-alang ke bandar, boleh saya beli barang sikit sambil tunggu awak nanti."
Luqman angguk. "Kalau dah macam tu, marilah kita."
Beriringan Luqman dan Hayati menuju ke arah kereta Luqman yang diparkir di bawah garaj.
"Pagi tadi datang naik apa?" Soal Luqman ketika mereka sudahpun berada di dalam keretanya.
"Adik yang hantar sebelum dia ke tempat kerja. Saya minta maaf tau kalau dah susahkan awak."
Luqman senyum. "Tak ada yang susahpun." Perlahan-lahan kereta dipandu keluar dari kawasan sekolah.
"Terima kasih Luq."
"Sama-sama Hayati."
***
Uzair diam melihat Maya yang sedang melayan pelanggan. Belum sempat dia meneruskan bicaranya dengan Maya, beberapa orang pelanggan singgah di gerai gadis itu. Lalu Maya meminta dia menunggu di belakang sementara gadis itu melayan pelanggannya.
"Sejak bila kau berniaga dekat sini?" Soal Uzair setelah Maya selesai dengan urusannya.
Maya diam sejenak sebelum berpaling dan tersenyum ke arah Uzair. Kerusi yang ada diberikan kepada lelaki itu sementara dia bersandar pada meja jualannya.
"Sejak beberapa bulan yang lalu selepas ayah aku meninggal." Terbit senyuman tawar di bibir bila menyebut tentang arwah ayahnya.
"Ayah kau meninggal?" Jelas kelihatan kerutan pada wajah Uzair. Mungkin tidak menyangka bahawa gadis di hadapannya ini telah kehilangan orang yang tersayang.
"Mak dan ayah aku dua-dua dah meninggal." Maya berpaling dan menyusun bekas yang telah kosong.
"Dulu aku kerja dekat KL. Selepas beberapa tahun mak aku meninggal, ayah aku pula sakit. Aku resign dan balik sini jaga ayah aku."
Terdiam Uzair mendengar cerita Maya. Tidak dia sangka begitu perjalanan hidup bekas rakan sekelasnya itu.
"Kau? Macam mana dengan life kau sekarang?" Maya berpaling dengan wajah yang kembali ceria. Cerita sedih disimpan kemas di dalam dada.
Uzair berdehem sebelum memulakan bicara. "Aku baru balik dari Jepun. Company hantar aku ke sana dua tahun."
Terangkat kening Maya bila mendengar jawapan Uzair. "Wow, kerja hebat ya sekarang." Sempat dia mengusik.
Wajah Uzair tetap beku, sedikit pun tidak hiraukan usikan Maya.
"Kau masih ingat aku Maya?"
Maya diam sebelum melepaskan tawa halus. "Apa yang kau tanya ni? Mestilah aku ingat, kan aku tengah cakap dengan kau ni Uzair."
"Kau masih ingat kenangan lama kita?"
Tawa Maya terus mati. Riak wajahnya juga turut berubah. Terasa seperti hilang darah di wajahnya dihisap oleh pontianak.
"Kau masih ingat malam yang aku marah kau? Aku cakap kau gedik?" Uzair terus mengasak dengan soalan dan soalannya itu membuatkan Maya hampir rebah.
Kalaulah Uzair tahu kenangan itu jugalah yang mengganggu fikirannya sejak kebelakangan ini...
"Kau masih ingat apa yang jadi selepas itu, sebelum kita balik?"
Ingatan Maya ligat berputar mengimbas kembali kenangan lamanya bersama Uzair. Setiap malam setelah tamat kelas mereka akan berkumpul di astaka sementara menanti orang tua mereka datang menjemput. Uzair yang sedang menunggang motosikal bersama rakan sekelasnya tiba-tiba datang mendekat dan menarik lengan sweater Maya.
"Aku suka sweater kau Maya."
Terkebil-kebil mata Maya merenung wajah Uzair bila lelaki itu mengulang kembali kata-katanya berbelas tahun dahulu.
"Tapi aku lebih suka kau."
Tangan Maya memegang kemas hujung meja. Menahan diri yang terasa lembik dan hampir rebah di situ.
"Dan rasa suka itu aku simpan sehingga ke hari ini. Aku masih sukakan kau Maya dan aku..."
Dup dap dup dap... jantung Maya mula berdegup laju.
"Cintakan kau sepenuh hati aku."