BAB 23

26 0 0
                                    

Majlis perkahwinan antara Megat Seri Rama dan Adlina diadakan dengan begitu meriah sekali. Bukan kepalang besar kenduri yang dibuat. Bukan saja kampung mereka yang meraikannya, malah penduduk kampung yang lain turut datang memeriahkan suasana serta mengucapkan tahniah kepada pengantin serta ahli keluarga. Almaklumlah pernikahan tersebut merupakan pernikahan seorang laksamana yang terkenal di Kota Tinggi, jadi tidak hairanlah jika ramai jemputan yang datang.

Adlina kelihatan begitu cantik dan berseri-seri dengan mengenakan busana songket kurung Johor Riau berwarna merah gelap. Wajahnya ditata rias oleh mak andam. Walaupun hanya dengan sedikit solekan, tetap dapat menaikkan seri di wajahnya. Megat Seri Rama turut kelihatan segak dan kacak dengan busana songketnya. Bertanjak dan berkeris di pinggang. Sepadan dengan warna baju Adlina. Ramai yang memuji kedua-kedua pengantin sama cantik dan sama padan. Seperti pinang dibelah dua!

Majlis kenduri mereka diadakan dari pagi hingga ke malam. Tidak putus-putus tetamu yang datang ke rumah Pak Mahad. Mujurlah seminggu sebelum kenduri diadakan, Pak Mahad sudah membetulkan rumahnya. Jika tidak pasti tidak mampu menampung tetamu yang datang berduyun-duyun. Para pembesar istana juga ramai yang hadir di majlis perkahwinan tersebut. Sultan Mahmud Syah tidak dapat turut serta menghadirkan dirinya yang kerana kurang sihat. Namun begitu baginda tetap mengirimkan beberapa hadiah dan wang emas buat laksamana kesayangannya itu.

Dari jauh Adlina memerhati Megati Seri Rama yang sedang bersembang melayan tetamu yang hadir. Sesekali lelaki itu bergelak ketawa. Adlina sekadar duduk di depan pintu sambil memerhati orang ramai di sekelilingnya. Sudah habis seluruh tenaga serta kudratnya pada hari itu melayan para tetamu. Sepanjang hidupnya tidak pernah dia merasakan penat yang sebegini rupa. 'Betullah orang cakap majlis kahwin ni memenatkan.' Keluhnya di dalam hati. Tiba-tiba dirinya tersentak. 'Kahwin? Ibuuu. Akak dah kahwin bu. Tapi ibu tak ada di hari bahagia akak.' Gumam hati Adlina. Sedih rasa hati apabila mengenangkan Puan Kamisah yang jauh dimata. Sihat-sihat sajakah dia?

"Anum. Kenapa kau duduk di depan pintu ini?" tegur Melati dari arah belakang. Adlina cepat-cepat menyeka air mata yang bergenang.

"Ohh tak ada apa. Aku cuma penat je. Yelah dari pagi melayan tetamu. Sampai tak rasa dah kaki nie." jawabnya sambil memicit kakinya yang terasa begitu lenguh sekali.

"Itulah kan. Aku tak sangka betul begitu ramai tetamu yang hadir. Majlis perkahwinan Melur anak ketua kampung tempoh hari pun tidak sebegini ramai tetamunya."

"Biasalah Megat tu kan laksamana dekat Kota Tinggi ni. Mestilah ramai yang kenal dia. Jadi tak hairanlah kalau tetamu yang datang pon ramai jugak."

"Amboii menangkan suami dia nampak." usik Melati.

"Eh eh kau ni. Aku cakap benda betul je." bidas Adlina kembali. Melati sekadar ketawa riang. Suka dia mengusik Adlina jika berkenaan soal Megat Seri Rama. Masakan tidak, kalau dulu beria-ria Adlina mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang hubungan atau perasaan terhadap lelaki itu. Nahhh sekarang sudah menjadi isteri kepada laksamana yang terkenal di Kota Tinggi!

"Masih ku ingat dulu Anum kau katakan yang kau tidak ada apa-apa hubungan dengan Datuk laksamana. Puas aku cuba mengorek rahsia dari kau, kau tetap menidakkan. Tau-tau saja kau dan Datuk laksamana itu sudah berakad nikah tadi pagi!" usik Melati lagi sambil melagakan sedikit bahunya ke bahu Adlina.

"Sudah jodoh aku dengan dia. Nak buat macam mana." balas Adlina selamba. Malas mahu melayan Melati berlebihan. Nanti ada saja yang mahu dikatakannya.

"Iyelah orang sudah bertemu jodoh. Kita belum lagi."

"Melati apa kata kau kahwin dengan kawan Megat tu. Yang putih-putih tinggi tu. Handsome. Apa namanya? Haa Tun Aman!" tiba-tiba Adlina memberikan cadangan.

"Anum apa kau pikir perkara kahwin itu semudah itukah? "Mari tuan hamba kita berkahwin." Macam tu?" tempelak Melati dengan nada suara yang geram.

"Alahhh aku dengan Megat macam tu lah. Tiba-tiba dia ajak aku kahwin. Haa kami tak bercinta pon." ujar Adlina lagi.

"Kau dengan Datuk laksamana itu lain. Dia sudah ada perasaan terhadap kau. Sudah jatuh cinta. Aku dengan Tun Aman tu, bercakap berdua pun tidak pernah kau tau."

"Alahhh hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih." sengaja Adlina menambahkan geram di hati Melati.

"Ehh sudahlah kau. Aku hendak turun ke tanah. Banyak lagi periuk belanga yang belum dicuci tau." beritahu Melati sambil bergegas turun ke bawah rumah. Adlina sekadar ketawa kecil. 'Yaa banyak lagi belum settle ni tapi badan aku dah tak mampu dah.' gumamnya sendirian.

Adlina melihat Megat Seri Rama yang menghantar pulang para tetamu di pagar rumah. Kelihatan laman rumah juga sudah mulai kosong. Para tetamu sudah mula beransur pulang meninggalkan majlis. Selesai menghantar tetamu, datuk laksamana itu berjalan ke arah Adlina yang masih lagi sedang duduk di depan pintu rumah.

Jantung Adlina berdegup kencang melihat Megat Seri Rama yang masih lagi lengkap berpakaian songket berjalan menuju ke arahnya. Walaupun wajahnya nampak sedikit penat, namun masih tetap melemparkan senyuman manis buat Adlina. 'Handsomenya lah.' hati Adlina berbisik. Tanpa sedar dia turut membalas senyuman lelaki itu.

"Adinda." ujar Megat Seri Rama lembut. Merona merah wajah Adlina mendengarkan sepatah perkataan tersebut. Semakin laju degupan jantungnya. Seakan mau tercabut! 'Adinda? Kyaaaa!!'

"Aaaa ya ya. Ada apa?" soal Adlina sedikit gugup. Dia mengelap peluh renek yang singgah di dahi.

"Mari kita ke kamar. Ada hal yang ingin kanda katakan."

"Ka ka kamar?" hati Adlina semakin kaget. Perkataan kamar dan kanda benar-benar membuat dirinya jadi tidak tentu arah.

"Iya ke kamar kita. Mari." ujar Megat Seri Rama sekali lagi sambil tangannya dihulur kepada Adlina. Dengan teragak-agak Adlina menghulurkan tangannya. Itulah pertama kali dia memegang tangan Megat Seri Rama. Sepanjang majlis kendurinya siang tadi, tidak sekalipun mereka berpegangan tangan.

Sambil memimpin tangan Adlina, Megat Seri Rama berjalan menuju ke bilik pengantin mereka. Bilik tersebut turut dihias dengan indah. Walaupun biliknya tidaklah begitu besar, namun masih kelihatan nyaman untuk kedua mempelai itu beristirehat. Megat Seri Rama menarik tangan Adlina dan menyuruhnya duduk di katil mereka lalu dia pergi menutup pintu.

Adlina memegang dadanya yang sedari tadi terasa seperti ingin pecah. 'Rileks Adlina. Kau dah kahwin dengan dia. Apa yang nak ditakutkan sangat?' hatinya berbisik cuba menenangkan rasa kecamuk di jiwa. Perlahan-lahan Megat Seri Rama berjalan ke arah isterinya yang sedang duduk di atas katil.

"Ermmm.. apa yang kau nak cakapkan Megat? Hal mustahak ke?" soal Adlina sebaik sahaja lelaki itu duduk di sebelahnya. Namun Megat Seri Rama tidak membalas pertanyaan itu. Dia sekadar tersenyum lembut sambil menatap dalam mata isterinya.

Air liur yang ditelan terasa bagaikan kaca menghiris. Peluh di dahi terasa begitu dingin bak embun di waktu pagi. Semakin lama duduk di bilik itu semakin kacau jiwa dan sanubarinya. 'Ibuuuu! Tolong kakakkk!' 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 05 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

AKAN KU MENURUT MUWhere stories live. Discover now