BAB 5

94 5 0
                                    

Suasana di atas kapal itu begitu senyap sunyi. Hanya kedengaran deruan air laut mengisi kesunyian malam. Anak-anak kapal semuanya sedang tidur setelah siap makan malam. Hanya ada beberapa orang pengawal saja yang sedang berjaga di bahagian atas kapal. Bimbang jika kapal mereka diserang lanun. Kebelakangan ini banyak benar serangan lanun berlaku di perairan laut Johor sehinggakan para nelayan berasa takut untuk turun ke laut menangkap ikan. Habis kampung-kampung dibakar oleh mereka. Anak-anak dara diculik untuk dijual ke tanah seberang.

Disebabkan serangan lanun yang bermaharajalela itulah Megat Seri Rama dan beberapa orang kawannya yang lain telah dihantar oleh Sultan Mahmud Syah II untuk membanteras kegiatan tidak berperikemanusiaan itu. Sudah merata tempat Megat Seri Rama singgah untuk membunuh lanun serta menyelamatkan penduduk kampung yang masih hidup. Kawasan laut perairan Mersing adalah kawasan yang terakhir sekali disinggah olehnya. Tidak diduga begitu teruk serangan lanun berlaku di kampung itu sehingga tiada barang satu nyawa pun yang masih hidup. Yang tinggal hanyalah Melati serta Dang Anum sahaja. Mujur mereka masih punya saudara yang tinggal di Kota Tinggi. Jika tidak hidup melaratlah mereka berdua.

Dang Anum masih tidak sedarkan diri. Sudah seharian dia terbaring lesu di tempat pembaringan. Melati sangat merisaukan keadaan temannya itu. Namun setelah ditenangkan oleh Megat Seri Rama dia berasa sedikit lega. Mungkin Dang Anum mengalami kejutan setelah apa yang berlaku. Sedikit sebanyak pasti fikirannya terganggu dengan serangan lanun tersebut.

Sudahlah rumah habis dibakar. Ibu bapanya pula dibunuh dengan kejam. Dengan keadaan badannya yang lemah serta tidak makan pasti mudah untuk Dang Anum jatuh sakit. 'Kasihan Anum.' bisik hati Melati perlahan. Dia mengelap-ngelap tubuh Dang Anum yang kotor menggunakan kain basah dengan harapan temannya itu akan cepat sedar.

Megat Seri Rama yang sekadar memerhati mereka berdua dari pintu bilik akhirnya bersuara.

"Bagaimana keadaan Anum, Melati? Adakah sudah semakin pulih?" soal Megat Seri Rama kepada Melati. Melati yang terkejut dengan pertanyaan itu segera bangun dan berpaling pada Megat Seri Rama.

"Datuk, maaf hamba tidak sedar akan kehadiran Datuk di sini." ujar Melati sambil tertunduk. Dia kemudiannya menjawab,

"Demamnya sudah mulai kebah Datuk. Nafasnya juga semakin baik. Cuma kadang-kadang dia ada meracau sedikit." jawab Melati perlahan memberitahu keadaan Dang Anum.

"Baguslah jika keadaannya sudah semakin pulih. Hamba berharap Dang Anum akan cepat sedar."

"Ya, hamba berharap begitu juga." Melati kemudian mengalihkan pandangannya pada Dang Anum. Sayu dirasakan apa yang terjadi pada mereka berdua. Sekelip mata saja kampung mereka hilang. Saudara mara habis dibunuh oleh si lanun celaka.

Megat Seri Rama yang tadinya hanya berdiri di luar pintu mula masuk ke dalam bilik kemudian duduk di atas kerusi yang berada di dalam bilik itu.

"Melati jika kau tidak keberatan, bolehkah kau bercerita kepada ku bagaimana kampung mu boleh diserang oleh lanun?" soal Megat Seri Rama.

Dia ingin tahu setiap inci yang berlaku agar mudah untuk dia menjejaki lanun-lanun yang masih bebas berkeliaran di perairan laut Johor. Bila-bila masa saja mereka pasti akan membuat serangan lagi. Jika dia tidak meyiasat, mana mungkin dia dapat menangkap lanun-lanun itu. Melati menghela nafas panjang. Terlalu sedih untuk mengingati kejadian tragis itu.

"Kejadian itu berlaku pada waktu malam Datuk. Pada waktu semua insan sedang beradu, ketika itulah lanun-lanun datang menyerang." beritahunya perlahan.

"Dua tiga hari sebelum kejadian, orang ramai mula bercerita akan kampung-kampung lain yang telah diserang lanun. Hinggakan nelayan-nelayan berasa takut untuk turun ke laut. Anak-anak dara semuanya dikurung di dalam rumah. Pintu rumah juga dikunci rapat. Namun apakan daya, lanun-lanun itu lebih licik daripada kami. Habis pintu rumah ditendang dan dirobohkan. Orang laki-laki semuanya dibunuh dengan kejam. Anak-anak dara pula diculik untuk dijual ke tanah seberang. Siapa yang melawan akan dirogol dan dibunuh. Oleh itu, tinggallah hamba dan Dang Anum sahaja yang masih hidup." lirih suara Melati menceritakan apa yang berlaku.

AKAN KU MENURUT MUWhere stories live. Discover now