Suasana di balairong seri istana pada pagi itu menjadi sedikit tegang apabila ada beberapa orang pembesar yang menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap tindakan cukai yang baru saja diberitahu oleh Datuk Bendahara. Mereka tidak berpuas hati kerana cukai yang bakal dikenakan kepada para pedagang nanti terlalu tinggi.
Mereka risau sekiranya para pedagang tidak mahu membayarnya dan lebih teruk lagi jika mereka langsung tidak mahu berlabuh di pelabuhan Kota Tinggi itu lagi. Dan pada pengakhirannya pasti mereka yang akan dipersalahkan kerana tidak dapat mengutip duit cukai yang cukup untuk diberikan kepada negeri.
"Kami membantah sekeras-kerasnya akan jumlah cukai yang baru ini. Jumlah ini pasti akan membebankan para pedagang untuk berdagang di negeri kita. Tuanku perlu mempertimbangkan kembali usul ini agar ianya tidak terlalu membebankan para pedagang. Ampun tuanku beribu ampun." sembah Datuk Paduka Diraja.
Pembesar yang lain turut menganggukkan kepala mereka tanda mengiyakan apa yang dikatakan oleh Datuk Paduka Diraja itu. Megat Seri Rama sekadar memerhati. Tidak berani untuk ikut campur tangan berkaitan dengan hal yang bukan dibawah kelolaannya.
Dalam kedaan yang tegang dan serius itu, tiba-tiba Tun Bija Ali bersuara.
"Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik berasa keputusan tuanku untuk menaikkan harga cukai di pelabuhan itu adalah keputusan yang tepat memandangkan pada ketika ini padi di negeri kita sedang dilanda wabak penyakit. Maka banyak padi yang tidak menjadi dan seharusnya padi-padi tersebut tidak boleh dijual di negeri lain. Oleh itu, dengan kenaikkan cukai yang baru ini hamba pasti ianya dapat membantu perbendaharaan di negeri kita. Ampun tuanku." ujar Tun Bija Ali. Cuba menyebelahi Sultan Mahmud II.
Tun Aman yang sedang duduk bersila di sebelah Megat Seri Rama menyiku lembut temannya itu.
"Tuan hamba nampak tak tu? Si pengampu." bisik Tun Aman perlahan. Megat Seri Rama menepuk lutut Tun Aman sambil menggelengkan kepalanya. Tidak mahu temannya itu berkata yang bukan-bukan terhadap Tun Bija Ali walaupun dia tahu akan sifat pembesar Kota Tinggi itu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ketika ini negeri Johor sedang menghadapi masalah wabak penyakit padi. Habis padi-padi di negeri itu menjadi buruk bahkan langsung tidak hidup. Usahkan mahu menjual malah untuk dibuat makan sendiri pun tidak cukup.
Terpaksalah rakyat bergantung kepada sumber makanan yang lain seperti ubi kayu, hasil tangkapan nelayan dan daging. Namun begitu, nasi tetaplah menjadi makanan ruji yang penting.
Mendengarkan pandangan yang positif dan negatif dari para pembesarnya, Sultan Mahmud mula bersuara.
"Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh Datuk Paduka Diraja itu. Dan ada juga benarnya apa yang dikatakan oleh Tun Bija Ali. Jika begitu beta memutuskan untuk tidak menaikkan harga cukai pada waktu ini, namun sekiranya masalah wabak penyakit padi masih saja berlaku di purnama yang berikutnya.. beta terpaksa menaikkan harga cukai di pelabuhan. Namun begitu beta akan menanyakan dahulu pendapat para pembesar sekalian akan jumlah kenaikan yang sepatutnya." Dengan tenang Sultan Mahmud menyatakan keputusannya.
Mendengarkan keputusan yang bijaksana dari sultan muda itu, para pembesar kelihatan berasa lega kerana Sultan Mahmud sanggup untuk mendengar dan mengambil kira akan pandangan mereka.
"Terima kasih tuanku. Ampuan tuanku beribu-ribu ampun. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada tuanku untuk terus mentadbir negeri Johor ini." ujar Datuk Paduka Diraja. Pastinya beliau berasa gembira dengan keputusan dari Sultan Mahmud itu.
"Ya beta juga berharap begitu. Dan beta juga berharap agar Datuk-datuk semua mampu untuk memegang amanah dan sama-sama membantu beta mentadbir negeri ini."
YOU ARE READING
AKAN KU MENURUT MU
Fiction HistoriqueIni kisah tentang sebuah pengembaraan masa. Cerita tentang cinta 2 kekasih yang berlainan zaman. Tetapi tetap utuh sehingga mampu menggoncangkan sejarah. Ramai yang mengetahui tentang cerita terkenal seorang sultan yang membelah perut seorang wanita...