BAB 16

52 4 2
                                    

Adlina masih lagi tercengang mendengarkan apa yang baru didengarinya tadi dari mulut Megat Seri Rama. Ya, Megat Seri Rama. Seorang panglima yang digeruni oleh ramai orang di negeri Johor ini mengajak dirinya seorang gadis biasa yang datang dari tahun 2019 untuk berkahwin.

'Gila! Ni semua kerja gila!' hati Adlina menjerit. 'Apa aku nak jawab ni?!'

"Ah.. aha ahahahahahahaha. Pandai kau buat lawak Megat. Boleh masuk Raja Lawak ni. Ahahahahaha." Adlina ketawa sambil tangannya bertepuk perlahan. Namun ketawanya itu kedengaran begitu kekok sekali.

"Dang Anum.. hamba tidak bercanda. Hamba katakan yang benar." 

Megat Seri Rama cuba mendekati Adlina dengan lebih rapat. Betul-betul duduk bersebelahan dengan dirinya.

"Jangan datang dekat! Du..du..duduk je dekat situ!" halang Adlina dengan suara yang tersekat-sekat sambil tapak tangannya diangkat ke arah Megat Seri Rama. Lelaki itu tidak jadi untuk mendekati dirinya. Kelihatan Megat Seri Rama juga sedikit terkejut dengan jeritan Adlina itu. 

Dia sekadar diam membisu. Ingin memberikan ruang kepada gadis itu untuk berfikir sejenak. Siapa saja yang tidak terkejut apabila tiba-tiba saja dilamar begitu. Jika dia dan Adlina adalah pasangan kekasih, mungkin saja ianya adalah perkara normal dan ditunggu-tunggu. Namun dia dan Adlina tidak mempunyai sebarang hubungan. Malah tidak pernah pula dia mengajak gadis itu untuk menjadi teman sahabatnya. 'Kerana aku mahukan hubungan yang lebih daripada seorang teman.'

Adlina mengetap bibirnya dengan kuat. Dia cuba menarik nafas panjang. Dadanya terasa seperti mahu pecah.  

"Megat... kau bergurau kan?" lemah Adlina bertanya. Buat seketika waktu, kedua-duanya terdiam sepi.

"Tidak. Hamba tidak bergurau. Hamba berkata yang benar." beritahu Megat Seri Rama sekali lagi.

"Dang Anum.. sudikah tuan hamba menjadi isteri hamba?" sekali lagi lelaki itu menyatakan hasrat hatinya. Kali ini kedengaran dengan begitu serius sekali. 

Dan sekali lagi Adlina tergamam. Dia mula menggaru kepalanya yang tidak gatal disebalik kain kerudung itu. Adlina mengeluh.

"Tak, Megat kau serius ke ni? Tak, bukan maksud aku betul-betul? Kau betul-betul nak kahwin dengan aku?"

"Ya, benar. Hamba betul-betul mahu berkahwin dengan tuan hamba."

"Tapi kenapa aku? Kenapa kau tak pilih orang lain?" Adlina bertanya lagi dan kali ini giliran Megat Seri Rama pula yang terdiam. Perlukah dia berterus terang?

"Kerana sejak daripada kita berbual pada malam itu, di atas kapal.. wajah tuan hamba sering bermain-main difikiran hamba. Hamba fikir mungkin fikiran hamba sahaja. Namun apabila hati hamba juga merasai perkara yang sama, hamba yakin ianya bukan sekadar fikiran kosong." penuh lembut dan tersusun rapi setiap patah kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Pandangannya juga lembut memandang Adlina di hadapan.

Adlina terpempan. Lelaki ini benar-benar menguji hatinya!

"Maksud kau... kau suka kat aku?" Adlina menyoal. 'Satu.. dua.. ti..'

Megat Seri Rama mengangguk. "Ya, hamba sukakan tuan hamba. Kerana itu juga hamba tidak mahu berlengah lagi." jawab lelaki itu dengan tenang.

'Tak sampai tiga saat dia dah jawab. Siap dengan explanation lagi.' bisik hati Adlina. Namun jauh di sudut hati, dia sebenarnya berasa gembira dengan pengakuan dari lelaki itu. Masakan dia tidak gembira, lelaki yang sering saja membuat jantungnya berdetak laju sebenarnya sukakan dirinya. 'Gatal kau Adlina!'

Adlina mengeluh perlahan. Kepalanya tertunduk ke bawah melihat kaki yang terjuntai ke tasik. Lama dia duduk dalam keadaan begitu sehingga dia dapat melihat dengan jelas pantulan wajahnya di permukaan tasik.

"Tetapi jika tuan hamba tidak sudi, ham.."

"Tak!" jerit Adlina kuat sambil melihat dalam-dalam wajah Megat Seri Rama. Lelaki itu kaget.

"Bukan aku tak sudi! Tapi...."

"Tapi?"

'Tapi aku bukan Dang Anum yang sebenar Megat. Aku Adlina!' jeritnya di dalam hati. 'Macam mana aku nak kahwin dengan kau kalau badan ni pun bukan badan aku?'

Dirinya ingin saja memberitahu Megat Seri Rama akan perkara yang sebenar. Tidak, bukan saja lelaki itu malah dia mahu memberitahu kepada seluruh dunia tentang siapa dia yang sebenarnya. Berasal dari mana. Namun perkara itu terlalu sulit dan sukar untuk dia jelaskan. 'Sedangkan aku sendiri pun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Macam mana aku nak cerita dekat dia?'

Adlina mengeluh lagi buat sekian kalinya.

"Megat.. kau bagi masa dekat aku dulu boleh? Bagi masa untuk aku fikirkan tentang lamaran kau." pinta Adlina. Megat Seri Rama mengangguk perlahan.

"Ya baiklah. Hamba mengerti. Tuan hamba ambillah sebanyak mana pun masa yang diperlukan, hamba akan sentiasa menanti." kata lelaki itu sambil sedikit tersenyum. 

Dia tidak mahu seakan-akan seperti mendesak gadis itu. Dan dia juga tidak mahu lamarannya itu akan membuatkan hubungannya bersama Adlina menjadi canggung. Sekiranya Adlina menolak lamaran itu, tidak mengapa dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin saja mereka tidak berjodohan.

"Terima kasih Megat."

"Terima kasih? Terima kasih untuk apa?"

'Terima kasih sebab suka dekat aku.' Adlina bermonolog. 'Gila apa nak cakap macam tu?!'

"Ermm.. tak ada apa." ujar Adlina sambil bibirnya tersenyum sumbing. Sengaja dia menyembunyikan senyumannya itu dari dilihat oleh Megat Seri Rama.

"Tuan hamba ini ada-ada saja." ujar lelaki itu sambil sedikit ketawa. Hatinya berasa lega apabila melihat Adlina sudah mampu tersenyum. Tiada lagi raut wajah yang tergamam.

"Anum.. boleh hamba bertanyakan sesuatu?" 

Adlina memalingkan wajahnya ke arah Megat Seri Rama. 

"Boleh. Nak tanya apa?" soalnya kepada lelaki yang sedang duduk disebelahnya itu.

"Cincin kayu tuan hamba itu.. tuan hamba mendapatnya dari mana?" tanya Megat Seri Rama sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah cincin kayu yang tersarung elok di jari manis Adlina.

Adlina sedikit tersentak. Namun cepat saja dia membetulkan raut wajahnya.

"Oh cincin ni. Kata Melati aku membelinya dari seorang saudagar Arab. Kenapa kau tanya?"

"Kata Melati? Maksudmu bagaimana?"

'Alamak! Aku dah silap cakap.' Adlina kaget. Bibirnya dikemam rapat.

"Aaa.. tak. Maksud aku, lepas daripada kejadian di Mersing tu aku jadi kurang ingat dengan kejadian yang lepas-lepas. Jadi aku tanya dekat Melati macam mana aku boleh dapat cincin ni. Melati bagitahu yang aku beli dari seorang saudagar Arab." jelas Adlina dengan panjang lebar. Peluh dingin di dahi dilapnya dengan perlahan.

"Ohh begitu." pendek saja Megat Seri Rama membalasnya.

"Kenapa kau tanya?"

"Aku cuma berasa aneh."

"Aneh?" tanya Adlina dengan dahi yang berkerut.

"Ya aneh. Kerana aku juga mempunyai cincin yang sama." beritahu panglima itu sambil tangannya membawa keluar seutas rantai di lehernya. Di rantai itu terdapat sebentuk cincin persis dengan cincin di jarinya.

'Cincin kayu!' hati Adlina menjerit. Dadanya berombak laju. Kepalanya mula berdenyut kuat.

"Takkanlah..."

-------------------------------------------------------------------------------

Oh my God! Another plot twist?! :O

AKAN KU MENURUT MUWhere stories live. Discover now