Bab 6

172 16 0
                                    

Dari tadi Arsyad tak henti mengeluh. Zarina sudah banyak kali cakap nak berterus terang tentang pertunangan mereka kepada Zafirah. Ya, dia tahu majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung dalam dua bulan lagi. Tapi sekarang bukanlah masa yang sesuai.

Kalau dulu mungkin boleh. Sekarang perkara dah jadi rumit. Lepas dia dapat tahu tentang perasaan Zafirah terhadapnya, mustahil Arsyad dapat berterus terang tanpa sebarang rasa bersalah.

Zarina pula dah tak sabar nak buat kejutan. Nak jaga hati Zafirah pun satu hal yang besar juga.

Aish, serabut!

"Ni lah aku malas ni. Sepatutnya dari awal lagi cakap terus terang. Ni dia nak main sorok pula. Kononnya nak surprise lah apa. Last-last aku juga yang susah," rungut Arsyad sambil meraup wajah kasar.

"Surprise apa tu?"

"Eh, mak kau!" Punyalah ralit dia berfikir, sampai tak sedar Zafirah sudah duduk di hadapan dia.

"Asal kau kat sini?" Soalnya tanpa fikir. Jujurnya dia masih ada sedikit rasa kekok untuk berhadapan dengan gadis itu.

"Eh, dia tanya kita pula. Bukankah kau yang ajak aku jumpa? Rina cakap kau ada hal nak jumpa aku. Dia cakap kau ada surprise."

Zafirah meletakkan beg tangan di atas meja. Wajah Arsyad ditenung lama. Nampak macam ada masalah je. Ni nak bagi kejutan ke nak kongsi masalah?

Punyalah excited dia nak habis kerja tadi. Sampaikan dia sanggup tolak pelawaan Helena untuk singgah makan bersama. Helena nak belanja lagitu!

"Oh ya lupa pula. Eh kejap, Rina cakap macam tu? Aduh..." Arsyad rasa nak hantuk kepala atas meja. Kenapa Zarina? Kenapa sekarang juga kau nak berterus terang?

"Kenapa? Kau ada masalah eh?" Tanya Zafirah dengan nada lembut.

"Eh tak. Er... betul lah tu aku ada surprise untuk kau. Tapi nanti je lah aku cakap."

"Laa, cakap je lah sekarang. Surprise apa ni?" Berkerut dahi Zafirah cuba meneka kejutan Arsyad baginya. Kejutan apa sampai nampak stres macam ni? Nampak macam bukan kejutan baik je?

"Nantilah. Dah namanya surprise kau sabar je lah," Arsyad cuba berlagak tenang. Dia tarik nafas dalam-dalam untuk menghilangkan rasa canggung.

Dia tidak mampu nak berterus terang. Sekurang-kurangnya bukan sekarang. Kalau Zafirah dapat tahu yang sebenarnya Arsyad dengan Zarina sudah lama bertunang, bukankah hubungan mereka jadi semakin renggang? Kes yang dia tolak perasaan Zafirah haritu pun ambil masa sebulan juga baru mereka dapat berbaik.

Sebulan yang cukup lama untuk buat hidupnya tidak tenang. Setiap hari Arsyad dihantui rasa bersalah.

"Ira, kau..." Suaranya termati. Patutkah dia tanya sekarang?

"Apa tu?" Zafirah menjungkit kening. Rasa geram pula bila Arsyad tidak terus menghabiskan katanya.

"Kau... masih marahkan aku ke?" Arsyad bertanya dengan berhati-hati. Liurnya ditelan bila dia sedar muka Zafirah sudah berubah.

Habislah, dia sudah tersalah langkah.

"Kan aku dah cakap yang aku maafkan kau. Yalah, aku pun sedar juga cinta ni tak boleh dipaksa," Zafirah mengeluh.

Hatinya terasa sakit balik bila dia teringat hal yang dulu. Tapi mungkin dia yang tersalah langkah. Sebelum ini mana pernah dia tunjukkan yang dia sukakan Arsyad. Lepastu tiba-tiba confess pula. Mesti Arsyad rasa terkejut. Tak hairanlah dia kena reject.

Tapi selalunya lepas reject orang yang suka kita, mesti kita akan rasa kekok kan? Peliknya Arsyad tetap layan dia dengan baik. Siap belikan ubat dan hantar dia ke hospital lagi. Mungkin bagi orang lain itu semua perkara biasa. Bagi Zafirah, itu adalah satu harapan.

"Kita masih kawan kan?" Soal Arsyad lagi. Dia ingin mendapatkan kepastian dari Zafirah.

Zafirah terdiam. Kedua-dua tangannya mengepal kuat. Kawan? Dia benci bila Arsyad asyik menyebut perkataan itu. Walaupun dia tahu status hubungan mereka tidak lebih dari kawan, dia tetap terasa sakit hati.

Namun dia cuba untuk bertenang. Dia tidak mahu ada konflik di antara mereka lagi. Cukuplah sekali saja.

"Mestilah kawan. Takkanlah kita nak bermusuh pula?" Zafirah tertawa kecil.

Arsyad menghembuskan nafas lega. Syukur hubungan mereka tetap kekal seperti dulu. Entah apa patut dia buat kalau mereka putus kawan sebab hal ini.

"Kenapa tetiba tanya ni? Kau dah tak sayangkan aku eh?" Tiba-tiba Zafirah bertanya. Dulu pernah juga dia bertanya macam ni dengan Arsyad. Bezanya dulu dia cuma bergurau, sekarang dia serius.

Giliran Arsyad pula terdiam. Dia mengalihkan pandangan. Dulu senang je nak jawab. Sekarang lidahnya terasa keras.

"Kau sayangkan aku tak?" Zafirah tersenyum seolah-olah dia sedang bergurau.

"Er... Ahem," Arsyad berdehem. Dia cuba untuk menenangkan dirinya.

"Sayang jugalah. Kau kan kawan baik aku juga," balas Arsyad perlahan.

Berbunga hati Zafirah. Bukankah dari sayang boleh berubah menjadi cinta?

"Jadi aku ada peluang lah kan?"

Arsyad terkedu. Bukan ini jawapan yang dia nak. Dia mengharapkan yang mereka akan kembali bergurau seperti dulu. Bukan macam ni!

Arsyad rasa bersalah. Dia tak sepatutnya balas soalan Zafirah dengan jawapan itu. Tak pasal-pasal bagi orang harapan palsu pula. Aduh, bilalah baru dia boleh berterus terang yang dia sudah lama bertunang dengan Zarina?

"Sorry lambat! Tetiba guru besar buat meeting tadi."

Mereka berdua mendongak kepala saat mendengar suara Zarina. Kedua-dua mereka terlupa yang Zarina pun akan ikut serta hari ini.

"Er... ada apa-apa ke ni?" Zarina pandang mereka dengan hairan. Kenapa dua-dua nampak macam stres saja ni? Penat sangat dengan kerja ke?

"Eh, takde apa. Kami cuma berborak macam biasa." Pantas Arsyad membalas. Dia menarik kerusi di sebelahnya supaya Zarina duduk.

"Okaylah cam tu," Zarina tidak percaya tapi dia hanya membiarkan. Lagipun ada hal yang lagi penting dia nak bincang.

"So, how was the surprise?" Zarina tersengih memandang Zafirah. Dia berharap untuk mendengar ucapan tahniah dari kawan baiknya. Sebaliknya Zafirah hanya berkerut dahi. Keliru.

"Haa... itu yang aku tunggu tu. Surprise apa?" Zafirah pandang Arsyad.

"Ish, awak! Kan dah cakap nak bagi surprise," Zarina merengus geram.

"Rina, saya rasa nanti je lah kita cakap. Sekarang belum boleh," Cepat-cepat Arsyad bisik pada Zarina. Risau dia kalau Zarina cakap pasal pertunangan mereka pula.

Zarina menggelengkan kepala. Tak baik kalau mereka tangguh lagi. Majlis pernikahan mereka tinggal dua bulan lagi. Kalau tangguh lagi mungkin masa hari pernikahan baru Zafirah tahu status hubungan mereka.

Arsyad tarik nafas dalam-dalam. Kalau dia bagi alasan lagi mesti Zarina akan rasa curiga. Itu lagi susah nak settle.

"Apa ni? Surprise apa? Lain semacam je," Zafirah pandang Arsyad yang kelihatan tertekan. Kemudian dia pandang Zarina yang kelihatan teruja.

Surprise apa macam ni?

"Ira, sebenarnya..." Zarina sengaja mematikan ayat. Niat nak bagi sedikit suspen.

"Sebenarnya aku dengan Arsyad dah lama bertunang."

Nafas Zafirah terhenti. Matanya membuntang besar. Huh?

Izinkan Aku BahagiaWhere stories live. Discover now