MANUSIA tidak akan tersandung dalam kegelapan jika berjalan dalam cahaya. Dia melangkah dari kegelapan mencari cahaya terang agar kuasa kegelapan tidak menguasai dirinya.Terlihat seorang gadis berlari laju bersama nafas lelahan kerana dikejar oleh sesuatu yang selalu mengejarnya pada setiap malam.
Dia menoleh wajah sesaat melihat bebola api berwarna jingga itu semakin mendekati membuatkan dia semakin berlari laju.
Dia berlari dalam kegelapan sehinggalah diri terjatuh ke dalam lubang hitam besar. Terdengar jeritannya bergema kerana dia masuk lagi ke dalam lubang hitam itu buat ke seribu kalinya.
"ARGHHHH!!!"
Keisha terjaga dari mimpi ngeri bersama peluh yang membasahi wajah dan tubuh miliknya. Dia tercungap-cungap, dada terasa sakit kerana mimpi itu tidak mahu melepaskannya.
Keisha meragut ubat dan gelas terisi air yang terletak di atas meja sisi katil, dia menelan ubat di dalam kuantiti yang banyak dan meneguk rakus air bagi menenangkan jiwanya kembali.
Setelah itu Keisha bersandar lemah di kepala katil, air mata mengalir memikirkan sehingga bila dia perlu menghadapi mimpi ngeri yang menakutkan dirinya. Malah turut membuatkan dia takut ingin tidur pada setiap malam.
Keisha melihat jam digital di atas meja, waktu masih dinihari sedangkan dia baru sahaja tidur satu jam yang lepas. Walaupun dia mengambil pil tidur sebelum tidur, masih tidak dapat membantunya.
Setiap malam beginilah keadaan yang dia perlu hadapi. Dia jatuh di dalam lubang hitam yang besar dan bebola api jingga berjaya menangkapnya, lalu tubuh dibakar sehingga jeritan tidak lagi kedengaran dan masih tiada yang datang menyelamatkannya.
Fajar menyinsing, Keisha masih merenung matahari yang terbit di sebalik jendela bilik tidur. Keisha melihat cahaya terang dari matahari tetapi dia tidak tahu kenapa dia tidak dapat merasai cahaya itu. Cahaya itu masih tidak berjaya menebusi dirinya.
Keisha mengeluh perlahan, lalu dia menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Dia perlu bersiap untuk pergi ke pejabat.
Setelah membersihkan diri, Keisha masuk ke dalam bilik pakaian, lalu menolak pintu jenis gelangsar almari pakaian. Dia terkejut saat melihat gaun hitam pemberian seseorang terpamer di depannya. Secara drastik dia menutup pintu almari itu bersama debaran dada.
Keisha memejam mata memikirkan bagaimana dia boleh tersilap membuka pintu almari. Dia menarik dan menghembus nafasnya, lalu dia ke almari lagi satu untuk mencari pakaiannya.
Keisha melihat di dalam almari itu terdapat pelbagai jenis dan rona pakaian jenama miliknya. Tidak seperti dahulu pakaiannya hanyalah berona hitam, tiada rona lain.
Sejak Keisha berteman baik dengan seorang peragawati terkenal antarabangsa, temannya itu telah mengubah gaya pakaiannya dan mengajarnya untuk berhias bagi menimbulkan wajah menawannya yang dia sembunyikan selama ini.
Sejak itu Keisha telah membuang semua pakaian miliknya yang berona hitam, digantikan dengan pakaian berona lain tetapi hanya satu pakaian sahaja yang dia masih tidak buang iaitu gaun hitam pemberian seseorang kepadanya.
Keisha melihat almari yang menyimpan gaun hitam yang mampu membuatkan memori lepas datang menerjah minda kembali, membuatkan jiwanya tidak tenteram.
YOU ARE READING
ZAYN X KEISHA
RomanceZayn Cinta aku berikan pada kau Tidak mungkin aku berikan pada perawan lain Kembali pada aku sayang Untuk matikan sumpahan masygul ini Kau berjanji akan menjadi nafas aku Tetapi kau tetap pergi jua Kenapa sayang cepat sangat kau pergi ke dunia abadi...