Ayra melangkah keluar rumah dengan tergopoh-gapah, biasalah ratu tidur macam dia ni tak sah kalau tak bangun lambat, mujur Subuh sempat lagi dibuatnya, itupun dalam keadaan mengantuk.
Cepat-cepat Ayra sarung kasut sekolah Pallas yang bercorak warna-warni hasil contengannya itu ke kaki. Ayra pandang dirinya atas bawah, tudung warna-warni yang labuhnya sampai ke pinggang, baju kurung kain kapas, dan kasut sekolah itu. 'Perfect!' jerit hatinya sendiri bila melihatkan penampilannya yang comel dan sempoi.
Pantas Ayra menapak ke skuter kesayangannya yang berkilat sebab hari-hari dicuci Ayra tak pernah jemu. Skuter warna pink itu digosok-gosok perlahan sebelum Ayra duduk dan menghidupkan enjin.
"Vrommm...peh.." enjin mati.
"Vroommm.... peeehhh..." enjin mati lagi. Ayra cuba lagi beberapa kali. Masuk kali ke empat belas, Ayra dah hilang sabar.
"Cik Pinky.... kenapa buat hal sayang? Penat aku cuci kau hari-hari, kau buat hal jugak. Aku humban dalam lombong kang baru kau tau!" Ayra menghamburkan amarahnya pada skuter itu seolah skuter tu bernyawa dan memahami kata-katanya itu. Kalau orang lalu ternampak Ayra, pasti dia cakap Ayra gila.
'Ah tak boleh jadi ni, kang kena marah dengan bos lagi, mati aku... silap-silap kena buang kerja, adeh!' Ayra ketuk kepalanya.
"Oit, kenapa ni Ayra? Tak pergi kerja lagi ke?" tegur Sheyy yang sedang asyik mengunyah karipap menjenguk dari pintu.
'Alamak, mak buyung ni keluar dah...'
"Waterlah, bukan Ayra..."
"Yelah, Water, kenapa tak pergi lagi ni?"
"Nak pergi la mak buyung oi, tapi enjin skuter ni tak nak hidup la pulak," Ayra mengomel pada Sheyy, kawan baiknya yang juga isteri Paksunya.
Dulu Ayra dan Sheyy duduk serumah, selepas Sheyy dan Paksunya berkahwin, dia ikut tumpang duduk dengan mereka, almaklumlah dia memang rapat dengan Paksunya sebab Ayra anak tunggal dalam keluarga, dan Paksu pulak hampir sebaya dengannya. Sheyy pun tidak menghalang malah lagi suka, sebab dia ada kawan. Itulah untungnya Sheyy berkahwin dengan Paksu Ayra.
Sheyy geleng-geleng kepalanya, bila memikirkan Ayra yang selalu kelam-kabut untuk ke tempat kerja.
"Nak suruh Paksu kau tu pun, dia dah ke tempat kerja, kau naik bas ajelah Ayra, bus stop kat depan tu je pun," Sheyy muncungkan bibir ke satu arah.
"Takutlah..."
"Kau takut apa?"
"Aku tak pernah naik bas..."
"Senang jelah, tahan bas, naik, bayar tiket, duduk, dah nak sampai, tekan loceng, turun. Apa yang susah?"
"Macam susah je semua tu."
"Ei, mengada la kau ni, anak manja betul. Dulu aku dok naik teksi sorang-sorang ok je pun."
"Kau takpelah, kau ganas. Aku lembut."
"Nak kena lesing?"
"Tak mau!"
Ayra tersengih memandang Sheyy yang dah mengandung lapan bulan lebih, tunggu masa je nak bersalin. Fikir punya fikir, pantas Ayra berlari ke pondok bas berhampiran, lagi lama dia berlengah, lagi lambat dia ke tempat kerja. Ayra dah terbayangkan bosnya yang berkepala botak berkilat tu menengkingnya depan orang lain. Mana dia nak letak mukanya yang cun ni nanti? Malu ah!
Ayra menunggu dengan tidak sabar. Dalam hatinya berdoa semoga cepat-cepat bas datang. Walaupun tak tahu bas mana yang perlu dinaikinya, dia pasrah aja. Hentam kromo orang cakap, mana-mana bas datang dulu, dia tahan. Nekad!
YOU ARE READING
Himpunan Cerpen Penuh Rasa Cinta
Short StoryHimpunan cerpen-cerpen penulisan Aliesha Kirana sejak bergelar penulis.