Doa Seorang Kekasih

724 23 1
                                    

Suara azan yang baru berkumandang menusup ke jantung Auni, ada getaran dalam dadanya tatkala mendengar azan petang itu. Al-Quran yang masih terbuka segera ditutup dan disimpan rapi di dalam rak di surau itu. Suara itu begitu mendayu hinggakan Auni merasa sebak dalam dadanya. Dia senyap di satu sudut di dalam surau itu sambil mendengar dan membalas azan itu sendiri. Usai azan berkumandang, segera dia menadah tangannya dan berdoa.

Auni segera mendirikan solat sunat sebelum kembali duduk menanti solat Asar. Suara siapakah itu? Hatinya tertanya sendiri, sebelum ini dia tidak pernah mendengar suara itu melaungkan azan sedangkan dia setiap hari menjadi pengunjung setia surau berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi(FST) itu setiap kali masuk waktu Asar. Iqamah mula kedengaran membantutkan persoalan dalam diri Auni, dia segera berdiri dan membetulkan kedudukannya di dalam saf.

"Allahu Akbar!" Auni terpaku, suara itu juga menjadi imam bagi solat Asar itu. Auni meraup wajahnya, mencari kekuatan supaya dirinya khusyuk lantas segera mengangkat takbir.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Beg sandangnya diletakkan di atas meja sebelum dia mengambil duduk di kerusi di dalam kafe itu. Ina memandang Auni yang kelihatan terganggu, seolah-olah memikirkan sesuatu.


"Kenapa ni Auni?"

Auni yang asyik memikirkan siapa pemilik suara insan yang mengimamkan solat asar tadi tersedar dari lamunan, dia tersenyum memandang teman baiknya itu.

" Tak ada apalah, Ina. " Auni cuba berselindung.

"Betul ke ni? Macam pelik je." Ina menduga hati Auni.

Auni tersengih. Hmm, patut ke aku tanya Ina? Hatinya terfikir sendiri.

"Tengok, mengelamun lagi." Ina menegur menyebabkan Auni tersenyum lebih lebar.

"Eh, Imam solat tadi." Tiba-tiba Ina bersuara sambil melihat seorang jejaka yang baru masuk ke dalam kafe. Auni melihat ke arah jejaka itu, ada getaran dalam dadanya. Subhanallah, tenang sungguh wajah insan itu. Matanya indah seperti bercelak, wajahnya masih kelihatan basah, mungkin dari air sembahyang tadi. Dia hanya asyik menunduk. Lansung tidak memandang sesiapa.

Auni melihat Ina dengan hairan. "Macam mana Ina tahu, dia imam tadi?"

Ina tersenyum sambil duduknya dibetulkan.

"Dia sama fakulti dengan Ina. Dia budak Kaunseling. Ina kan budak akaun, selalu la solat kat surau dekat Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) tu. Kat surau tu memang selalu dia yang jadi imam, Ina pernah tanya kat kawan-kawn Ina, siapa yang selalu jadi imam kat surau tu, seorang kawan Ina beritahu dia tu yang selalu jadi imam. Ina saja la nak tahu sebab suara dia sedap, mendayu, rasa macam nak nangis je kalau dia baca surah masa imamkan solat, kan? Tapi tak tahulah pulak kenapa tadi dia solat kat surau FST. Sama kes macam Ina kot, jumpa kawan. Hehe." Ina tersengih sambil matanya masih memerhatikan gerak geri jejaka itu yang sedang menyedok lauk ke pinggannya di meja buffet.

Auni mengangguk perlahan. Memang suaranya sangat indah seperti dirinya juga. Auni turut memerhatikan jejaka itu dari jauh. Terasa tenang hatinya saat itu.

" Ehem," Ina berdehem. Auni segera memandang Ina yang sedang tersengih melihatnya.

"Takkan dah jatuh cinta kot?" Ina cuba menelah. Muka Auni terasa merah padam. Dia sendiri tidak pasti perasaan apakah yang sedang membelenggu dirinya saat dia melihat jejaka itu, tetapi jiwanya rasa sungguh tenang.

"Merepeklah Ina."

"Kalau nak tahu, nama dia Muhammad Auni Anaqi. Hehe." Ina lancar memberitahu. Auni terdiam, Muhammad Auni Anaqi? Kami memiliki nama yang sama. Auni; ketenangan dan ketetapan. Hmm, sesuai benar nama itu dengannya. Auni tersenyum sendiri, rasa gembira di hatinya kerana berkongsi nama dengan jejaka itu.

Himpunan Cerpen Penuh Rasa CintaWhere stories live. Discover now