“Lelaki tu baik orangnya, ayah berkenan sangat,” ayahku berbicara saat kami sedang menghadap makanan di meja makan. Aku cuma diam, sudah masak dengan perangai ayah yang suka menimbulkan soal jodoh padaku, mentang-mentang usiaku sudah layak berkahwin, perkara itu juga yang diutarakan ayah, hatiku terasa panas.
“Ayah selalu nampak pemuda tu di masjid kawasan kita ni, alim orangnya, warak, sejuk hati ayah tengok dia. Ayah berkenan sangat.”
Ayah tersenyum padaku bagaikan mengharapkan sesuatu. Mentang-mentanglah aku anak perempuan tunggal dalam keluarga, sibuk sungguh ayah mencarikan jodoh untukku. Andai ibu masih hidup, pasti dia paham perasaanku yang tidak suka dilayan sedemikian, pasti ibu menyokong aku. Aku tidak suka ditentukan jodohku, biarlah aku mencari jodohku sendiri, itulah yang sebaiknya.
“Ayah dah tanya pada keluarganya dan mereka dah bersetuju. Lelaki tu pun tak ada halangan, dia setuju dengan pilihan keluarganya. Kamu macam mana?”
“Kenapa ayah pergi bertanya mereka tanpa pengetahuan kakak?” aku tidak puas hati.
“Sebab ayah fikir tak ada jodoh yang lebih baik untuk kamu selain dia. Tolonglah kakak, kali ni jangan tolak permintaan ayah,” ayahku cuba memujuk.
“Boleh tak kalau ayah tak carikan jodoh untuk kakak. Kakak tak sukalah ayah,” aku membentak.
Aku bingkas bangun. Kata-kata ayah buatkan aku geram, pantas aku meninggalkan meja makan, hilang seleraku pabila mendengar permintaan ayah. Anak tangga banglo mewah itu segera kudaki menuju ke bilikku, sampai di dalam bilik, aku melabuhkan diri di atas katil sambil memasang radio kuat-kuat, tanda protes. Lagu Pelesit Kota dendangan kumpulan Search membingitkan bilik itu, aku menghanggukkan kepala mengikut irama lagu. Puas hati aku.
Tiba-tiba radio itu sepi. ‘Siapa pulak yang tutup radio ni?’ Aku mengomel sendiri. Pantas aku berpaling. Abangku sedang berdiri di hadapanku, lantas melabuhkan punggung di sisiku.
“Zulaikha, kenapa buat ayah macam tu?” lembut abangku berbicara, aku cuma mendiamkan diri.
“Ikha tahu kan, berdosa meninggikan suara pada orang tua,” kata-kata abangku itu membuatkan aku terkedu, aku terlalu geram hingga tanpa sedar aku meninggikan suara pada ayah.
“Ikha tak sengaja bang. Ikha geram bila ayah asyik sebut soal jodoh. Ikha tak suka dijodohkan la abang.”
“Abang faham. Tapi Ikha tahu tak, jodoh yang direstui keluarga adalah jodoh yang terbaik. Apatah lagi jodoh yang dipilih ayah sendiri.”
Wajah abangku itu segera ku pandang, abang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, kehidupannya bahagia walaupun ayah yang menetapkan jodoh tersebut usai abang habis pengajiannya di Universiti Al-Azhar.
“Ikha, dengar sini abang cakap ya, abang harap Ikha terima jodoh tu kali ni. Abang pun setuju dengan pilihan ayah, abang selalu jugak berbual dengan dia, dan abang rasa dia memang dia insan yang terbaik buat Ikha. Ikha fikirlah masak-masak, tapi ingat, ayah takkan pilih sesuka hati, dia teliti dulu orang tu sebelum pilih. Abang kenal sangat perangai ayah, dia memang tak kisah soal lain, tapi soal jodoh anak-anak, dia akan pastikan yang terbaik.”
Aku terdiam, benar juga kata abang. Lihat saja kakak iparku, baik saja orangnya, aku sendiri malu berhadapan dengannya kerana kami bagaikan langit dan bumi. Aku ni kasar, keras kepala, kakak iparku pula lemah lembut dan penuh sopan santun.
“Ikha fikir dulu ya, abang cuma nasihatkan saja,” abangku bingkas bangun dan keluar dari bilikku.
--------------------------------------------------------------------------------------
“Aku terima nikahnya Nur Zahra Zulaikha binti Zaiful Zakaria dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai.” Lafaz akad itu lancar dituturkan pemuda itu. Aku duduk memerhati di atas kusyen empuk warna keemasan itu. Sayu tiba-tiba memagut hati, dalam sekelip mata aku sudah bergelar isteri orang. Tangan kutadah saat berdoa namun mataku diam-diam memerhatikan suamiku yang tak pernah kukenali itu.
YOU ARE READING
Himpunan Cerpen Penuh Rasa Cinta
Short StoryHimpunan cerpen-cerpen penulisan Aliesha Kirana sejak bergelar penulis.