LASYKAR ILMI | MUKADIMAH

65 11 29
                                    

MENTARI yang baru sahaja memunculkan diri di kaki langit menjadi tatapan kedua anak kecil yang sedang bermain di luar sejak selesai solat subuh tadi.

Kopiah yang masih terletak elok di atas kepala menambahkan kecomelan yang terserlah pada pemilik pipi tembam itu. Yang seorang lagi, masih ralit merenung corak-corak awan yang berarak di langit.

"Farha, Farhan... jom minum susu dulu. Lepas itu, pergi tukar baju. Sebelum pukul 7.30 kamu kena sampai sekolah. Cepat-cepat," panggil Aiyla dari dalam rumah.

Ketika itu, Firaz keluar dari bilik sambil memakai jam pada tangan kanannya. Nampak saja wajah ketiga permata hati, lelaki berusia 30 tahun itu mengukir senyuman manis.

"Ayah!" Kedua anak kecil itu berlari dan terus memeluk kaki si ayah dengan erat.

Firaz menggeleng kecil. Dia faham sangat dengan sikap kedua anaknya yang terlebih manja itu.

"Jom, kita sarapan dulu," ajak Firaz sambil membawa Farhan dan Farha ke meja makan. Mereka bertiga melabuhkan duduk di kerusi masing-masing.

Farhan Ali. Anaknya yang berumur sembilan tahun itu laju saja menyambar roti putih yang sudah suam dan terus menjamahnya setelah membaca basmalah.

Farha Aaliyah, si kecil berusia lapan tahun itu pula mencicip susu dengan perlahan-lahan.

"Farhan, jangan laju-laju. Tak baik gelojoh," tegur Firaz. Farhan tersengih kecil. Iris mata kekelabuan seperti Firaz itu memandang senyuman kecil si ayah.

Perangai si anak itu mengingatkan Firaz pada dirinya dahulu. Saling tak tumpah ibarat peribahasa di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

"Ayah balik pukul berapa hari ini?" soal Farhan.

"Macam biasa. Kenapa?" Firaz bertanya kepada Farhan pula. Ternyata dia menggeleng kecil.

"Sebenarnya, ayah. Abang nak ayah ambilkan dia dari madrasah. Sebab- hmm!" Farhan menekup mulut adiknya menggunakan tangan kiri. Farha berkerut dahi menahan geram. Iris coklatnya menatap tajam wajah Farhan.

"Ada-ada sajalah kamu berdua ini. Kalau ayah dapat tahu ada benda bukan-bukan yang kamu nak buat, ayah bagi denda ya." Sengaja Firaz mengugut dua budak kecil itu. Roman muka serius ditayangkan.

"Tak lah, ayah. Nanti Farhan beritahu." Farhan menyimpul senyum.

"Yalah," balas Firaz. Dia kemudiannya menikmati hidangan sarapan pagi tanpa berkata apa-apa lagi. Teh panas itu dihirup perlahan dan dia mengukir senyuman manis.

"Oh ya, sayang... minggu depan saya ada operasi di Pulau Perak. Empat hari. Jaga diri dengan anak-anak ya." Pesanan itu dititipkan awal-awal agar dia tidak terlupa.

"Abang ini lama lagi nak gerak ke sana, tapi beritahu saya sekarang macam esok pagi nak berangkat," kata Aiyla. Tawaan kecil terhambur dari mulut.

Firaz turut tergelak sama.

"Bukan apa, saya nak maklumkan awal-awal supaya awak tak banyak bertanya nanti." Hidung Aiyla dicuit lembut menggunakan tangan kiri.

"Hm." Aiyla mencebik bibir seketika. Comel!

Firaz cuma tergelak kecil. Dia yang sudah selesai bersarapan itu bangkit lalu mencuci pinggan dan cawan di singki. Aiyla menyuruhnya membiarkan saja pinggan dan cawan itu di dalam singki, tetapi Firaz lebih memilih untuk mencucinya terus.

"Farhan, Farha, cepat sikit. Kamu berdua itu dahlah belum bersiap pakai baju sekolah," kata Firaz yang sedang berjalan ke bilik.

"Baik, ayah. Farhan dah siap!" Farhan menyahut.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 2 [SU]Where stories live. Discover now