LASYKAR ILMI 2

39 9 10
                                    

WANITA berbaju abaya ungu muda itu memimpin tangan kedua anaknya memasuki kawasan madrasah. Mereka melangkah menuju ke dewan terbuka sekolah.

"Ibu, ayah datang sekali ke nanti?" soal Farha. Aiyla tidak tahu apa yang patut dijawab, namun dia mengangguk sedikit.

"Insya-Allah. Ayah mesti datang," jawab Aiyla.

"Tapi kalau ayah datang, ayah mesti ikut sekali. Ini ayah dah gerak ke kem awal pagi lepas subuh, mesti ayah tak dapat datang..." Nada rajuk bercampur pada ujaran Farhan.

"Mana tahu ayah sempat datang sekejap. Jangan sedih, Farhan." Pipi merah anaknya diusap lembut. Farhan lantas mengukir senyuman manis.

"Ibu, sejuklah." Farha memeluk lengan kiri Aiyla dengan erat. Aiyla tergelak kecil melihat gelagat anak bongsunya itu.

"Biasalah, Farha. Dah nak masuk musim hujan, itu yang sejuk saja suasananya," ujar Aiyla. Farha terkejut.

"Musim hujan? Susahlah ayah nak jalankan operasi. Sejuk, lepas itu hujan lebat... susahnya jadi askar," komen Farha. Farhan mengerutkan dahi.

"Kerja susah, tapi kalau buat dengan ikhlas, kerja itulah yang mulia tau!" balas Farhan.

"Betul apa yang abang cakap itu. Ibu setuju." Aiyla mengangguk perlahan.

Aiyla melihat guru-guru menyusun pelajar yang menerima anugerah berdekatan pentas.

"Farhan, Farha, cikgu tengah susun atur pelajar itu." Aiyla menepuk bahu kedua anaknya.

"Kami pergi sana dulu ya, ibu." Farha dan Farhan menyalami tangan Aiyla meskipun mereka cuma hendak pergi duduk di tempat yang disediakan. Aiyla membiarkan kedua mereka berjalan ke situ.

— — —

FIRAZ yang melihat Faqih duduk bermenung ke luar trak datang menegur pegawai itu. Dia melabuhkan duduk di sebelah Faqih. Gambar yang sedang ditatap Faqih itu dia lihat sekali lalu.

"Faqih, kamu ada apa-apa masalah?" tanya Firaz, prihatin. Buku hadis yang dia pegang dirapatkan ke dada.

Faqih menoleh ke arah Firaz kemudian tersenyum manis.

"Tak ada, tuan. Saya cuma... teringatkan walid saya. Saya selalu berdoa supaya dia masih hidup. Saya nak bertemu dengan dia," luah Faqih.

"Apa yang berlaku pada walid kamu?" Firaz dihurung rasa ingin tahu.

"Dia... saya tak pasti. Tapi, saya rasa dia ditangkap oleh musuh ketika perang yang lepas. Musuh dah musnahkan rumah kami dan tangkap walid. Bila saya sedar dari pengsan, saya dah berada di hospital. Saya pun tak boleh tafsirkan apa yang berlaku ketika itu." Faqih menyambung ceritanya.

"Saya harap kamu dapat bertemu dengannya suatu hari nanti. Insya-Allah." Tangan kiri Firaz naik menepuk belakang tubuh Faqih dengan lembut.

Suasana di dalam trak tentera itu sepi seketika. Ahli pasukannya yang lain sedang berbual sesama mereka, namun Firaz seolah-olah berada di dunia yang lain.

Dia tiba-tiba teringat akan Farhan dan Farha ketika kenderaan tentera itu melalui hadapan Madrasah Al-Fawz. Lantas Firaz meminta pemandu trak itu berhenti seketika di hadapan sekolah. Kesemua mereka pelik dengan tindakan spontan Firaz.

"Ada apa tuan?" soal pemandu trak.

"Boleh beri saya masa dalam beberapa minit? Ada urusan yang belum saya selesaikan dan ada janji yang belum saya lunaskan. Boleh? Saya takkan ambil masa yang lama," pinta Firaz dengan penuh harapan.

"Terpulang pada tuan. Saya hanya seorang pemandu, tuanlah yang mengetuai kumpulan. Bagi saya, biarlah tuan selesaikan urusan tersebut terlebih dahulu." Jawapan daripada pemandu itu cukup melegakan hati Firaz dan membuatkan dia mengucapkan rasa syukur kepada Allah.

Dia cepat-cepat menuruni trak dan berlari memasuki kawasan sekolah.

Sementara itu, Farhan baru saja selesai mengambil anugerah di atas pentas. Farha pula sudah lama duduk di sebelah Aiyla kerana dia sudah selesai dengan lebih awal. Wajah masing-masing kelihatan tidak ceria seperti selalunya.

Firaz dengan perlahan-lahan masuk ke dalam dewan. Waktu itu, ibu bapa yang hadir dan guru-guru serta pelajar yang ada di situ mula menumpukan perhatian kepadanya. Atau lebih tepat sekali, penampilannya.

Uniform tentera yang lengkap dan memakai pelindung muka sehingga menampakkan mata sahaja.

Mereka fikir ada sesuatu yang berlaku, padahal Firaz hanya mahu bertemu dengan kedua anak kecilnya.

"Ayah..." Farhan dan Farha dengan laju mendekati si ayah tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Mereka memeluk tubuh tegap itu dengan erat seperti sudah lama tidak berjumpa.

"Ayah minta maaf sebab lambat. Tapi ayah tak boleh berlama di sini. Ayah kena pergi ke tempat operasi. Tahniah ya Farhan, Farha." Pipi kedua anaknya dikucup lembut.

"Janji dengan ayah tiga perkara ini sepanjang empat hari ayah tak ada. Satu, jangan tinggal solat. Dua, jangan lupa muroja'ah al-Quran dan mengaji hadis. Tiga, jangan nakal-nakal dan susahkan ibu. Nak atau tak nak, anak-anak ayah kena janji juga. Boleh?" Nada suara Firaz agak tegas, tetapi masih lagi terselit kelembutan di dalamnya.

"Boleh, ayah." Balasan kedua beradik itu memuaskan hati Firaz sepenuhnya.

"Ayah pergi dulu. Assalamualaikum," ucap Firaz. Terus Farhan dan Farha menyalami dan mencium tangan Firaz. Lama.

Aiyla turut berbuat sama. Mereka bertiga menjawab salam itu dan menghantar pemergian Firaz dengan pandangan mata.

Para hadirin yang hadir di dewan itu menzahirkan senyuman ke arah keluarga kecil itu. Aiyla diselubungi rasa segan tatkala dipandang ramai. Dia menunduk sedikit dan membawa anak-anaknya duduk di tempat mereka semula.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 2 [SU]Where stories live. Discover now