LASYKAR ILMI 5

31 8 10
                                    

PULANG saja Firaz ke rumah, kedua permata kecilnya kelihatan begitu teruja. Firaz menggeleng kecil tatkala kedua belah kaki galahnya dipeluk erat oleh mereka.

"Masya-Allah, baru empat hari ayah pergi operasi, dah rindu sampai macam ini sekali ya? Bayangkan kalau ayah pergi untuk selamany-"

Lantas mulut Firaz ditekup oleh Aiyla. Si isteri berkerut dahi sedikit.

"Abang ini, janganlah cakap macam itu..." Nada rajuk kedengaran pada suaranya. Tangan kanan yang menekup mulut Firaz dilepaskan.

Bibir Firaz melengkung membentuk senyuman manis.

"Itu cuma kata-kata saja, sayang. Usah ambil serius ya?" ujar Firaz. Si isteri masih senyap tidak membalas.

"Dah, dah... abang nak mandi. Busuk ini. Farhan, Farha, ayah mandi dulu ya? Nanti ayah cerita situasi tembak-menembak itu," kata Firaz, lagi.

Farhan dan Farha melepaskan pelukan mereka, manakala Aiyla kembali tersenyum kecil. Firaz terus berlari ke biliknya.

"Bagi ayah 10 minit ya!" laung Firaz sambil berlari. Ketiga mereka tergelak kecil kerana gelagat Firaz itu.

— — —

SOFA tiga berangkai itu menjadi tempat duduk empat beranak yang sedang khusyuk mendengar Firaz bercerita tentang apa yang berlaku ketika dia dan pasukannya berada di Pulau Perak.

"Ayah tembak dia dekat kepala? Wah, hebatnya ayah!" puji Farhan. Kedua pasang iris kekelabuannya menatap teruja ke wajah Firaz.

"Ayah tak hebat pun, Farhan. Semuanya atas bantuan daripada Allah. Kalau Allah tak bantu, ayah tak akan dapat tembak musuh dengan tepat." Firaz merendahkan dirinya.

"Ahli pasukan abang semua selamatkan?" soal Aiyla.

"Alhamdulillah... semua selamat, tak ada yang cedera." Telinganya menangkap ucapan syukur yang terlepas perlahan dari bibir si isteri.

Firaz menyambung ceritanya semula, namun bunyi hon motosikal dari luar rumah menghentikannya serta-merta. Firaz bangkit dari tempat duduk lalu mengintai dari tepi jendela untuk memastikan gerangan yang datang ke rumahnya tidak berbahaya.

"Azhari!" Firaz mengemaskan rambutnya lalu membuka pintu rumah.

"Assalamualaikum," ucap Azhari. Enjin motosikal dimatikan terlebih dahulu. Firaz menjawab salam tersebut bersama senyuman lebar.

Aiyla terhibur sedikit melihat suaminya sambil berkata kepada Farhan dan Farha, "Tengoklah ayah itu, nak jumpa kawan pun kena kemas-kemas. Ambil contoh itu, Farhan."

Farhan mengangguk tanda faham. Dia kemudiannya bangun dan berjalan ke arah pintu rumah. Kepala dijengah melihat ke arah kedua sahabat yang sedang berbual itu.

Azhari yang ternampak kelibatnya itu lantas tersenyum kecil.

"Farhan, sini. Salam Pak Cik Azhari," arah Firaz. Farhan yang malu-malu kucing itu perlahan-lahan mendekati mereka dan bersalaman dengan Azhari.

"Berapa tahun dah ini?" soal Azhari.

"Sembilan." Farhan menjawab sambil tersenyum kecil.

"Sama umur dengan anak pak cik..." Azhari mengusap ubun-ubun kepala Farhan dengan lembut.

"Oh ya, Firaz. Hari ini hari jadi anak aku, lepas itu isteri aku masak lebih sikit. Itu yang aku datang nak bagi kau ini. Nah," ujar Azhari. Plastik yang berisi makanan itu dihulurkan kepada Firaz dengan berhati-hati.

"Terima kasih, Az," ucap Firaz. Azhari cuma mengangguk kecil.

"Hm, sebelum itu Firaz, aku nak tanya sikit. Hal kerja," pinta Azhari.

"Farhan masuk dulu. Bawa makanan ini sekali ya? Ayah nak berbual dengan Pak Cik Az sekejap." Plastik itu diberikan kepada Farhan. Anak itu menurut kata tanpa membantah lalu terus memasuki rumah.

Melihat anaknya sudah meloloskan diri ke dalam rumah, Firaz mengajak Azhari duduk di pangkin kayu yang berada di bawah pokok mangga.

"Apa yang kau nak tanya itu?" Firaz duduk bersila di atas pangkin itu.

"Betul ke, akan ada serangan daripada Jentayu Emas lepas kita tangkap perisik mereka? Berita ini yang aku dengar daripada pegawai-pegawai kita masa dekat kem petang semalam. Sebab itu aku tanya kau... yalah, kau mesti tahu hal sebenar." Nada Azhari bertukar serius.

"Selagi kesahihannya belum dipastikan, aku tak boleh bagi kata putus. Cuma... kalau ikutkan logik, inilah peluang yang terbaik untuk Jentayu Emas rancang strategi serangan balas, sebab tempoh gencatan senjata itu akan tamat minggu depan, hari Khamis." Jawapan daripada Firaz itu mengundang lafaz takbir terlepas dari mulut Azhari.

"Aku harap serangan itu tak berlakulah. Cukuplah sekadar kita saja yang menghadapi zaman sukar itu. Aku tak sanggup jika anak-anak kecil yang sekarang ini pula merasakan hal yang sama. Melihat kehancuran dan penyeksaan di merata tempat. Allahuakbar..." tutur Azhari. Dia meraup wajah perlahan.

"Insya-Allah, Az. Bila seruan itu sampai, yakin saja Allah akan bantu kita dalam apa jua keadaan. Jangan risau, andai kata perang itu berlaku, kita kerah kudrat yang ada selagi hayat dikandung badan." Di akhir kata, Firaz menepuk bahu Azhari untuk menyalurkan semangat.

"Allah ada." Azhari mengangguk tanda yakin.

"Ya. Allah ada bersama kita," balas Firaz.









— — —

Boleh join channel Telegram saya jika berminat; syad's stories 🌙

Saya terpadam channel itu huhuhu 😅

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 2 [SU]Where stories live. Discover now