LASYKAR ILMI 3

49 8 15
                                    

TANGAN dicelup ke dalam air sungai yang mengalir deras itu — dingin dan nyaman. Dia kemudiannya mengambil air lalu disapukan pada seluruh wajah untuk menyempurnakan wuduknya.

"Segarnya, ya Allah... alhamdulillah." Ucapan itu dizahirkan di dalam hati.

Firaz melihat keindahan sungai itu seketika. Sungai kecil yang berhubung dengan laut itu amat bersih dan jernih.

Ketika itulah, Azhari ternampak wajah sebenar Firaz. Dia menunggu lelaki itu selesai berwuduk dan cepat-cepat datang memeluk tubuh Firaz dengan erat.

Firaz tersentak seketika. Dia kaku di tepi sungai itu, namun dia hanya membiarkan Azhari memeluknya. Fikirnya, mungkin lelaki itu mempunyai sesuatu yang hendak diluahkan.

Cuma, Firaz risau kerana wajahnya sudah terdedah.

"Kau... dah lupakan aku ke, Firaz?" Soalan itu mengunci lidah Firaz daripada berkata-kata.

"Kau tak cam wajah aku ke? Aku Azhari, Firaz... sahabat kau dari kecil," sambung Azhari, lagi.

"Az, a-aku... aku minta maaf. Aku t-tak dapat cam muka kau," balas Firaz.

Azhari meleraikan pelukan tersebut. Dia menatap riak bersalah Firaz dalam-dalam. Pantas senyuman kecil terbentuk pada bibirnya.

"Aku minta maaf, Az." Firaz tak henti-henti memohon maaf. Hatinya dihurung rasa bersalah yang teramat.

Dia akui, sepanjang Azhari bertugas di bawah pasukannya, dia langsung tidak sedar bahawa lelaki itu merupakan sahabat yang dicari dahulu. Sekarang, Firaz merasa gagal sebagai seorang sahabat.

"Tak mengapa, Firaz. Aku faham. Wajah aku pun dah banyak berubah. Kau juga," kata Azhari, tenang.

Dia tidak mengambil hati, malah berasa gembira kerana dapat bertemu dengan Firaz setelah sekian lama berpisah.

"Awalnya kau ambil wuduk?" soal Azhari. Kali ini senyuman manis ditayangkan oleh Firaz pula.

"Saja..." Jawapan itu mengundang tawa kecil daripada Azhari.

Firaz membawa Azhari duduk di tepi pokok cengal sebesar empat pemeluk dewasa. Mereka bersandar pada akar papan pokok tersebut.

Firaz memakai semula kain penutup mukanya. Azhari memerhatikan gerak-geri sang sahabat itu tanpa lepas.

"Kehidupan kau sekarang macam mana, Firaz?" tanya Azhari, ingin tahu. Firaz tergelak kecil mendengar soalan tersebut.

"Alhamdulillah. Aku dah kahwin, dah ada dua orang anak pun. Kau?" Firaz mengajukan soalan yang sama kepada Azhari.

"Samalah... aku pun dah ada seorang anak yang terlebih manja," ujar Azhari, sedikit terhibur.

"Az... kau tahu tak yang Khalid dah-"

"Aku tahu. Sebelum aku pindah ke Fatih Al-Ilm, aku sempat solatkan jenazah dia sekeluarga. Aku tak boleh bayangkan betapa teruknya keadaan dia waktu itu." Suara Azhari bertukar sebak.

Firaz mengetap gigi setelah mendengar apa yang disampaikan Azhari berkenaan Khalid. Dia turut berada di tempat kejadian, tetapi dia sedang tidur ketika musuh membunuh Khalid dan Adnan. Kerana itu dia tidak tahu bagaimana keadaan kedua mereka.

"Kita dah hilang satu-satunya sahabat baik kita, Az." Azhari mengangguk tanda mengiyakan kata-kata Firaz.

— — —

SELESAI menunaikan solat isyak, keenam mereka duduk berkumpul di hadapan khemah. Masing-masing khusyuk mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Azhari.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 2 [SU]Where stories live. Discover now