LASYKAR ILMI 1

54 10 28
                                    

KERUSI kosong di sebelah Irsyad dia duduk. Kertas putih dan sebatang pen diletakkan di atas meja sambil memandang satu demi satu ahli pasukannya. Matanya yang redup itu tampak letih dan kurang rehat.

Firaz mengambil nafas panjang terlebih dahulu sebelum mengucapkan salam dengan nada sopan. Salam itu dijawab oleh ketujuh mereka serentak.

"Selamat berkenalan, Kapten Azhari, Leftenan Faqih. Saya harap kamu berdua selesa dengan kami dan dapat beri kerjasama yang baik sepanjang kita semua sepasukan," ujar Firaz.

"Baik, tuan. Insya-Allah." Faqih membalasnya dengan anggukan kecil.

"Insya-Allah, tuan," kata Azhari. Lelaki itu menatap wajah gerangan yang bertopeng di hadapannya dalam-dalam.

"Firaz tak ada parut dekat mata. Mungkin bukan dia yang aku cari. Tapi... mana tahu itu hasil kecederaan yang dia alami masa perang? Tch, berhenti mengelamun Az!" marahnya pada diri sendiri kerana tidak habis-habis berfikir perkara yang sama sehingga hilang fokus dengan penerangan daripada si ketua.

Ketika itu, Firaz mengeluarkan peta Gapura Ilmi lalu ditunjukkan kepada ahli pasukannya.

"Berdasarkan peta ini, kita akan bertugas di kawasan sempadan antara Nilam Kesuma dan Kota Kitab Al-Ilm, iaitu di bahagian barat laut Pulau Perak." Pen yang dipegang ditunjukkan pada kawasan pulau itu.

"Di situ terdapat hutan pantai yang hampir dengan selat Nilam Kesuma-Kitab Al-Ilm. Kita akan gerak ke sana untuk jalankan operasi. Saya dah dapat maklumat daripada Kolonel Nurhan berkaitan isu pencerobohan tiga orang perisik Jentayu Emas yang sudah berada di Nilam Kesuma. Katanya, mereka berkemungkinan besar tidak akan masuk ke negara kita melalui jalan darat, tetapi jalan laut. Beberapa pasukan tentera laut telah diarahkan untuk mengawal kemasukan bot atau kapal asing dan menjaga keselamatan laluan di Samudera Sukma, Selat Badar dan kawasan perairan di sekitar negara kita. Walau macam manapun, pasukan kita juga perlu bekerjasama supaya musuh tak dapat bermaharajalela di negara kita sekali lagi," jelas Firaz. Mereka masing-masing kekal sebagai pendengar.

"Irsyad dan Jabir, kekalkan posisi kamu sebagai penembak tepat. Faqih, Saeed dan Uwais, kamu berdual pula peninjau. Ahmed, kamu juga kekal sebagai pegawai perubatan bersama Azhari memandangkan dia juga mengambil kursus asas perubatan. Ada apa-apa masalah berkaitan pembahagian tugas?" soal Firaz.

"Tak ada, tuan!" jawab ketujuh mereka, lantang.

— — —

LANGKAH dibawa memasuki pagar Madrasah Al-Fawz, Desa Arif, untuk mengambil Farhan dan Farha pulang ke rumah. Dia memerhatikan kawasan sekeliling madrasah itu.

Tanpa aba-aba, dia teringat akan dirinya dan dua orang sahabat yang juga menuntut ilmu di situ. Memori yang tidak akan pernah luntur dari ingatannya itu membuatkan dia tersenyum kecil.

Rindu.

"Ayah!" Dua orang kanak-kanak itu berlari mendapatkan si ayah yang sedang berdiri tegak di tepi pagar.

Firaz terus tersentak daripada tenggelam di arus lamunan. Dia membiarkan kedua anak kecil itu memimpin tangannya.

"Macam mana sekolah hari ini? Ada masalah?" soal Firaz. Farhan laju saja menggeleng. Anak itu memang tidak pernah mempunyai masalah di sekolah.

Kalau ada pun, bukannya hendak beritahu. Farhan lebih suka memendam masalah berbanding meluahkan. Sama seperti Firaz. Nanti setiap kali sebelum tidur, Firaz akan memujuk si anak itu untuk menceritakan masalahnya.

"Ada... Farha terlupa nak bawa buku Akidah tadi. Lepas itu, ustazah suruh Farha jawab soalan susah. Nasib baik soalan itu ayah pernah ajarkan Farha jawapannya," tutur pemilik bibir delima itu sambil memuncung sedikit. Manja sungguh Farha ketika mengadu pada si ayah. Sama saja macam ibunya, Aiyla.

"Cuainya si comel ini! Kalau ayah jadi ustazah itu, ayah suruh Farha tasmi' surah al-Baqarah saja." Sengaja Firaz mengusik Farha. Ternyata si anak itu menarik muka.

"Tak nak kawan ayah!" Farha melepaskan tangan kiri Firaz lalu memeluk tubuh.

Merajuk.

Firaz dan Farhan menghentikan langkah mereka sebelum menerpa ke arah Farha yang masih memalingkan muka daripada memandang Firaz. Firaz pula merendahkan tubuh sehingga menyamai ketinggian Farha.

"Farha... janganlah macam ini. Ayah gurau sajalah, sayang. Pandang muka ayah ini. Farha..." Firaz menggunakan kuasa memujuknya. Tangan kiri naik mencuit hidung kecil si anak dengan lembut.

Perlahan-lahan, Farha mengangkat muka. Dia lantas memeluk tubuh Firaz dengan erat.

"Sensitif betul anak ayah ini ya? Dah, dah. Jangan merajuk lama-lama. Nanti ayah cubit pipi tembam Farha sampai jadi merah macam tomato," ugut Firaz. Farha tertawa kecil dan meleraikan pelukannya.

Mereka kemudian menyambung perjalanan pulang ke rumah bersama-sama. Firaz pula dengan rela hati menadah telinga mendengar segala celoteh kedua anaknya tanpa jemu.

— — —

SEKEPING sampul surat dihulurkan kepada Firaz bersama senyuman yang lebar hingga ke telinga. Sampul itu bertukar tangan. Farhan kemudian melabuhkan duduk di sebelah ayahnya.

"Farha pun ada surat juga, ayah." Dia turut menghulurkan sampul surat kepada si ayah.

Firaz membuka sampul itu secara berhati-hati sebelum membaca isi kandungannya dengan teliti.

MUHAMMAD FARHAN ALI BIN MUHAMMAD FIRAZ UTHMAN akan menerima;

Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 3 dan Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Tahun 3;
- Bahasa Arab
- Hadis
- Syariah
- Sains
- Sirah
- Akidah

"Alhamdulillah... pandainya anak ayah ini," puji Firaz sambil mengusap ubun-ubun kepala Farhan.

Kemudian, dia membuka sampul surat yang dihulur Farha pula. Semakin lebar senyuman Firaz setelah melihatnya.

NUR FARHA AALIYAH BINTI MUHAMMAD FIRAZ UTHMAN akan menerima;

Anugerah Sahsiah Murid Terbaik dan Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Tahun 2;
- Bahasa Arab
- Matematik
- Sirah
- Syariah
- Tafsir Al-Quran

"Alhamdulillah. Hebat-hebat keputusan dua budak comel ini ya? Insya-Allah, ayah datang dengan ibu." Firaz melihat tarikh yang ditetapkan pada surat itu.

"Allahuakbar... tarikh ini juga yang dipilih? Ayah kena pergi operasi 24 Rabi'ulawal ini. Tapi tak apa, ayah cuba juga hadirkan diri untuk Farhan dengan Farha." Wajah kedua anaknya dipandang bersilih-ganti.

"Yeay! Sayang ayah!" Farhan dan Farha bertindak memeluk tubuh Firaz dengan erat sehingga si ayah itu tidak mampu bergerak ke mana-mana.

Aiyla yang melihat situasi itu dari dapur cuma tertawa kecil memandang Firaz yang sedang pasrah tatkala dipeluk itu.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 2 [SU]Where stories live. Discover now